From Us, To You :)

Assalamualaikum w.b.t to all.

Alhamdulillah, this blog is officially released on last 7th January 2012 as planned. And thanks to Allah, everything's going smoothly. Following the flow.

For those who comes and visit us here, giving us your support, big thanks to you too. Jangan malu, jangan segan untuk tinggalkan komen2 anda di petak komen, atau anda boleh saja klik suggestion box di bahagian atas sebelah kanan window untuk tinggalkan pesanan anda di sana.

We are trying our best to ensure all of our readers satisfied with all our writings. We are not perfect, that's the fact. When you guys happy, then we will be happy, that's for sure.

Keep on supporting us.

Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari Allah, segala yang kurang adalah dari kami sendiri.

May Allah bless all of us and grant us happiness here and here After, insyaAllah.

Regards, 7 street writers. :)

Sunday 8 January 2012

Kerna Terpaksa

“AWAK dah berubah sekarang. Mana Khalidah yang saya kenal dulu? Mana dia janji awak yang sanggup sehidup semati dengan saya tak kira susah ataupun senang? Mana?!” Meninggi suara Encik Johan. Panas hatinya apabila melihat isterinya sedang memasukkan kesemua pakaian ke dalam bagasi.
            “Saya dah tak boleh hidup dengan awak. Dulu sebelum kita kahwin, awak janji yang kita takkan hidup susah sebab awak cakap perniagaan awak tu stable. Tapi sekarang dah bankrap! Mana nak cekau duit untuk bayar hutang-hutang tu semua? Entah-entah awak akan jadikan saya alat untuk langsaikan semua hutang-hutang tu. Sebelum saya dipergunakan, lebih baik saya pulang ke rumah mama saya. Sekurang-kurangnya saya masih ada tempat untuk berlindung lepas apartment ni disita.” Selesai mengemas semua barang-barangnya, Puan Khalida melangkah keluar dari bilik. Dia mengheret sebuah bagasi dan menjinjing sebuah beg.
            Encik Johan mengekori langkah isterinya yang sedang menuruni tangga. “Astaghfirullahalazim... apa yang awak merepek ni, Khal? Perniagaan saya bankrap tak ada kena mengena dengan nak pergunakan awak. Awak ingat saya jahat sangat ke hah? Saya bukan lelaki pengecut yang sanggup mengorbankan perempuan yang saya sayang! Saya masih waras lagi, Khal. Siapa yang dah menghasut awak ni?!” tengking Encik Johan.
            “Tak ada siapa yang menghasut saya. Saya sendiri yang nak keluar dari sini!” Dia masih terus berjalan. Langkahnya terhenti apabila terasa lengannya ditarik kuat. Dia sedikit terdorong ke belakang. “Isy, lepaskan saya! Sakit tau tak!” jerit Puan Khalidah.
            Encik Johan melepaskan pegangannya. “Awak dah tak sayangkan saya ke?” soal Encik Johan. Suaranya kedengaran sayu. “Cuba awak ingat balik pelbagai rintangan yang kita telah lalui untuk hidup bersama dulu. Tolong jangan pergi, Khal,” rayunya.
            “Saya memang dah tak sayangkan awak lagi. Malah saya menyesal kahwin dengan awak. Mungkin betul kata orang dulu-dulu, orang yang kahwin tanpa restu keluarga rumah tangganya takkan bahagia!”
            Wajah Encik Johan bertukar mendung. “Kalau awak dah tak sayangkan saya lagi, awak tolonglah fikirkan tentang anak-anak kita. Takkan awak nak tinggalkan mereka macam tu je? Mereka masih perlukan awak sebagai ibu mereka,” pujuk Encik Johan.
            “Mereka anak awak, kan? Awak jelah yang jaga mereka. Saya tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan mereka dan awak!” Jari telunjuknya dihalakan ke dada suaminya. Kemudian dia bepusing untuk meneruskan jalannya yang terhalang tadi.
            Dengan wajah yang menyinga, Encik Johan merentap kuat beg pakaian yang dijinjit Puan Khalidah.
Puan Khalidah terkejut, lalu menjeling tajam ke wajah Encik Johan.
            “Apa awak kata? Mereka anak awak jugak tau! Awak yang lahirkan mereka! Saya tak benarkan awak keluar dari rumah ni!” herdik Encik Johan.
            “Apa hak awak nak halang saya? Apa hak awak?!” Puan Khalidah menarik semula beg pakaiannya.
            “Saya suami awak! So sebagai isteri, awak kena patuh arahan saya. Pergi masuk bilik sekarang!” Encik Johan merentap kembali beg pakaian itu.
            “Awak ni tak paham bahasa ke hah? I don't want to be your wife anymore! Biarkan saya pergi!” tengkingnya. Dia merampas balik beg pakaiannya. Dia meneruskan langkahnya kembali apabila melihat Encik Johan terdiam. Belum sempat dia sampai ke pintu keluar, seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun berlari mendapatkannya.
            “Mama, tolong jangan pergi. Jangan tinggalkan along dan adik.” Budak lelaki itu memaut kedua-dua belah kaki Puan Khalidah, menyebabkan pergerakkannya terkunci.
Adiknya hanya berdiri kaku di tangga paling atas. Di situlah tempat mereka berdiri menyaksikan pertengkaran antara kedua ibu bapa mereka sebelum si along meluru mendapatkan mamanya tadi.
            “Lepaskan akulah! Aku bukan mama kau lagi. Lepas!” Dia cuba menarik kakinya namun pautan budak itu terlalu kejap.
            “Tak nak! along takkan  lepaskan kalau mama janji takkan tinggalkan along, adik dan papa!” Tegas budak itu. Wajahnya sudah lencun dengan air mata.
            “Aku kata lepas!” Puan Khalidah menolak badan budak itu sekuat hati. Tolakannya menyebabkan kepala budak itu terhantuk pada bucu meja kopi yang diprbuat dari kaca.
            “Along!” Encik Johan memangku anaknya. Dia menarik tisu yang ada di atas meja kopi lalu menekupkan pada dahi anaknya yang berlumuran darah.
 Si adik yang hanya berdiri kaku dari tadi segera mendapatkan papa dan alongnya.
            Pucat muka Puan Khalidah apabila melihat banyak darah yang mengalir pada dahi anak sulungnya. Dia hanya berdiam diri, tidak mampu berbuat apa-apa.
            “Sampai hati awak cederakan anak sendiri, Khal! Apa salah dia hah? Dia hanya tak nak awak tinggalkan rumah ni. Kalau awak masih ada secebis kasih sayang untuk anak-anak kita, awak janganlah pergi. Kalau awak nak pergi jugak pergilah tapi ingat! Sebaik sahaja awak melangkah keluar dari rumah ni, gugurlah talak satu!” Encik Johan memberi kata putus.
            Puan Khalidah masih lagi berdiri kaku. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan satu mesej diterima. Dia segera membaca mesej itu. Selesai membaca, dia memandang wajah suami dan anak-anaknya. Perlahan-lahan dia melangkah pergi. Pergi meninggalkan keluarganya.
            “Mama! Mama!” jerit si along tanpa menghiraukan dahinya yang sakit. Kelibat Puan Khalidah hilang dari pandangan mata.
            Encik Johan mencempung tubuh anak sulungnya lalu dibawa ke hospital.
            “Hah!” Dia tersedar dari tidur. Turun naik nafasnya. Dia meraup wajahnya yang berpeluh. Sejak dua tiga hari kebelakangan ini dia sering bermimpikan kejadian lima belas tahun yang lalu. Dia meraba dahinya yang berparut. Hatinya sakit mengenangkan peristiwa itu. Dia tidak menyangka mamanya sanggup mencederakannya.
            Kerana sikap mamanya itu, dia tidak percaya pada perkahwinan. Papa dan mamanya yang berkahwin atas dasar cinta pun boleh bercerai berai. Dia menilik jam di telefon bimbitnya. “Baru pukul 4.30 pagi,” keluhnya. Qasyi Umair turun dari katil. Dia mencapai jubah mandi dan tuala lalu keluar dari bilik tidur. Dia turun dari tangga dan menuju ke kolam renang di luar rumah banglo dua tingkat itu.
            Sampai sahaja di kolam renang, dia terus terjun dan berenang. Jika jiwanya kacau, dia akan berenang. Pada dia, berenang merupakan satu kepuasan. Segala masalah yang membelenggu otaknya akan hilang! Hilang bersama kedingingan air kolam.
            Setelah puas berenang, dia naik ke atas lalu membaringkan dirinya di kerusi malas. Matanya dihalakan ke langit yang gelap. Keadaan cuaca pagi yang sejuk tidak dihiraukan. Tangannya meraba di atas meja, mencapai tuala yang diletakkannya tadi. Perlahan-lahan dia mengelap badannya yang basah.
            “Along berenang lagi?”
            Qasyi tersentak. Dia berpaling ke arah suara yang menegurnya.
            Qalif Haikal yang sudah lengkap berbaju melayu merah, berkopiah putih dan berkain pelekat mula melabuhkan punggungnya di kerusi malas di sebelah alongnya. Dia pelik melihat perangai alongnya yang sejak dua menjak ini asyik berenang pagi-pagi buta.
            “Dah pukul berapa sekarang?” soal Qasyi. Soalan adiknya dibiarkan tidak berjawab.
            “Lagi 10 minit nak dekat pukul 5.30 pagi,” jawab Qalif perlahan.
            Qasyi mencapai jubah mandi pula lalu menyarungkan ke badannya. “Along masuk dululah, kejap lagi dah nak azan subuh,” pamitnya. Sambil berjalan, dia mengelap rambutnya.
            “Along!” panggil Qalif.
            Langkah Qasyi terhenti. Dia berpaling ke belakang, menunggu bicara adiknya.
            “Papa ajak jemaah sama,” ujarnya.
            Qasyi tersenyum. “Okey, tunggu along kat bilik solat.” Dia meneruskan langkahnya masuk ke rumah.
                                                            *****
“AMIN... amin, ya rabbal alamin.” Usai mengaminkan doa, Qasyi berpaling ke belakang lalu menyalami serta mencium tangan papanya. Tangan inilah yang telah membesarkan dia dan adiknya selepas Puan Khalidah meninggalkan mereka. Lelaki inilah papa dan lelaki inilah jugalah mama yang tidak jemu melayan kerenahnya dan Qalif.
            Dato' Johan mengusap lembut belakang badan anak sulungnya. Selepas itu giliran Qalif pula menyalami dan mencium tangannya. Dato' Johan berehat sebentar di bilik solat. Dia menghantar pemergian kedua-dua orang anak bujangnya yang keluar dari bilik solat  dengan pandangan mata.
            Kini dia sudah mampu tersenyum bangga melihat kejayaannya membesarkan anak-anaknya tanpa kasih sayang seorang ibu. Dia sentiasa bersama dengan anak-anaknya dalam apa keadaan sekalipun. Dia tidak mahu anak-anaknya bersedih mengenangkan bekas isterinya yang tidak bertanggungjawab itu.
            Cuma satu yang amat dia bimbangkan. Perangai Qasyi yang sentiasa bertukar-tukar perempuan seperti menukar baju. Dia sentiasa berdoa agar suatu hari nanti muncul seorang perempuan yang dapat memecahkan benteng pertahanan Qasyi yang tidak percaya pada perkahwinan. Sudah puas dia memujuk Qasyi supaya berkahwin tetapi jawapan yang diberikan Qasyi tetap sama. “Papa dan mama pun kahwin atas dasar cinta jugak tapi tetap berpisah.”
Dato' Johan mengeluh perlahan. Dia sudah tidak tahu mahu memujuk bagaimana lagi. Dia teringin sangat mahu melihat anak-anaknya berumah tangga sebelum matanya tertutup rapat. Fikirannya mula melayang pada peristiwa malam kelmarin.
Qasyi tergesa-gesa turun dari tangga. Untuk sampai ke pintu keluar dia perlu melintasi ruang tamu. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke pintu keluar.
            “Along nak pergi mana tu? Tak makan malam dulu ke?” soal Dato' Johan yang ketika itu sedang menonton Buletin Utama di ruang tamu.
            “Along dah lambat ni. Nak keluar jumpa Cassandra,” jawabnya pendek. Dia menyarungkan kasutnya.
            “Aik, Cassandra pulak? Semalam Carissa, hari tu Zetty, minggu lepas Christ apa entah namanya. Cristian ke apa?” Tergeliat lidah Dato' Johan mahu menyebut nama-nama kekasih Qasyi. Nama bukan main lagi!
            “Cristina la pa, bukan Cristian.” Qalif membetulkan.
            Qasyi tersengih mendengar bicara papanya. “Okeylah pa, Qalif… along pergi dulu. Assalamualaikum,” pamitnya.
            “Jangan balik lewat pulak!” jerit Dato' Johan.
“Dato', sarapannya udah siap dihidang.”
Suara Bibik Salmah telah memecahkan lamunan Dato' Johan. “Hah? Yalah. Awak pergi panggil Qasyi dan Qalif sekali,” arahnya.
            “Qasyi sama Qalif udah ada di bawah, nungguin Dato',” katanya.
            “Kejap lagi saya turun.” Sebaik sahaja Bibik Salmah menutup pintu bilik solat, Dato' Johan mula bangkit dan melangkah ke biliknya untuk menyalin pakaian.
                                                            *****
“ALONG boleh tolong hantarkan Qalif ke kuliah tak?” pinta Qalif sambil mencedok bihun goreng ke dalam pinggan.
            Qasyi terhenti menyuapkan bihun goreng ke dalam mulutnya. Dia mencapai cawan yang berisi teh O panas lalu menyisip sedikit.  “Kereta Qalif mana?” soalnya sambil meletakkan semula cawan di atas meja.
            “Qhalif bagi Dhiah pinjam. Dia nak balik kampung sebab mak dia masuk hospital,” terangnya.
            “Patutlah tak nampak Toyota Vios tu kat garaj. Kenapa dia tak balik kampung naik pengangkutan awam je? Bas dengan teksi kan banyak?”
            “Dhiah nak naik bas tapi Qhalif yang tak bagi. Pemandu bas dengan teksi ni bukan boleh percaya sangat. Kat dalam paper tu banyak kes penumpang yang kena rogol. Daripada dia naik bas, lebih baik Qalif bagi dia bawak kereta Qalif tu,” jelasnya sambil menyuap bihun ke dalam mulut.
            “Tak takut kena tipu ke? Manalah tahu dia jual kereta tu ke?” Qasyi sengaja menakut-nakutkan Qalif.
            “Tak ada maknanyalah dia nak jual kereta tu. Qalif kenal siapa Zainab Mardhiah. Lagipun  kami dah lima bulan couple. Qalif sendiri ada dengan dia masa abah dia telefon. Opss!” Dia menekup mulut apabila terlepas cakap yang dia sedang berpacaran dengan Mardhiah.
            “Ho ho ho... diam-diam ubi berisi ya? Sepandai-pandai Qalif menyimpan rahsia, akhirnya terbocor jugak!” sakat Qasyi. Dia tergelak kuat.
            “Apa yang digelakkan ni? Rancak bukan main lagi?” tanya Dato’ Johan yang baru sampai di meja makan. Dia mengambil tempat di kepala meja. Tali lehernya yang kelihatan senget dibetulkan sedikit sebelum menyenduk bihun goreng ke dalam pinggan.
            “Along cerita ya?” usik Qasyi.
            Qalif menjegilkan mata, memberi amaran agar tidak membocorkan rahsianya.
            “Qalif ni pa…” Dia ketawa lagi melihat muka Qalif yang sudah memerah.
            “Along!” Keras suara Qalif. Ada nada merajuk di situ.
            “Okey… okey… along tak cerita.” Qasyi meletakkan jari telunjuknya di bibir. Dalam hati sudah tergelak sakan.
            “Apa yang along dengan Qalif nak sorokkan dari papa ni? Baik along cakap. Kalau tak papa sekat kad kredit along,” ugut Dato' Johan.
            “Alah, mana aci pa!” Qasyi tak puas hati.
            “Aci tak aci, along kena bagitau jugak apa yang kelakar sangat tadi?” Mata Dato' Johan merenung tepat ke wajah kedua-dua anak bujangnya.
            Qasyi merenung adiknya. “Sorrylah Qalif. Untuk menyelamatkan kad kredit along dari disekat, along terpaksa cerita jugak.
            Qalif menundukkan wajahnya ke bawah. Malu untuk mendengar kata-kata abangnya yang seterusnya.
            “Tak lama lagi papa akan dapat menantu. Anak bongsu papa ni dah ada calon,” bocornya.
            Qalif pantas mengangkat muka. “Bukan pa! Mana ada Qalif nak kahwin. Belajar pun belum habis lagi. Kami cuma berkawan je,” nafinya. Mukanya memerah lagi.
            Dato' Johan tersenyum. Dia tidak menyangka anak bongsunya yang ulat buku sudah mempunyai kekasih hati. Dia memandag Qasyi yang masih galak mentertawakan Qalif. “Along tu bila nak bawak bakal menantu jumpa papa? Selalu asyik dengar bermacam-macam nama je, kenalkan tak pernah pulak,” usiknya.
            Ketawa Qasyi terhenti.
Kini giliran Qalif pula yang tersengih mengejek.
“Ehem... ehem...” Qasyi  membetulkan suaranya. “Papa ni kan, saja je tau! Ke, papa yang nak berkenalan dengan bekas aweks along untuk dijadikan calon mama tiri kami?” usiknya pula.
            “Ek... eh, ke situ pulak along ni! Untuk papa nak buat apa? papa dah tua. Takkanlah dalam banyak-banyak aweks along tu tak ada satu pun yang sangkut?”
            “Perempuan macam dia orang tak layak nak dibuat bini. Tahunya nak menghabiskan duit orang je,” ujarnya
            “Habis tu yang along usung dia orang ke sana sini tu buat apa?” Dahi Dato' Johan berkerut sedikit.
            “Saja nak enjoy. Nak hilangkan stress lepas habis kerja.”  Selamba dia menjawab.
            “Along tak buat perkara tak senonoh, kan dengan dia orang?” Dato' Johan ingin tahu.
            “Astaghfirullahalazim, pa. Along masih tahu dosa dan pahala. Tak pernah terdetik pun di hati along ni nak merosakkan anak dara orang. Along keluar dengan dia orang pun just makan-makan and shopping je.” Qasyi membuat pengakuan.
            “Baguslah macam tu. Papa percayakan along. Papa tahu along takkan buat benda-benda tak senonoh dengan anak dara orang.” Dato' Johan tersenyum.
            “Thank,s pa… thanks sebab percayakan along.” Qasyi menggenggam tangan papanya.
            “Along, cepatlah makan. Nanti terlambat pulak Qalif masuk kelas.” Qalif yang sedari tadi diam, mula mencelah.
            Qasyi mempercepatkan suapannya. Selesai makan, dia mencapai tisu lalu mengelap bibirnya. “Pa, kami pergi dulu.” Qasyi dan Qalif menyalami tangan Dato' Johan.
            “Bawak kereta elok-elok,” nasihatnya. Dato' Johan meneruskan suapannya.
                                                            *****
QALIF sedang menelaah pelajaran di perpustakaan. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Semua mata tertumpu ke arahnya kerana dia terlupa untuk menutup telefon bimbitnya. Dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menukar deringan kepada senyap. Kemudian dia membuka peti masuk untuk membaca mesej yang dikirim oleh Mardhiah.

            Aassalamualaikum. Awak tengah buat apa tu?

            Usai membaca mesej itu, Qalif segera membalasnya.

Waalaikumussalam. Saya kat library ni. Awak, tadi kan, saya boleh terlupa nak silent phone. Semua orang kat sini dah jeling semacam je. Uii, gerun saya tengok. Mak awak macam mana? Dah okey ke? Bila boleh keluar wad?
           
  Ha ha ha... awak ni memang! Kalau dah jumpa library memang tak ingat dunia. Ulat bukulah katakan. Alhamdulillah, mak saya dah okey sikit. Mak saya tu memang degil. Orang cakap jangan makan durian, dia makan jugak. Mana darah tinggi tu tak naik. Insya-Allah, lusa mak saya dah boleh keluar wad. Nanti bila saya dah balik kolej saya pulangkan kereta awak ya?

            Saya tak kisah pun pasal kereta tu yang penting awak selamat balik ke sini :)

            Thanks, awak. Okeylah, saya nak pergi hospital balik ni. Assalamualaikum...

            Waalaikumussalam. Take care ya…

            Usai sesi balas-membalas mesej, Qalif meneruskan kembali pembacaannya.
*****
“EXCUSE ME? Seorang gadis yang memakai selendang hitam menegur Qalif yang sedang mengemas buku-buku untuk beredar dari perpustakaan.
            Qalif memandang ke kiri dan kanan. Kemudian dia memandang gadis berselendang hitam itu. “Saya ke?” soalnya sambil menundingkan ibu jari ke dada. Dia takut kalau-kalau gadis itu menegur orang lain, dia pula yang perasan.
            “Ya, awak. Awak ni Qalif Haikal anak pemilik syarikat Impiana Holdings, right?” soal gadis berselendang hitam itu. Dia mengambil tempat di hadapan Qalif.
            Qalif menjungkitkan keningnya. “Macam mana awak tahu nama saya dan nama syarikat papa saya?” soalnya sedikit pelik. Rasanya dia tidak mengenali gadis itu.
            Gadis berselendang hitam itu tersenyum apabila tekaannya tepat. “Siapa yang tak kenal dengan syarikat Impiana Holdings yang dah setanding dengan syarikat-syarikat korporat lain? Saya Aina Nazihah, pelajar akaun tahun akhir. Boleh kita berbincang sekejap?” pintanya penuh mengharap.
            “Boleh tapi bukan kat sini. Apa kata kita ke kafe? Saya tengok mak cik library tu dah jeling semacam je. Sebelum dia tegur baik kita pergi,” ajak Qalif. Dia segera bangkit lalu melangkah keluar dari perpustakaan diikuti Nazihah.
            “Okey,  apa yang Cik Aina Nazihah nak bincangkan?” Qalif memulakan soalan sebaik sahaja mereka duduk di kafe.
            “Just call me Zihah.” Nazihah melemparkan senyuman.
            Qalif tersenyum dan mengangguk. Dia setia menanti bicara Nazihah seterusnya.
            “Macam ni… tahun ni merupakan tahun akhir saya. So, saya rasa nak buat praktikal kat syarikat papa awak,” terangnya.
            “Buat jelah, apa susah?” pintasnya. Dahinya dikerutkan sedikit.
            “Masalahnya sekarang, saya dapat tahu ramai yang memohon kat syarikat tu. Saya takut tak terpilih. Boleh tak awak tolong yakinkan papa awak supaya pilih saya?” pinta Nazihah penuh mengharap.
            “Kalau dah terlalu ramai, awak masih boleh pilih syarikat lain, kan? Buat praktikal kat mana-mana pun sama je. Lepas tiga bulan, habis belajar…” Qalif menyisip minumannya perlahan.
            “Tapi saya kena jugak buat praktikal kat syarikat papa awak tu. Please, Qalif… I'm begging you. Awak mesti tolong saya,” rayunya. Wajahnya dicemikkan sedikit, meminta simpati.
            “Kenapa awak nak sangat buat praktikal kat syarikat papa saya?” soal Qalif curiga. Benaknya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis yang bekulit putih di hadapannya ini.
            “Se... se... sebab...” Tergagap-gagap dia menjawab. Dalam tengah mencari jawapan, matanya terpaku pada skrin televisyen yang menayangkan filem Idola, lakonan Norman Hakim dan Normala Shamsuddin. Dia tersenyum dan memandang wajah Qalif.  “... sebabnya, Dato' Johan tu idola saya. Saya kagum dengan papa awak yang tabah mengharungi hidup. Dia sanggup bangkit semula selepas syarikatnya muflis,” ujar Nazihah penuh yakin.
            “Memang papa seorang yang tabah. Walaupun dia terpaksa bermula dari bawah, dia tak pernah merungut. Papa memang mempunyai kesabaran yang tinggi. Akhirnya dia berjaya jugak membangunkan syarikat kembali.” Kendur suaranya. Ada nada sedih apabila terbayang kembali pemergian mamanya yang tidak sanggup hidup susah.
            “So, awak boleh tolong saya tak?”
            “Hmm....” Qalif diam dan berfikir. Jari telunjuknya diketuk-ketuk ke dagu. Kemudian dia menarik nafas. “Baiklah, nanti saya akan cuba berbincang dengan papa. Tapi apa je keputusan papa, awak kena terima,” putus Qalif. Tiada salahnya dia cuba membantu gadis di hadapannya.
            “Thanks, Qalif. Boleh saya dapatkan phone number awak? Ni saya punya phone number.” Dia memberikan sekeping kertas yang mengandungi nombor telefonnya.
            Qalif mengambil kertas lalu mencatatkan nombor telefonnya. Usai menulis, dia menyerahkan kertas itu kepada Nazihah.
            “Okeylah, saya pergi dulu ya,” pintanya. Dia mula bangkit lalu keluar dari kawasan kafe dengan hati yang lapang.
                                                            *****
SELEPAS makan malam, Qalif masuk ke biliknya. Dia mencapai telefon bimbit lalu mencari nama Mardhiah. Selepas menekan punat hijau, dia menunggu seketika. “Assalamualaikum, Dhiah. Awak busy ke? Saya nak tanya sesuatu kat awak,” ujarnya sebaik sahaja panggilannya bersambut.
            “Waalaikumussalam. Saya kat kantin hospital ni. Awak nak tanya apa?” tanya Mardhiah di hujung talian.
            “Awak kenal tak Aina Nazihah?” soalnya terus.
            “Aina Nazihah? Macam pernah dengar je nama ni. Kejap ya, saya nak ingat balik.” Mardhiah diam seketika. “Oh ya, dah ingat! Dia budak akaun tahun akhir. Kenapa dengan dia?” soal Mardhiah ingin tahu.
            “Betullah dia. Tadi dia datang jumpa saya. Dia ajak berbincang,” terang Qalif.
            “Bincang apa?” Suara Mardhiah kedengaran meninggi sedikit. Mungkin api cemburu mula menguasai dirinya.
            “Dia nak buat praktikal kat syarikat papa tapi dia suruh saya pujuk papa supaya pilih dia. Awak rasa macam mana? Patut ke saya tolong dia?” Qalif meminta pendapat.
            “Ooo, macam tu ke? Saya tengok dia okey, tapi dia tu macam pendiam sikit dan... dia merupakan pelajar terbaik akaun. Saya yakin, papa awak akan setuju punya. Oh ya, awak nak tahu sesuatu tak?” Suara Mardhiah kedengaran tenang semula.
            “Apa dia?” soal Qalif ingin tahu.
            “Pernah sekali tu dia jumpa saya. Dia asyik tanya pasal awak je. Patutlah dia asyik tanya, rupa-rupanya dia nak minta tolong awak. Saya pulak dah rasa semacam je masa tu. Ha ha ha...” cerita Mardhiah.
            “Uii, jelous ke?” usik Qalif. Dia seronok mendapat tahu Mardhiah ada perasaan cemburu. Cemburu kan tanda sayang?
            “Mahunya tak jelous, tiba-tiba je ada perempuan yang sibuk sangat nak tahu tentang latar belakang awak. Nasib baiklah saya tak sembur dia. Awak tolonglah dia ya…”
            “Kalau awak dah kata macam tu, kenalah saya pujuk papa bersungguh-sungguh. Okeylah, saya nak jumpa papa sekarang,” pintanya.
            “All the best, awak. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam…” Selepas mematikan talian, dia melangkah keluar dari biliknya lalu menuju ke bilik papanya. Pintu bilik papanya diketuk lalu dipulas tombol. Dia menjengukkan kepalanya ke dalam. “Papa dah nak tidur ke?” soalnya.
            Dato' Johan yang sedang membaca buku di atas katil segera menutup bukunya. Dia menggamit Qalif agar duduk di sisinya. “Kenapa tak tidur lagi ni? Ni mesti ada sesuatu yang Qalif nak bincang, kan? Cakap dengan papa, apa yang penting sangat ni sampai tak boleh nak tunggu esok?” tanya Dato' Johan sebaik sahaja Qalif melabuhkan punggung di sisinya.
            “Ermm... kat syarikat papa tu ada buat praktikal untuk pelajar, kan?”
            “Memang ada tapi bukan ke praktikal Qalif lagi setahun?” soal Dato' Johan pelik.
            “Ha'ah lagi setahun. Pa, nanti boleh tak papa terima permohonan pelajar yang bernama Aina Nazihah?” pintanya.
            “Kenapa papa kena terima permohonan dia?”
            “Dia kawan Qalif. Dia nak sangat buat praktikal kat syarikat papa. Dia kata papa idola dia. Boleh ya, pa…” rayunya.
            “Nantilah papa fikirkan…”
            “Alah pa, bolehlah. Dhiah kata Nazihah tu pelajar terbaik akaun. Qalif dah janji nak tolong dia,” pujuknya lagi.
            “Dhiah tu bakal menantu papa ya?” usik Dato' Johan sambik tersenyum.
            Wajah Qalif mula memerah. “Papa ni janganlah tukar topik. Boleh ya, pa. Papa jugak yang kata kalau dah berjanji, tak elok mungkir.”
            “Yalah… yalah… papa tolong. Tapi lain kali jangan berjanji lagi dengan kawan tau. Papa bukan apa, papa takut nanti orang fikir papa ni pilih kasih pulak.
            “Thanks, pa. Okeylah pa, Qalif nak baca buku dulu. Nite, pa.” Dia menyalami tangan Dato' Johan sebelum melangkah keluar bilik.
            “Jangan tidur lewat sangat. Awak tu kalau dah jumpa buku macam tak ingat dunia.”
            “He he he... okey, pa.” Dia melangkah semula ke biliknya lalu melabuhkan punggung di atas katil. Telefon bimbit di meja lampu dicapai. Dia menaip sesuatu untuk dihantar kepada Nazihah.

Assalamualaikum. Saya dah berbincang dengan papa saya. Dia dah bersetuju untuk terima permohonan awak.
-Qalif Haikal-

            Usai menaip, dia menekan butang hantar. Beberapa minit kemudian telefon bimbitnya berbunyi menandakan satu mesej diterima. Dia segera membacanya.
           
            Waalaikumussalam. Thanks a lots Qalif. Saya akan ingat budi awak. Nite.
           
Selepas membaca mesej itu, dia bergerak ke meja belajar lalu menelaah pelajaran.
                                                            *****
BOSS, Cik Carmylla is on the line. Nak saya sambungkan ke?” Suara Shazwina Shamien, setiausaha merangkap kawan baik Qasyi kedengaran di interkom.
            “Okey, sambungkan.” Qasyi mengangkat ganggang dan menekan butang talian. Dia melekapkan ganggang ke telinga.
            “Sayang, petang ni kita pergi shopping ya…” Suara manja Carmylla kedengaran di hujung talian.
            Qasyi mengurut-urut tengkuknya. “Semalam kan kita dah shopping? Nak shopping apa lagi?” soal Qasyi pelik.
            “Alah, semalam kita shopping handbag. Hari ni I nak beli baju. Bolehlah sayang...” Kedengaran suara Carmylla merengek manja.
            Qasyi menyandarkan badannya. “I banyak kerjalah. Hari lain jelah ya?” tolaknya.
            “Please...” rayu Carmylla.
            “Hmm... okeylah tapi lambat sikit tau I jemput you,” putusnya.
            “Okey, I tunggu you kat luar office I, paling lewat pun pukul 6.00 tau. Bye, sayang.” Carmylla bersuara ceria.
            Selepas meletakkan ganggang, Qasyi menyambung kerjanya semula.
                                                            *****
NAZIHAH merebahkan badannya di atas katil. Sebaik sahaja habis kuliah, dia terus pulang ke rumah teres yang disewa bersama dua orang pelajar tahun dua. Kebetulan ada pelajar yang ingin mencari bilik sewa pada ketika itu. Memandangkan rumah yang disewanya masih mempunyai dua bilik kosong, dia menawarkan kepada mereka.
            Dia bangkit dari pembaringan lalu menuju ke almari pakaian. Pintu almari dibuka lalu dia mengeluarkan satu kotak kecil dan dibawa ke katil. Perlahan-lahan penutup kotak itu dibuka. Dia mengambil keluar semua isi dalam kotak itu. Dia membelek keratan-keratan akhbar mengenai Dato' Johan yang dikumpulnya suatu ketika dahulu. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Dia meletakkan kembali keratan tadi ke dalam kotak. Kemudian dia melangkah ke arah pintu lalu menguak sedikit pintu itu.
            “Kak Zihah, nak pinjam kereta boleh tak? Sofea dengan Aida nak pergi Kinokuniya kejap, nak cari buku,” pinta Sofea.
            “Sekejap ya.” Dia menutup pintu bilik lalu mencapai kunci kereta yang diletakkan di atas meja solek. Kemudian dia berjalan semula ke pintu bilik lalu menyerahkan kunci kereta ke tangan Sofea.
            “Thanks, Kak Zihah...
            Nazihah menutup pintu biliknya semula lalu mendapatkan katil. Keratan tadi dikeluarkan semula. Dia tersenyum seorang diri. “Syukur alhamdulillah, plan aku  untuk masuk ke dalam syarikat Dato' Johan dah berjaya. Nasib baik Qalif percaya alasan aku. Kalau tak, terpaksalah aku guna cara lain,” monolognya. Tiba-tiba perutnya berbunyi. Dia menyimpan semula kotak kecil itu ke dalam almari lalu keluar dari biliknya untuk ke dapur.
                                                            *****
MUKA Carmylla masam mencuka. Qsyi yang sedang memandu langsung tidak ditegur.
            “Sorrylah Mylla, I terlewat sikit je. sorry okay?” mohonnya sambil menjeling sekilas ke sisi.
            “You tahu tak dah sejam I tercongok kat luar office tu?! You janji nak ambil I pukul 6.00 tapi sekarang dah pukul 7.00!” marahnya tidak puas hati.
            “Kan I dah cakap yang I banyak kerja tadi? You yang nak sangat pergi shopping hari ni, kan? Macam dah tak ada hari lain nak shopping!” protesnya.
            “Ooo, you nak salahkan I la ya?! Hantarkan I balik rumah sekarang!” rajuknya.
            “Tadi kata nak pergi shopping?
            “Tak jadi! I dah tak ada mood nak pergi shopping!
            Qasyi mengeluh. “Betul ke you tak nak pergi? I dengar ada satu butik tu dress dia cantik sangat. Sesuai dengan you.” Qasyi mula mengumpan. Dia tahu kelemahan Carmylla.
            Terbeliak mata Carmylla mendengar kata-kata Qasyi. “Cantik sangat ke dress tu?” soal Carmylla teruja.
            “Yup, cantik sangat. You nak balik ke nak shopping?” Qasyi tersenyum dalam hati apabila umpannya mengena.
            “Shoppinglah.” Hilang terus rajuknya.
            Qasyi tersengih. Kalau dah namanya perempuan, puji sikit terus cair, bisik hatinya. Kesemua bekas teman wanitanya jenis mata duitan. Prinsip dia, apabila sudah bosan, mereka akan ditinggalkan! Baginya, berpoket tebal dan pandai mengayat sudah cukup untuk mencairkan hati perempuan.
            “Mylla, kita solat dulu ya? Maghrib dah masuk ni,” ajaknya ketika mereka baru menjejakkan kaki ke dalam kompleks membeli-belah.
            “You sorang jelah. I ABC,” bohongnya.
            “Okey, you tunggu kat bangku sana tu.” Dia mula melangkah mengikut papan tanda yang menunjukkan arah surau.
            15 minit kemudia Qasyi sampai di tempat dia meninggalkan Carmylla tadi. “Jom…” ajaknya.
            Carmylla memaut lengan Qasyi. Mereka memasuki sebuah butik. Dari satu butik ke satu butik mereka jejak. Apabila tangan Qasyi sudah dipenuhi dengan beg-beg kertas barulah Carmylla mengajaknya balik.
            “You tak nak pergi makan dulu ke? I laparlah,” soal Qasyi.
            “Tak naklah, I dah kenyang tengok baju-baju ni semua. Kita balik ya, sayang? you makanlah kat rumah,” jawabnya bersahaja.
            Isy perempuan ni, baju-baju dia je yang dia fikir! Perut aku yang berbunyi ni dia langsung tak perduli! marah Qasyi dalam hati. Dia berpura-pura tersenyum.
                                                            *****
SUDAH tiga hari Nazihah memulakan praktikalnya di Impiana Holdings. Pekerja-pekerja di situ juga sangat baik dan selalu memberikan tunjuk ajar. Layanan Dato' Johan kepadanya mewujudkan satu perasaan yang telah lama dia dahagakan. Fikirannya mula melayang pada hari pertama dia menjejakkan kaki ke Impiana Holdings.
            “Cik, saya nak lapor diri.” Nazihah berkata kepada seorang penyambut tetamu yang menjaga di bahagian lobi.
            “Awak ni Cik Aina Nazihah ya? Tunggu sekejap ya…” Penyambut tetamu yang bernama Effa itu, mencapai ganggang telefon. “Kak Sheila, Cik Aina Nazihah dah sampai.” Selesai bercakap di ganggang, Effa meletakkan kembali ganggang ke tempat asal. Dia memandang wajah Nazihah sambil tersenyum. “Sebentar lagi ada orang yang akan bawak cik naik ke atas. Cik boleh duduk di situ dulu,” kata Effa sambil menundingkan ibu jari ke arah sofa.
            “Terima kasih.” Perlahan-lahan Nazihah melangkah ke arah sofa. Sambil menunggu dia membelek-belek surat khabar di meja hadapannya.
            Beberapa minit kemudian datang seorang perempuan yang berusia pertengahan 30-an lalu membawa Nazihah naik ke tingkat atas untuk ke bilik Dato' Johan.
            “Awaklah Aina Nazihah, kawan yang Qalif cakap tu ya?” tanya Dato' Johan. Dia merenung lama wajah Nazihah. Sejuk matanya menatap wajah putih bersih itu. Dalam hati dia berkenan dengan tingkah laku gadis di hadapannya itu. Nampak lembut dan sopan dengan baju kurung biru muda.
            “Ya saya, Dato'” akuinya. Akhirnya, dapat jugak aku bertemu empat mata dengan Dato’ Johan. Masih lagi kacak walaupun sudah berusia, bisik hatinya.
            “Tak payah panggil Dato', panggil je uncle. Kawan-kawan Qalif dah uncle anggap macam anak-anak uncle jugak. Nak panggil papa pun boleh. Maklumlah uncle ni tak ada anak perempuan.” Dato’ Johan tersenyum ramah.
            Terharu Nazihah mendengarnya. Ternyata Uncle Johan sangat baik, bisik hatinya.
            Dato’ Johan menekan interkom. “Sheila, tolong panggilkan Laila.”
            “Baik, Dato’…” balas setiausahanya.
            Beberapa minit kemudian pintu bilik Dato’ Johan di ketuk. Selepas mendapat arahannya, pintu terkuak. Seorang perempuan melangkah masuk lalu berdiri di sebelah kerusi yang diduduki Nazihah.
            “Laila, ini Aina Nazihah, pelajar yang akan buat praktikal di sini.” Dato’ Johan memperkenalkan Laila kepada Nazihah. Mereka berjabat tangan seketika.
            “Saya nak awak kenalkan dia kepada semua pekerja dan tunjukkan tempat dia sekali,” arahnya.
            “Baik, Dato'. Mari ikut saya, cik,”
            Nazihah mula bangkit. “Terima kasih, Dato'...”
            “Kan uncle dah kata, panggil uncle je?” pintasnya sebelum Nazihah menghabiskan ayatnya.
            “Opss! terima kasih, uncle… saya minta diri dulu,” ucap Nazihah malu-malu.
            “Zihah oiii... kau tak nak keluar makan ke?”
            Nazihah tersentak. Lamunannya pecah. “Dah pukul 1.00 ke Kak Laila?” soalnya terpingga-pingga. Dia menilik jam di pergelangan tangan kiri. “Cepatnya masa bergerak. Jomlah Kak,” ajaknya.
            “Berangan ya? Nasib baik Dato' Johan tak nampak. Opss! bukan Dato' Johan tapi Uncle Johan,” giatnya. Dia tersengih.
            “Kak Laila ni kan, mengada tau.” Nazihah mencubit perlahan pinggang Laila.
Mereka berpapasan menuju ke lif.
                                                            *****
MORNING, boss…” ucap Shazwina sebaik sahaja dia masuk ke bilik pejabat Qasyi bersama dengan diari hitam.
            “Morning. My timetable please…” pinta Qasyi. Dia bersandar di kerusi kulit.
             Shazwina mula membuka diari hitam yang tercatat segala jadual harian Qasyi. “Hari ni bos cuma ada meeting dengan Encik Fakrullah pukul 2.30 petang. Pukul 4.00 pulak meeting dengan Encik Akhbar. That's all for today.” Shazwina menyudahkan kata-katanya.
            “Ada apa-apa cerita ke masa saya outstation?” soalnya ingin tahu.
            “Tak ada. Bos nak minum air apa?” tanya Shazwina yang sudah bersedia untuk bangun.
            “A coffee please. Thanks.” Qasyi mula memberi tumpuan pada kerja.
            Shazwina mula berpusing untuk melangkah. Sebaik sahaja sampai di muka pintu, dia berpaling semula. “Lupa pulak nak bagitau,” ujarnya.
            “Apa dia?” soal Qasyi tanpa memandang wajah Shazwina. Dia tekun melihat isi kandungan fail di atas meja.
            “Minggu lepas ada pelajar perempuan lapor diri untuk praktikal,” ujarnya.
            Mendengar perkataan 'perempuan', terus terhenti kerja yang dia lakukan. Dia mengangkat muka memandang Shazwina. “Suruh dia masuk jumpa saya,” pintanya dengan mata yang bersinar-sinar.
            “Okey, bos.” Shazwina terus berlalu keluar.
            Beberapa minit kemudian pintu bilik Qasyi diketuk. “Masuk,” arahnya.
            Pintu terkuak. Shazwina mempersilakan Nazihah masuk. Selepas meletakkan minuman, dia segera keluar. Nazihah masih bediri kaku di hadapan meja Qasyi.
            “Duduklah,” arah Qasyi yang masih belum mengangkat muka dari kerjanya.
            Nazihah melabuhkan punggung di kerusi. Dia menjeling sekitar bilik itu. Biliknya luas, terdapat set sofa di penjuru bilik. Gambar keluarga juga tergantung cantik. Mana gambar isteri Uncle Johan? gumamnya di dalam hati. Dia meliarkan lagi pandangannya. Memang tidak terdapat gambar Isteri Dato' Johan di bilik itu. Dia membuang pandang ke arah Qasyi yang masih leka dengan kerjanya. Dia sabar menunggu.
            Qasyi mengangkat mukanya. Matanya terpaku memandang wajah putih bersih di hadapannya. Degupan jantungnya mula menari kencang. Entah kuasa apa yang memaksa dia untuk terus merenung gadis itu.
            “Ehem... ehem...” Nazihah berdehem apabila mata Qasyi tidak beralih dari melihatnya. Dia terasa segan. Tidak pernah dia direnung sebegitu rupa. Dia tahu wajahnya pasti sudah merona merah.
            Qasyi tersentak. “Sorry. Nama awak apa?” soalnya ingin menutup malu di atas ketelanjurannya merenung lama wajah Nazihah tadi.
            “Aina Nazihah,” jawabnya sepatah.
            “Cantik nama. Secantik orangnya,” puji Qasyi spontan.
            Wajah Nazihah semakin memerah. “Terima kasih,” ucapnya. Ooo… inilah Qasyi Umair, si buaya darat tu ya. Hensem jugak. Sejibik macam muka Uncle Johan, detik hatinya.
            “Kenapa awak pilih syarikat ni?” Qasyi menongkat dagu sambil merenung wajah Nazihah.
            Nazihah sudah mengagak soalan ini yang akan ditanya. “Saya pilih syarikat ni sebab Dato' Johan....” Dia menarik nafas sebelum menyambung ayatnya. “... Dato' Johan merupakan idola saya. Saya kagum dengan semangat Dato' Johan.” Dia mengulang jawapan yang pernah diberikan kepada Qalif.
            “Okey ke bekerja kat sini?” soal Qasyi lagi.
            “Okey. Pekerja-pekerja kat sini semua baik. Tak sombong. Banyak yang saya belajar kat sini,” jawab Nazihah lancar.
            “Awak dah kahwin?” Tersungging senyuman di bibir Qasyi.
            Nazihah terkejut. Dia menggelengkan kepalanya.
            “Bertunang?”
            Nazihah menggeleng lagi.
            “Kekasih?”
            Pun dia menggeleng.
            “Ada peluanglah ni?” ujar Qasyi perlahan.
            “Apa dia, encik?” soal Nazihah kurang jelas.
            “Tak ada apa-apa. Awak boleh keluar sekarang,” arah Qasyi sambil meneliti semula fail di atas meja.
            Nazihah bangkit lalu melangkah keluar dari bilik Qasyi.
            Qasyi menarik nafas sebaik sahaja Nazihah menutup pintu bilik. Dia tersenyum sendirian. Tangannya dibawa ke dada, merasai denyutan jantungnya yang sudah kembali normal.
                                                            *****
“ENCIK QASYI nak apa?” soal Laila selepas setengah jam Nazihah keluar dari bilik Qasyi.
            “Tak ada apa-apa. Dia cuma nak kenal dengan ahli baru Impiana Holdings je,” jawab Nazihah, sambil melemparkan senyuman.
            “Hati-hati sikit dengan Encik Qasyi tu,” nasihat Laila. Matanya dikecilkan.
            “Kenapa?” soalnya ingin tahu.
            “Dia tu pantang tengok perempuan berdahi licin. Semua nak ditacklenya. Nak-nak lagi macam kau ni. Cantik... putih... dah cukup pakej tu.” terang Laila tanpa memandang sekeliling.
            “Apa yang dah cukup pakej tu, Kak Laila?!” sergah Qasyi yang tiba-tiba muncul di situ.
            “Oh pakej kau cantik, pakej kau hensem! Bila mau kahwin? Eh... eh...” latah Laila sambil jarinya ditundingkan pada Nazihah dan Qasyi. Dia menggaru kepalanya yang di lapik tudung.
            Semua pekerja ketawa kuat mendengar latah Laila.
Qasyi mempamerkan wajah serius.
            “Sorry, Encik Qasyi. Jangan ambil hati dengan kata-kata saya tadi ya,” mohon Laila.
            Qasyi masih lagi serius. Dia memandang semua pekerjanya.
Terus mati ketawa mereka.
Qasyi memandang Laila pula. “Tak sangka Kak Laila ni kaki latah ya?” ujarnya lalu menghemburkan tawa. Dia berpaling untuk berlalu ke biliknya.
            “Sorry ya, Zihah? Akak memang tak boleh kena sergah, nanti jadi macam tadilah. Sorry sangat-sangat,” rayunya.
            “Itulah Kak Laila, lain kali cakap siang pandang-pandang, malam dengar-dengar. Kan dah kena kantoi.” sampuk Mazlan. Dia ketawa lagi.
            “Tapi kan, tak pernah-pernah pulak Encik Qasyi tu pantau department ni, kan? Ke, dia dah tangkap cintan dekat si Zihah ni?” serkap Laila.
            “Merepeklah Kak Laila ni,” ujar Nazihah.
            “Hah Kak Laila, slow sikit suara tu. Kang tak pasal-pasal Encik Qasyi patah balik ke sini, masak Kak Laila,” ujar Farhana pula.
            Laila memandang ke belakang. Takut kalau-kalau Qasyi muncul semula. “Akak nak sambung buat kerja dululah ya,” pintanya lalu beredar ke mejanya.
            Macam-macam! desis hati Nazihah. Kemudian dia menyambung kerjanya semula.
                                                            *****
“EHEM... EHEM...”
 Nazihah yang tekun melakukan kerja segera mengangkat muka apabila mendengar deheman seseorang.
            “Eh, Encik Qasyi! Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” soalnya.
            “Jom temankan saya pergi lunch?” ajaknya. Dia melambung-lambungkan kunci kereta di tangan.
            Semua pekerja di situ tercengang.
Nazihah menilik jam di tangan kirinya. “Baru pukul 12.30, encik. Ada lagi 30 minit sebelum pukul 1.00,” kata Nazihah.
            “Saya kan anak bos. Cepat ikut saya.” Kali ini bukan ajakan tetapi arahan. Kunci yang dilambung tadi diletakkan di atas meja Nazihah. Kedua-dua belah tangannya di selukkan ke dalam poket seluar.
            “Sorrylah encik, saya dah janji dengan orang lain nak lunch sama,” tolaknya. Dia memang sudah berjanji untuk keluar makan tengah hari dengan orang lain.
            “Canclekan je. Jom cepat,” ajaknya lagi. Dia mula berpusing untuk keluar.
            Nazihah masih lagi kaku di tempatnya. “Tak baik mungkir janji kalau kita dah berjanji dengan seseorang, encik.” Nazihah bersuara perlahan.
            Langkah Qasyi terhenti. Dia menoleh ke belakang.
            “Lagipun kalau saya keluar lunch sebelum waktunya, apa pulak kata pekerja-pekerja lain?” sambung Nazihah lagi.
            “Jadi awak tak nak ikut sayalah?” soal Qasyi sedikit bengang.
            Nazihah menganggukkan kepalanya.
            Melihat anggukkan Nazihah, Qasyi terus berlalu dari situ dengan muka bengang. Dia malu dengan semua pekerja yang menyaksikan pelawaannya ditolak mentah-mentah oleh pelajar praktikal!
            Laila dengan muka menyibuknya, datang ke meja Nazihah.
 Pekerja lain menyambung kerja mereka semula.
            “Beraninya kau, Zihah,” katanya.
            “Kenapa pulak, kak?” soal Nazihah sambil mengerutkan dahi.
            “Sebelum ni mana pernah ada perempuan yang tolak pelawaan dia. Tup-tup bila dia ajak kau, kau menolak pulak. Kau tak terpikat ke kat muka hensem dia? Anak Dato' lagi...” Sengaja Laila menguji Nazihah. Dia tidak percaya yang Nazihah tidak terpikat dengan wajah kacak Qasyi. Dia yang sudah berumah tangga pun boleh terpikat dengan daya tarikan Qasyi, inikan pula Nazihah yang cukup pakejnya.
            Nazihah tersenyum mendengar kata-kata Laila. “Saya tak pandang semua tu, kak. Saya kalau nak cari teman hidup, saya tak tengok luaran tapi dalaman.” Nazihah meletakkan tangannya ke dada. “Kalau luaran je cantik tapi dalaman tak cantik nak buat apa, kan? Saya tak suka kacau hak orang. Tak naklah saya dengan Encik Qasyi tu, dahlah kasanova! Merana hidup saya nanti. Lagipun saya berada di sini untuk buat praktikal, bukan untuk bercinta!” jawab Nazihah tegas. Dan ada misi yang perlu saya laksanakan, bisik hatinya.
            Laila berpaling apabila mendengar bunyi tapak kasut di belakangnya. Matanya membulat apabila melihat Qasyi menghampiri meja Nazihah.
            “Awak ni tak ada kerja ke Laila? Asyik nak menempel kat meja orang lain je kerjanya!” Meninggi suara Qasyi. Mukanya masih lagi masam.
            “Erk... saya nak pinjam stapler kat Zihah.” Laila kelam kabut menjawab. Dia mencapai stapler di dalam bekas alat tulis milik Nazihah lalu berlalu ke mejanya.
            Ayat nak cover kantoilah tu, gumam Farhana di dalam hati.
            Qasyi merenung tajam ke wajah Nazihah yang selamba membuat kerja. Kemudian dia mencapai kunci keretanya yang tertinggal di atas meja Nazihah. Kemudian dia beredar menuju ke biliknya. Terbantut seleranya untuk keluar makan.
            Qasyi menghempaskan punggungnya di kerusi dengan kasar. Interkom ditekan. “Awin, masuk ke bilik aku sekarang!” Tegas bunyi suaranya.
            Shazwina yang sedang membuat kerja, terkejut apabila mendengar suara Qasyi di interkom. Dia mencapai pen dan buku kecil sebelum berlalu ke bilik Qasyi. Pintu bilik diketuk. Setelah mendapat arahan dari dalam, dia memulas tombol.
            “Duduklah,” arahnya.
            “Tadi kata nak keluar lunch?” soal Shazwina. Dia pelik melihat Qasyi masuk semula ke bilik. Dia sedah bersedia dengan pen dan buku kecil untuk mencatat segala arahan Qasyi.
            “Terbantut selera aku!” suara Qasyi masih lagi keras.
            “Siapa yang buat selera kau terbantut ni?” soal Shazwina ingin tahu. Kali ini dia menyoal sebagai kawan baik kepada lelaki itu. Shazwina dan bakal suaminya, Shakir merupakan kawan baik Qasyi sejak di universiti lagi. Selepas tamat belajar, Qasyi menawarkan dia bekerja sebagai setiausaha. Memandangkan dia masih belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan, dia menerima sahaja tawaran Qasyi itu.
            “Budak praktikal tulah!” adunya.
            “Apa yang dia dah buat kat kau?” Shazwina benar-benar ingin tahu. Pertama kali sejak mengenali lelaki itu, belum ada perempuan yang menbuatkan Qasyi bengang sebegini.
            “Aku ajak dia lunch tapi dia tolak. Lepas tu masa aku nak patah balik kat tempat dia untuk ambil kunci kereta aku yang tertinggal, aku dengar dia cakap sesuatu pada Laila,” ujarnya
            “Apa dia?”
            “Dia boleh kata macam ni, tak naklah saya dengan Encik Qasyi tu, dahlah kasanova! Merana hidup saya nanti. Lagipun saya berada di sini untuk praktikal, bukan untuk bercinta!” Dia mengulang apa yang sempat dia dengar dari mulut Nazihah. “Mana aku tak bengang?! Dia mengata aku tau! Hesy!” marahnya.
            “Awesome!” ujar shazwina.
            “Awesome ngeng kau! Aku tengah bengang, kau suka pulak ya?” Qasyi menjegilkan mata.
            Shazwina tidak mengambil hati dengan kata-kata Qasyi. Dia tersenyum lagi. “Selama aku kenal kau, belum pernah lagi perempuan tolak kau. Dia baru tolak sikit kau dah bengang semacam. Kalau Shak tahu pasal ni mesti dia tergelak guling-guling punyalah. Ha ha ha... Qasyi Umair Dato' Johan, jejaka pujaan ramai telah ditolak mentah-mentah oleh Aina Nazihah, si gadis bertudung!” usiknya lagi.
            “Kau ni, aku panggil kau untuk kurangkan tahap kebengangan aku, kau boleh bantai gelakkan aku pulak! Dahlah, kau boleh keluar sekarang,” suruhnya. Kerusi dipusingkan menghadap ke luar bangunan. Wajahnya digosok perlahan, cuba menenangkan hati yang panas.
            “Opss, bos dah marah! Okeylah, aku keluar dulu ya. Sekarang lunch time.” ujar Shazwina lalu melangkah keluar dari bilik Qasyi.
            “Awin,” panggil Qasyi. Dia memusingkan kembali kerusi, menghadap Shazwina.
            “Yess, boss?” Shazwina yang baru sahaja membuka tombol pintu, berpaling ke belakang.
            “Kau lunch dengan siapa?”
            “Dengan siapa lagi? Shak, bakal suami terchentalah. Wanna join us?” pelawanya.
            “Boleh jugak. Kau tunggu aku kat pintu masuk lobi, aku nak ke gents sekejap.”
            “Okey, bos!” Shazwina melangkah ke mejanya untuk mengambil beg tangan. Qasyi pula meluru ke tandas.
                                                            *****
“MANA Shak?” soal Qasyi, sebaik sahaja sampai di luar bangunan Impiana Holdings. Kelibat shakir masih belum kelihatan.
            “Dia kata lagi 5 minit dia sampai.”
            Qasyi melemparkan pandangannya. Matanya terpaku pada Nazihah yang sedang memasuki sebuah kereta Honda CRV. Di bahagian pemandu kelihatan seorang lelaki yang tidak berapa jelas wajahnya.
Shazwina turut memandang ke arah yang sama. “Patutlah dia tolak kau, rupa-rupanya dah ada kekasih,” ujarnya.
            Hari tu cakap tak ada kekasih, gumam hatinya. “Awin, kau boleh tolong aku tak?”
            “Ni mesti nak suruh aku buat bancian, kan?” serkapnya.
            “Pandai pun kau. Tolong aku ya?” rayu Qasyi. Dia tidak tahu kenapa hatinya rasa panas apabila melihat Nazihah keluar dengan lelaki lain. Adakah ini cinta? Ah, tak mungkinlah! Mengarut je aku ni! gumam hatinya.
                                                            *****
NAZIHAH melemparkan pandangannya ke sekeliling medan selera di KLCC. Waktu-waktu rehat begini ramai yang mengisi perut. Dia menongkat dagu menunggu Ehsan, abang sepupunya yang sedang membeli makanan. Dia menyedut air teh O ais limau yang dibelinya tadi.
            “Nasi ayam dah sampai,” kata Ehsan. Dia meletakkan sepinggan nasi ayam di hadapan Nazihah. Selepas membaca doa, Nazihah mula menyudukan nasi ayam ke mulutnya.
            “Apa rancangan Zihah lepas ni?” Soal Ehsan.
            “Entahlah, Zihah pun tak pasti lagi. Tapikan bang, Uncle Johan tu baik sangat dengan Zihah. Ni yang buat Zihah tak sabar nak teruskan misi Zihah ni.” Nazihah mengukir senyuman apabila terbayangkan wajah Dato' Johan.
            “Zihah perasan tak ada sorang lelaki tu pandang semacam je masa Zihah naik kereta abang tadi?”
            “Perasan. Itulah Qasyi Umair, anak sulung Uncle Johan.”
            “Ooo, yang tu ke Qasyi? Hensem jugak orangnya. Padanlah ramai perempuan tergila-gilakan dia. Tapi kenapa cara pandangan dia macam tak puas hati?” soalnya
             “Dia ajak Zihah lunch tapi Zihah tolak.” Nazihah bercerita.
            “Kenapa Zihah tolak?”
            “Tak naklah Zihah, nanti dia ingat Zihah syok kat dia pulak.
            “Betul Zihah tak syok kat dia?” soal Ehsan inginkan kepastian.
            “Betul. Lagipun abang pun tahu kan sebab apa Zihah nak masuk ke dalam syarikat tu? Zihah ke situ bukan untuk bercinta tapi Zihah nak kembalikan semula kebahagiaan orang yang Zihah sayang. Susah payah Zihah cuba yakinkan Qalif supaya percayakan Zihah,” jelasnya.
            “Tapi macam mana kalau Qasyi betul-betul cintakan Zihah?” Ehsan mengangkat keningnya sedikit.
            “Itu tak boleh, bang. Kalau dia cuba nak mendekat, Zihah pulak akan menjauh!” Tegas Nazihah.
            “Kenapa pulak tak boleh?” soalnya pelik.
            “Sebab dia tu kasanova. Zihah tak nak hidup menderita. Makan hati berulam jantung je Zihah nanti sebab ramai sangat berebutkan dia.” jawabnya.
            “Tapi dia boleh berubah, kan kalau dia betul-betul sukakan Zihah?” kata Ehsan lagi. Wajah Nazihah ditenung tajam, cuba menganalisa apa yang tersirat di hati Nazihah. Nampaknya dia gagal. Nazihah pandai menyembunyikan rahsia hati.
            “Dahlah bang, Zihah tak nak fikir pasal cinta buat masa sekarang. Apa yang penting, macam mana Zihah nak teruskan rancangan Zihah. Itu je yang Zihah perlu fikirkan sekarang. Kalau abang dah habis makan, jom kita balik,” ajaknya.
            Ehsan mengeluh perlahan.
                                                            *****
“PAPA, macam mana dengan Zihah kat office?” tanya Qalif. Ketika itu dia, Dato' Johan dan Qasyi sedang makan malam di rumah.
            Suapan Qasyi terhenti apabila mendengar nama Nazihah keluar dari mulut adiknya.
            “Hai, dah sebulan lebih dia kat sana baru Qalif nak tanya?” 
            “Qalif kan sibuk dengan quiz and exam? Sekarang baru ada masa nak tanya,” jawabnya.
            “Dia okey. Rajin budaknya,” puji Dato' Johan, ikhlas.
            “Qalif kenal Zihah ke?” Qasyi menyampuk.
            “Dia senior Qalif,” jawab Qalif pendek.
            “Qalif rapat dengan dia ke?” Jawapan Qalif menarik minat Qasyi untuk terus bertanya.
            “Tak rapat sangat, kenal-kenal gitu je.
            Dato' Johan memandang wajah Qasyi lama. Dia pelik melihat Qasyi bertanya tentang Nazihah. “Qalif tak ada rasa sesuatu yang pelik ke kat sini?” soalnya kepada Qalif
            “Apa yang pelik, pa?” soal Qalif dan Qasyi serentak. Mereka tidak dapat menangkap maksud papanya.
            “Ada orang tu bila time makan malam je selalu lesap. Tapi hari ni ada pulak?” usik Dato' Johan. Dia tersenyum memandang wajah Qasyi.
            “Ha'ahlah pa. Sejak along balik dari outstation sebulan lebih dulu, along dah jarang keluar malam.” Qalif mengeyakan kata-kata papanya.
            “Papa ni mesti nak sindir along la tu. Along dah malaslah nak keluar malam. Penat,” jawabnya malas.
            “Ya ke penat? Dulu tak penat pun. Sekarang pulak mengeluh?” giat Dato' Johan lagi.
            Qasyi meneruskan suapannya. Malas dia mahu melayan usikan papanya itu.
            “Qalif nak tahu tak? Papa ada ternampak along cuba nak tackle Zihah tau. Tapi sayangnya, Zihah tak layan,” cerita Dato' Johan. Dia teringat  kejadian Nazihah menolak ajakan anaknya untuk keluar makan. Ketika itu dia sengaja meronda-ronda untuk melihat anak-anak buahnya berkerja.
            Ketika dia sampai di bahagian Nazihah diletakkan, dia ternampak kelibat anak sulungnya. Dia mula bersembunyi untuk melihat perilaku anaknya. Dia cepat-cepat beredar dari tempat persembunyian apabila melihat kelibat anaknya yang ingin beredar dengan muka yang masam.
            “Ya ke pa? Papa tengok Zihah tu sesuai tak jadi bakal menantu papa?” Giliran Qalif pula mengusik Qasyi.
            “Sesuaiii... sangat! Oarangnya pun baik, lemah-lembut dan hormat orang tua. Yang paling penting, perangai dia tak macam kesemua bekas teman wanita along tu yang seksi sana, seksa sini, pakai pakaian macam tak cukup kain.” Dalam memuji perangai Nazihah, sempat lagi dia mengutuk perangai bekas teman wanita Qasyi.
            Muka Qasyi sudah memerah mendengar kata-kata papanya. “Along naik atas dululah pa.” Qasyi membasuh tangan.
            “Eh, sikitnya along makan?” soal Dato' Johan apabila melihat nasi di pinggan Qasyi yang luak sedikit sahaja.
            “Along dah kenyang,” jawabnya lalu berjalan menuju ke tangga.
            “Along malulah tu pa. Muka pun dah merah. Ha ha ha...
Qalif dan Dato' Johan ketawa kuat.
            Qasyi berdiri di balkoni. Dia termenung jauh. “Macam mana aku boleh tak perasan papa ada kat situ masa tu? Hesy, buat malu aku je!” Qasyi menepuk kuat pipinya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia masuk ke dalam bilik lalu mendapatkan telefon bimbit yang diletakkan di atas katil. Nama Camilia tertera di situ. “Tak faham bahasa betullah perempuan ni!” marahnya. Dia menekan butang hijau. Telefon dilekapkan di telinga.
            “Qasyi, I tak percaya you nak putuskan perhubungan kita. You gurau je, kan?” Camilia merengek di hujung talian.
            “I tak bergurau! Memang I nak putuskan perhubungan kita. So, lepas ni jangan contact I lagi!” tegasnya.
            “Kenapa you buat macam ni pada I? You dah jumpa orang lain ke?” Camilia menangis teresak-esak.
            “Yes, I memang dah jumpa orang lain. Tapi kali ni I dah jumpa dengan cinta sejati I yang sebenar-benarnya. I harap you takkan ganggu hidup I lagi lepas ni!” Usai berkata-kata, Qasyi mematikan talian. Dia tidak menghiraukan panggilan Camalia di hujung talian. Dia membaringkan dirinya di atas katil. Di ruang matanya hanya terbayangkan wajah Nazihah.
                                                            *****
CAMILIA menghempaskan telefon bimbitnya di atas katil. Dia geram dengan tindakkan Qasyi yang sesuka hati memutuskan perhubungan mereka. Nasibnya sama seperti kesemua bekas teman wanita lelaki itu. Air mata palsunya diseka kasar. Dia mencapai semula telefon bimbit yang dicampak tadi. Nama Datuk Halim dicari dalam senarai telefon bimbitnya.
            “Helo Datuk, you free tak hari ni? Boleh temankan I shopping?” Dia memulakan perbualan apabila taliannya bersambut. “Okey, I tunggu Datuk kat rumah ya?” jawabnya manja. Usai berbual, dia mematikan talian lalu melambung-lambungkan telefon bimbit itu.
            “Huh, dia ingat dia sorang je ke banyak duit? Ramai lagilah orang-orang kaya yang nakkan aku! Pangkat Datuk lagi tu tau! Kalau setakat muka je hensem tapi ajak masuk club pun tak nak, baik tak payah! Saja nak tunjuk alimlah tu!” Dia mencemuh Qasyi.
                                                            *****
“KERETA Zihah bila siap?” soal Ehsan yang sedang memandu. Sejak semalam dia menjadi pemandu tidak bergaji Nazihah.
            “Entah. Orang tu cakap dah siap nanti dia call,” jawabnya.
            “Petang ni abang tak dapat nak jemput Zihah sebab lepas ni abang kena pergi outstation. So, Zihah kena balik naik teksilah dua tiga hari ni. Tak pun Zihah mintak tolong Qasyi hantarkan ke?” Ehsan mengusik.
            Nazihah mencebik. “Nak buat apa suruh dia hantarkan? Dahlah banyak kali Zihah tolak pelawaan dia. Teksi pun banyak, kan? Zihah naik teksi jelah nanti,” jawabnya. Dia teringat setiap kali Qasyi mengajaknya keluar, pelbagai alasan yang dia berikan tetapi Qasyi tetap tidak jemu mengajaknya. Sehingga dia naik rimas dengan Qasyi yang asyik mengejarnya.
            “Morning,” ucap Qasyi. Ketika itu dia dan Nazihah berada di dalam perut lif. Hanya mereka berdua sahaja.
            “Morning,” jawabnya sepatah.
            “Awak dah breakfast?
            “Saya puasa hari ni,” bohong Nazihah. Isy, kenapalah aku pergi tahan lif ni tadi? Kalau aku tahu dia yang ada kat dalam, baik aku naik tangga je! marahnya dalam hati.
            “Ooo, saya baru je nak ajak awak pergi breakfast.” Nada suara Qasyi kedengaran hampa.
            Sebaik sahaja lif terbuka, Nazihah tergesa-gesa keluar. Tidak mahu berlama-lama dengan Qasyi. Sebaik sahaja meletakkan beg tangan ke dalam laci meja, Nazihah berkira-kira sama ada mahu ke pantri atau tidak? Dia takut terserempak dengan Qasyi pula nanti.
            “Nak pergi, tak nak? Nak pergi, tak nak? Ah, pergi jelah! Dia kan ada PA. Mestilah Awin yang buatkan dia air, kan?” monolognya. Dia bangkit dari kerusi lalu melangkah ke pantri.
            Sekotak jus oren dikeluarkan dari peti sejuk. Dia melangkah ke rak yang menempatkan mug. Dia menuangkan jus oren ke dalam mug lalu meneguknya perlahan.
            “Kata puasa?!”
            Sergahan Qasyi membuatkan Nazihah tersedak. Tertumpah sedikit jus oren di baju kurung putih yang dipakainya.
            “Awak tipu saya, kan? Kalau awak tak sudi, kenapa tak berterus terang?”
            Nazihah membisu. Dia memandang tenang ke wajah Qasyi. Langsung tiada rasa takut.
            “Saya peliklah dengan awak ni. Kenapa setiap kali saya ajak awak pergi mana-mana mesti awak tolak?”
            Sebab aku tak nak jatuh cinta pada kau! jawabnya dalam hati. “Sebab saya tak nak kekasih-kekasih Encik Qasyi salah faham.”
            Qasyi tersengih mendengar jawapan Nazihah. “Ooo, sebab tu rupanya. Awak tak perlu risau sebab saya dah single. Tak akan ada sesiapapun yang akan marah bila saya keluar dengan awak,” katanya yang masih lagi tersengih.
            Senangnya dia ni. Bila dah jemu, buang! Apa dia ingat perempuan ni baju ke?! marahnya dalam hati. Nazihah memang anti dengan lelaki yang suka mempermainkan perasaan perempuan. Sebab itulah dia sering menjauhi Qasyi.
            “Temankan saya lunch hari ni?” Dia mencuba lagi.
            Nazihah membisu. Dia telah kehabisan idea untuk menolak. Alasan apa aku nak bagi ni? Encik Idea, tolonglah datang cepat!!! desis hatinya.
            “Zihah, Dato' Johan panggil,”ujar Laila yang tiba-tiba muncul di pantri.
            Nazihah segera berlalu. Dalam hati dia berterima kasih kepada Laila yang datang tepat pada waktunya.
            “Dah sampai, tak nak turun ke?”
            Nazihah tersentak. Suara Ehsan mengembalikannya ke alam nyata. Dia membuka tali pinggang keledar.
            “Eh, kejap!” tahan Ehsan apabila Nazihah ingin membuka pintu kereta.
            “Kenapa bang?” soal Nazihah pelik.
            “Cuba tengok tu, Qasyi tengah pandang kita. Zihah duduk diam-diam, biar abang yang bukakkan pintu kereta.” Matanya memandang Qasyi yang sedang berdiri di hadapan pintu masuk lobi, memerhatikan mereka.
            “Eh, tak payahlah bang!” tolak Nazihah. Dia tidak selesa dengan pandangan Qasyi.
            “Zihah duduk, abang saja nak tengok reaksi dia. Firasat abang benar-benar mengatakan yang Qasyi betul-betul suka kat adik abang ni. Bukan seperti yang Zihah fikirkan.”
            “Apa yang Zihah fikirkan?” soalnya pura-pura tak mengerti.
            “Zihah ingat abang tak tahu? Dalam hati Zihah tu fikir yang Qasyi hanya nak mempermainkan Zihah macam bekas kekasih dia yang lain, kan?” Usai berkata-kata, Ehsan membuka pintu keretanya laju dia melangkah ke sebelah penumpang lalu membuka pintu untuk Nazihah. Dia memandang Qasyi dengan hujung matanya. Dia dapat melihat api cemburu di muka Qasyi.
            “Qasyi yang tidak tahan melihat aksi yang dirasakan cukup romantik itu terus melajukan langkahnya masuk ke dalam bangunan Impiana Holdings.
            “See… kan betul apa yang abang rasa. Zihah sendiri nampak muka dia macam mana tadi, kan?” ujarnya setelah Qasyi berlalu.
            “Apa-apa jelah, malas nak fikir. Zihah masuk dalam dululah. Drive carefully ya, bang…” Nazihah melangkah masuk ke dalam.
            Ehsan mengangkat bahunya. Kemudian dia masuk kembali ke dalam kereta.
                                                            *****
PINTU bilik pejabat Qasyi diketuk. Setelah Qasyi memberi arahan, pintu bilik dibuka. “Dah selesai bancian kau?” Belum sempat Shazwina duduk, Qasyi terus melemparkan soalan.
            “Dah. Sorry sebab dah dekat dua bulan baru aku nak bagi jawapan kat kau. Kau tahu jelah lately ni kita bussy sikit dengan projek yang makin banyak masuk,” jelasnya.
            “Okey, sekarang aku nak tahu jawapannya.” Qasyi menyandarkan badannya.
            “Daripada bancian yang aku buat, aku dapati Nazihah tu single and dia merupakan anak tunggal.” Shazwina memberitahu maklumat yang diperoleh daripada Laila.
            “Habis tu siapa lelaki yang jemput dia hari tu?”
            “Laila cakap lelaki tu cuma abang sepupu Zihah. Just abang, tak lebih dari itu.” jelasnya lagi.
            “Ya ke tak lebih dari seorang abang? Depan mata aku sendiri lelaki tu bukakkan pintu untuk Zihah!” katanya. Dia teringat kes pagi kelmarin.
            “Yang tu aku tak pasti sebab Laila sendiri yang kata Zihah tu single. Chop… chop... are you jelous?”  Shazwina mengecilkan matanya.
            “Kalau aku kata yes?” duga Qasyi sambil tersenyum.
            “Serius ke ni?” Shazwina meminta kepastian.
            Qasyi mengangguk kepala.
            “Syukur alhamdulillah. Akhirnya terbukak jugak hati kawan aku ni untuk bercinta.” Shazwina gembira.
            “Selama ni aku bukan bercinta ke?” soal Qasyi buat-buat bodoh.
            “Selama ni kau hanya suka-suka je, tak serius pun. Tapi sejak Zihah muncul, aku tengok kau dah lain. Muka kau pulak berseri-seri bila datang office. Walaupun banyak kali pelawaan kau ditolak, kau langsung tak berputus asa,” pujinya. “Apa yang membuatkan kau terjatuh hati pada dia?” Shazwina mengorek rahsia.
            “Aku pun tak tahu macam mana nak cakap. Pertama kali aku terpandang wajah dia, aku rasa sesuatu kat dalam ni.” Jari telunjuk dibawa ke dada. “Dengan dia, aku rasa tercabar bila dia asyik tolak pelawaan aku. Aku tengok dia tak sama macam perempuan-perempuan yang selalu aku usung sana sini,” luahnya.
            “Tak syak lagi, kau memang dah terkena panahan cinta Nazihah. Bila kau nak confess kat dia?”
            “Macam mana aku nak confess? Bila aku ajak keluar je dia tolak. Dia nampak aku je dia mengelak,” ujarnya.
            “Sabarlah. Nanti adalah peluang untuk kau confess kat dia. Kalau dah couple nanti jangan pulak buat dia macam semua bekas kekasih kau tu,” nasihat Shazwina.
            “Kali ni aku akan jaga betul-betul. Insya-Allah, kad perkahwinan aku akan sampai ke tangan kau suatu hari nanti.”
            “Okeylah, aku nak pergi sambung kerja. Aja-aja fighting, boss!!!” Shazwina berlalu dari bilik itu.
                                                            ******
NAZIHAH sedang menunggu teksi di hentian teksi yang berdekatan dengan bangunan Impiana Holdings. Tiba-tiba hujan turun. Dari renyai-renyai bertukar menjadi lebat. Dia mengutuk dirinya kerana tertinggal payung di pejabat. “Hesy, macam mana aku nak balik ni? Hujan bertambah lebat, batang hidung teksi pun aku tak nampak lagi ni!” keluhnya.
            Dia menjeling jam di pergelangan tangan kiri, sudah pukul 5.30 petang. Sudah setengah jam dia menunggu di situ. Bukan tiada rakan-rakan sekerja mahu menumpangkan tetapi dia yang menolak. Dia tidak mahu menyusahkan mereka.
            Gegaran di dalam beg tangannya mengejutkannya. Dia menyelukkan tangan untuk mencapai telefon bimbit.
            “Helo, Zihah… mama ni.” kedengaran suara di hujung talian.
            “Ya, ma?” sahut Nazihah.
            “Zihah kat mana tu? Kenapa suara tak clear?” soal mama Nazihah lagi.
            “Zihah tengah tunggu teksi ni ma. Kat tempat kerja hujan,” jawabnya kuat, cuba melawan bunyi hujan.”
            “Itulah Zihah, mama suruh bawak Toyota Camry, Zihah tak nak. Nak jugak beli kereta secondhand. Lepas tu boleh pulak Zihah mohon praktikal kat syarikat lain. Syarikat arwah ayah kan ada…” Mama Nazihah mula berleter.
            “Mama, Zihah nak cari pengalaman kat syarikat lain dulu. Bila dah habis belajar barulah Zihah tolong mama kat syarikat arwah ayah,” bohongnya. Sorry, ma… Zihah tak boleh beritahu mama pasal plan Zihah tu. Kalau mama tahu, mesti mama marah Zihah, bisik hatinya. “Pasal kereta pulak, Zihah tak nak orang lain tahu yang Zihah anak orang berada. Nanti ada orang ambil kesempatan pulak,” sambungnya lagi.
            “Ikut suka hati Zihahlah. Dah tu, kenapa dah tak balik rumah? Tak rindu mama ke? Banyak sangat ke kerja kat office tu?” soal mama Nazihah lagi.
            “Sekarang ni busy sikitlah ma. Nanti Zihah balik ya?” bohongnya lagi.  Memang Zihah busy, ma. Tapi bukan pasal kerja... Zihah busy merangka rancangan Zihah. Tak lama je lagi kebahagiaan orang yang Zihah paling sayang akan kembali. Sabar ya, ma… bisik hatinya.
            Tiba-tiba sebuah kereta Toyota Harier berhenti betul-betul di hadapannya.
            “Ma, nanti kita sembang lagi ya. Assalamualaikum,” ucapnya. Lantas dia mematikan talian.
            “Cermin kereta diturunkan. Qasyi menjengukkan kepalanya. “Zihah, apa awak buat kat sini?” jeritnya melawan bunyi hujan.
            “Saya tengah tunggu teksi,” jawabnya sepatah. Dia melihat ke kanan, kalau-kalau teksi lalu di situ. Dia hampa.
            “Masuklah saya hantarkan,” pelawa Qasyi.
            “Tak apalah Encik Qasyi, saya boleh tunggu teksi,” tolaknya.
            “Hujan-hujan macam ni teksi susah nak dapat. Marilah saya hantar, hari pun dah lewat ni,” pujuknya lagi.
            Nazihah berfikir sejenak sebelum berlari anak masuk ke dalam kereta Qasyi.
            “Kereta awak mana?” soalnya apabila hampir pertengahan jalan mereka diam membisu.
            “Kat bengkel,” jawabnya sepatah. Dia melemparkan pandangan ke hadapan.
            “Kenapa awak tak suruh kekasih awak jemput?” sengaja dia menyoal begitu.
            “Kekasih?” Nazihah menoleh ke wajah Qasyi. Keningnya dikerutkan.
            “Alah, lelaki yang hantar awak pagi kelmarin tu?”
            “Ooo, Abang Ehsan? Dia abang sepupu saya. Dia tak ada kat KL sekarang.”
            “Awak tak ada boyfriend ke?” soalnya ingin kepastian.
            “Tak ada. Saya malas nak fikir pasal cintan-cintun ni.”
            “Zihah, kalau saya kata yang saya suka awak dan nak awak jadi kekasih saya, awak terima tak?”
            “Maaf, saya tak boleh terima,” jawapnya laju. Ketika itu kereta Qasyi sudah berhenti di hadapan rumah sewa Nazihah.
            “Tapi kenapa?”
            “Sebab saya tak nak jadi sebahagian dari koleksi awak!” Tegas jawapannya.
            “Saya suka awak bukan untuk dijadikan koleksi, Zihah. Saya dah berubah. Dah buang semua tabiat lama saya tu. Saya nak awak jadi suri di hati saya dan ibu kepada anak-anak saya,” ujarnya bersungguh-sungguh meyakinkan Nazihah.
            “Maaf, saya tak berminat. Awak cari je orang lain yang lebih layak.” Usai berkata-kata, Nazihah terus melangkah keluar meredah hujan. Dia pantas membuka pintu pagar.
            “Zihah!” panggil Qasyi yang turut keluar dari kereta.
            Nazihah berpaling.
Qasyi sudah berdiri di belakangnya. Pakaian lelaki itu sudah lencun dibasahi hujan. “Saya ikhlas sukakan awak dan cintakan awak. Please terima saya. Saya janji hanya awak seorang je dalam hati saya.” Qasyi merayu. Dia cuba mencapai tangan Nazihah namun ditepis.
            Nazihah pantas melangkah masuk ke dalam. Pintu pagar dikunci semula memandangkan taman serumahnya pulang ke rumah keluarga masing-masing. “Dan saya ikhlas menolak awak!” jawabnya lalu berpaling untuk melangkah ke pintu rumah.
            “Saya takkan balik selagi awak tak terima saya!” Qasyi tetap berdegil.
            “Suka hati awaklah. Yang jatuh sakit nanti awak, bukan saya.” Dia berlalu masuk ke rumah.
            Qasyi duduk di batu bersebelahan pagar. Dia nekad tidak akan balik selagi Nazihah tidak menerimanya. Barulah dia sedar bukan mudah untuk mencairkan hati Nazihah. Nazihah bukan seperti perempuan lain yang mudah cair dengan wajah kacaknya.
                                                            *****
JAM sudah menunjukkan pukul 8.00 malam. Hujan di luar masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti, sebaliknya semakin lebat. Nazihah melangkah ke jendela lalu mengintai ke luar pagar. Dia ternampak kelibat Qasyi yang sedang duduk di luar bermandikan hujan. “Dia serius ke sukakan aku?” tanyanya pada diri sendiri. Dia jatuh kasihan melihat keadaan Qasyi yang menggigil kesejukkan.
            Dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di meja solek. Ehsan dihubungi. Apabila talian bersambut, dia menceritakan kejadian lewat petang tadi.
            “Tak baik Zihah biarkan dia berhujan. Zihah tak kesiankan dia ke?” Ehsan ternyata tidak menggemari apa yang dilakukan oleh Nazihah. “Cuba Zihah tanya pada hati Zihah. Tak ada sekelumit rasa kasih ke Zihah pada dia? Kalau perempuan-perempuan kat luar sana boleh jatuh hati pada dia, mesti Zihah pun ada tersangkut sekali kan bila tengok muka dia 8 jam setiap hari?”
            “Ya, Zihah mengaku memang Zihah terpaut pada dia sejak pertama kali tengok gambar dia kat dalam paper! Tapi Zihah takut. Zihah takut kalau Zihah terima dia, nasib Zihah akan sama dengan kekasih-kekasih dia yang lain.” Dia membuat pengakuan. Dengan abang sepupunya itu memang dia tidak berahsia.
            “Dengar sini Zihah. Cuba Zihah fikir secara logik. Pernah tak dia merayu begitu pada bekas kekasihnya yang lain? Pernah ke?”
            “Tak pernah,” jawabnya perlahan.
            “See… maknanya dia betul-betul cintakan Zihah! Kejadian pagi kelmarin buktinya. Zihah sendiri tengok muka dia berubah, kan? Sekarang, abang nak Zihah keluar dari rumah dan katakan pada dia yang Zihah terima dia!” arahnya.
            “Tapi apa akan jadi dengan Zihah nanti kalau dia tahu siapa Zihah yang sebenarnya?”
            “Abang rasa Zihah kena berterus-terang pada dia. Abang yakin dia akan menerima Zihah dan berterima kasih kerana Zihah mengembalikan kebahagiaannya. Tapi Zihah kena tabah menerima keputusan dia nanti,” nasihatnya. “Okeylah, abang nak keluar makan ni. Assalamualaikum,” ucapnya.
            “Waalaikumussalam.” Selepas memutuskan talian, Nazihah melangkah keluar dari biliknya. Dia menuruni tangga lalu membuka pintu rumah. Dia mencapai payung yang terletak di luar rumah lalu berjalan ke arah pintu pagar. Pintu pagar dibuka dan dia memayungi Qasyi.
            Qasyi yang masih setia di situ segera bangkit. Dia menggigil kesejukkan. “Awak sudi terima saya?” tanya Qasyi. Nada suaranya kedengaran lemah.
            Nazihah menggangguk laju. Matanya mula berair.
            “Betul ni?” soalnya ingin kepastian. Suaranya masih lagi lemah.
            “Betul, saya ikhlas menerima awak dan saya cintakan awak!” jawab Nazihah kuat.
            Sebaik mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Nazihah, Qasyi mulai rebah. Mujur Nazihah sempat menahannya dari jatuh. Payung yang dipegang Nazihah terlepas.
            “Encik Qasyi, kenapa ni? Encik Qasyi!”  Nazihah panik. Dia melekapkan belakang tangannya di dahi Qasyi. Panas! “Ya Allah, panasnya!”  Nazihah menggunakan kudrat yang ada untuk menarik Qasyi ke dalam kereta lelaki itu yang masih tersadai di hadapan rumahnya. 
            Kemudian dia berlari ke rumah untuk mencapai beg tangan dan telefon bimbit. Selepas mengambil apa-apa yang patut dan mengunci pagar rumah, dia menuju ke kereta semula lalu memandu laju ke hospital.
                                                            *****
PINTU wad dikuak dari luar.
Nazihah berpaling ke arah pintu. Dia berdiri apabila Dato' Johan dan Qalif melangkah masuk. “Maafkan saya, uncle Ni semua salah saya. Kalau saya tak biarkan Qasyi berhujan mesti dia tak jatuh sakit,” mohon Nazihah.
            Dato' Johan memandang wajah lembut di hadapannya. Dia tersenyum. “Tak apa, Zihah. Uncle  tak salahkan Zihah. Qasyi memang sensitif dengan hujan. Kalau dia terkena hujan, dia mudah demam. Macam mama dia jugak.”  Senyuman Dato' Johan mati apabila dia tersasul menyebut tentang bekas isterinya.
            Sudah lama dia tidak menyebut pasal bekas isterinya apabila bersama dengan anak-anak. Jauh di sudut hati, dia masih lagi mencintai bekas isterinya itu. Hanya anak-anaknya sahaja yang tidak tahu. Mereka menyangka dia sudah membenci bekas isterinya.
            “Awak balik dululah Zihah, kami boleh jaga along,” arah Qalif, memecahkan kejanggalan di wad itu.
            “Eh, tak apa! Saya yang sepatutnya jaga dia. Sebab saya dia jatuh sakit,” tolaknya.
            “Zihah balik dulu. Tengok pakaian Zihah tu basah. Nanti Zihah pulak yang demam.” Dato' Johan pula bersuara.
            “Kalau macam tu saya balik dulu. Ini kunci kereta Encik Qasyi,” hulurnya.
            “Zihah bawak balik kereta Qasyi tu. Bahaya anak dara naik teksi malam-malam.” Dato' Johan bimbang akan keselamatan Nazihah.
            Nazihah mengangguk lalu melangkah keluar dari wad itu.
            Satu jam kemudian Qasyi membuka matanya. Dahinya berkerut melihat dirinya berada di tempat lain, bukan di rumah sewa Nazihah. Dia lihat papanya sedang membaca majalah di sofa, manakala Qalif sudah tertidur di sebelah papanya. “Papa…” panggilnya.
            Dato’ Johan mengangkat wajah. Dia menutup majalah di tangan lalu bangkit mendapatkan Qasyi. Dahi Qasyi dirasa dengan belakang tangan.
            Qalif yang hanya tidur-tidur ayam turut membuka matanya.
            “Macam mana along boleh ada kat sini? Bukan ke tadi along ada kat rumah Zihah?” Dia keliru.
            “Along pergi rumah Zihah? Buat apa?” tanya Qalif. Keningnya dijungkit.
            Dato’ Johan juga menanti jawapan Qasyi. Ada senyuman terukir di bibirnya.
            Gulp! Qasyi menelan liur. Dia sudah terperangkap!
            “Erk… tadi hujan sebab tu along hantar Zihah balik.” Dia berterus-terang.
            “Along hantar Zihah? Bukan dia ada kereta ke?” Dato’ Johan pelik.
            “Kereta dia masuk bengkel.”
            “Chop… chop… along hantar Zihah naik kereta, kan? Macam mana along boleh kena hujan pulak?” Qalif cuba menganalisa jawapan Qasyi.
            “Along lamar dia jadi kekasih,” jawab Qasyi.
            Mata Dato’ Johan dan Qalif sudah membesar.
            “Dia terima ke?” tanya Dato’ Johan.
            Qasyi mengangguk lalu tersenyum.
            “Bukan ke dulu dia pernah tolak pelawaan along? Macam mana boleh terima pulak?” tanya Dato’ Johan lagi.
            Qasyi bangkit lalu menyandarkan badannya di kepala katil. Tidak selesa rasanya apabila asyik berbaring. “Nak air, dahagalah.” Sengaja dia melambat-lambatkan.
            Qalif pantas bangun lalu mencapai gelas. Air di tuang ke dalam gelas dan diberikan kepada alongnya. Kemudian dia duduk di sisi papanya. Dagunya ditongkat, tidak sabar mahu mendengar cerita Qasyi. “Cepatlah cerita,” gesanya.
            Gelas yang sudah kosong Qasyi letakkan ke meja sisi. “Along lamar dia masa dah sampai kat depan rumah dia. Mula-mula tu dia menolak. Along nekad tunggu kat luar rumah dia sampai dia setuju.”
            “Maknanya along berhujanlah?” sampuk Qalif.
            Qasyi mengangguk.
            Dato’ Johan tekun mendengar.
            “Lepas tu?” tanya Qalif.
            “Lepas tu… lama jugaklah along tunggu kat luar rumah tu, dengan menggigilnya, dengan hujan yang tak henti-henti turun. Ada jugak along rasa nak putus asa tapi along cuba bertahan. Bak kata orang dulu-dulu, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Tak lama lepas tu, Zihah datang dan dia terima along. Masa tulah along pengsan. Sedar-sedar je along ada kat hospital.” Qasyi mengakhiri ceritanya.
            “Wah… dah macam dalam novel pulak kisah along ni. Nasib baik Zihah terima, buatnya dia tak terima, alamat berkampunglah along kat depan rumah dia tu,” kata Qalif.
            “Along tak main-main dengan Zihah, kan?” Dato’ Johan ingin tahu. Bukan dia tak tahu perangai anak sulungnya. Dia tidak mahu anaknya itu mempermainkan Nazihah.
            “Along serius dengan Zihah, pa. Mungkin dah sampai masanya along bersara jadi kasanova dan mungkin dah sampai masanya along menamatkan zaman bujang.” Ikhlas Qasyi berkata.
            Dato’ Johan mengucap syukur di dalam hati. Akhirnya muncul juga gadis yang telah berjaya memecahkan tembok yang Qasyi bina. Sedikit-sebanyak, anaknya itu sudah percaya pada ikatan perkahwinan.
            “Kalau macam tu, nanti bolehlah papa jumpa keluarga Zihah, kan pa?” Qalif bersuara ceria.
            “Rasanya jangan dulu kot sebab kami baru je nak bermula. Bila tiba masanya, along akan bincang dengan Zihah dulu. Kalau kita pergi mengejut je, boleh pengsan keluarga dia nanti,” ujar Qasyi.
            “Papa ikut je. Papa tak kisah lambat atau cepat yang penting, papa tetap nak Zihah jadi menantu sulung papa.” Dato’ Johan tersenyum.
                                                            *****
NAZIHAH merebahkan badannya di atas katil. Dia tersenyum memandang siling. Hubungannya dengan Qasyi semakin rapat sejak Qasyi keluar dari hospital. Selain Qasyi, dia juga semakin rapat dengan Dato' Johan dan Qalif. Berada di kelompok keluarga Qasyi membuatkan dia bahagia. Dato' Johan melayannya seperti anak sendiri. Dia berasa seperti mendapat semula kasih sayang ayahnya.
            Ayahnya meninggal akibat serangan jantung. Ketika itu dia baru berusia 15 tahun dan sedang menduduki peperiksaan PMR. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan dia ketika itu. Dia menjadi yatim piatu pada usia yang terlalu muda. Mama kandungnya pula meninggal dunia sebaik sahaja dia dilahirkan.
            Ketika dia berusia 9 tahun, ayahnya telah berkahwin lain. Mama tirinya itu terlalu baik padanya, melayan dia seperti anak kandung sendiri walaupun mempunyai anak dengan bekas suami. Dia pernah bertanya kepada mama tirinya itu, kenapa berpisah dengan bekas suami? Jawapan yang diberikan ialah tiada jodoh.
            Selepas kematian ayahnya, dia bergantung hidup pada mama tirinya. Mama tirinyalah yang menguruskan segala keperluan hidupnya. Nazihah terkenang kembali peristiwa yang menyebabkan dia nekad untuk masuk ke dalam keluarga Dato' Johan.
            Nazihah melangkah perlahan menghampiri bilik mama tirinya.Sampai sahaja di hadapan pintu bilik yang terbuka luas itu, dia pelik melihat mama tirinya menangis sambil menatap sebuah album. “Kenapa mama nangis?” soalnya sambil melangkah menghampiri mama tirinya.
            Mama tirinya itu pantas menyembunyikan album di bawah bantal. “Mana ada mama nangis. Mata mama ni masuk habuk.”
            Mama, mama... Zihah bukan budak-budak lagi. Zihah tahu mama menangis. Tapi, apa yang menyebabkan mama menangis? Tak mungkin mama menangis bila tengok gambar arwah ayah. Tu mesti gambar orang lain sebab aku tak pernah tengok pun album tu masa ayah hidup. Kata-kata itu hanya terluah di dalam hatinya sahaja.
            “Zihah dah makan?”
            “Belum lagi. Zihah ke sini nak ajak mama makanlah. Jom kita makan ma, Zihah laparlah.” Nazihah mengusap perutnya.
            “Kesian anak mama. Jomlah kita makan.”
            Nazihah mengekori langkah mama tirinya dari belakang. Sekilas dia berpaling ke bantal, merenung tajam pada album gambar yang disorokkan mama tirinya tadi. Dia nekad mahu mendapatkan album itu nanti. Selagi tidak lihat sendiri, hatinya tidak akan rasa puas. Dia yakin ada sesuatu pada album itu.
                                                            *****
SEBAIK sahaja mama tirinya ke tempat kerja, Nazihah pantas menyelinap masuk ke bilik mama tirinya lalu cuba mencari album itu. Hampir semua tempat digeledah namun satu album pun dia tidak jumpa. Matanya tiba-tiba terpaku pada almari pakaian. Dia membuka almari lalu memulakan pencariannya. Matanya bersinar apabila menjumpai apa yang dicari. Ketika dia menarik keluar album itu, sebuah diari yang kelihatan agak kusam turut terjatuh. Dia mengutip diari itu lalu membeleknya.
“Diari siapa ni?” Naziha duduk di birai katil dan membaca isi yang terkandung dalam diari itu. Dia terkejut membaca isi diari milik mama tirinya itu. Dia tidak menyangka mama tirinya sanggup mengorbankan diri demi menyelamatkan syarikat bekas suaminya.
Dia juga  tidak menyangka bahawa ayah yang amat dia sayang dan hormati sanggup meruntuhkan rumah tangga orang. Usai membaca diari itu, dia membuka pula album yang diambil tadi. Dia melihat satu per satu gambar yang ada.
            Tiba-tiba dia terdengar bunyi enjin kereta dimatikan. Dia melangkah ke tingkap bilik untuk melihat siapa yang balik. Terkejut dia melihat mama tirinya keluar dari kereta. Mungkin tertinggal barang, fikirnya dalam hati. Sepantas kilat dia mengambil sekeping gambar pada album itu lalu menyimpan semula album itu di dalam almari. Diari milik mama tirinya itu dibawa ke biliknya.
Sejak dari itu dia bertekad untuk mengembalikan mama tirinya ke pangkuan bekas suami dan anak-anak kandungnya. Sejak dari itu juga dia mula mengumpul maklumat mengenai bekas suami mama tirinya, Dato' Johan. Nazihah bangkit dari pembaringan. Badannya di sandarkan di kepala katil. “Aku mesti berterus terang pada Qasyi. Tapi aku takut! Tak apalah, demi mengembalikan mama pada Uncle Johan, aku sanggup terima apa je keputusan Qasyi. Mama dah banyak menderita sejak berkahwin dengan ayah. Aku nak tengok mama bahagia. Zihah, kau kena kuatkan semangat kau!” Nazihah cuba memberi semangat pada dirinya sendiri.
            “Kak Zihah, ooo Kak Zihah...”
            Nazihah memandang pintu biliknya yang diketuk dari luar. Perlahan lahan dia bangkit dan membuka pintu. “Ya, Cik Sofea… ada apa?”
            “Jom makan, Sofea dah siap masak.”
            “Sofea masak apa? Tak ada bau masakan pun tadi?” Nazihah pelik.
            “Masak yang simple-simple je. Maggi.” Sofea tersengih. “Akak nak tak? Kalau tak nak tak apa, nanti Sofea habiskan.”
            “Amboi, macam tu Pulak? Dah pelawa, mana boleh buruk siku. Mama akak kata, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Maggi pun maggilah, janji perut terisi.” Nazihah menuruni tangga. Dia cuba melupakan seketika rancangan untuk berterus-terang pada Qasyi.
                                                            *****
“QASYI, saya ada sesuatu nak bagitau awak,” kata Nazihah. Ketika itu dia dan Qasyi sedang menikmati pemandangan waktu malam di Putrajaya.
            “Apa dia?” soal Qasyi ingin tahu.
            Nazihah menarik nafas perlahan. Dia mahu berterus-terang pada Qasyi. Jika Qasyi masih menerima dia sebagai seorang kekasih, dia ingin meminta bantuan lelaki itu untuk menolongnya menemukan kembali Dato' Johan dengan mama tirinya, Puan Khalidah.
            “Sebenarnya, saya anak tiri Puan Khalidah.” Nazihah memandang wajah Qasyi, untuk melihat reaksi lelaki itu.
            Wajah Qasyi berubah merah padam menahan marah apabila mendengar nama mamanya keluar dari mulut Nazihah. Peristiwa 15 tahun dahulu kembali menerjah di mindanya. Dia meraba parut yang dihadiahkan mamanya. “Jadi, selama ni awak sengaja nak mempermainkan sayalah?! Awak buat saya jatuh cinta pada awak, tergila-gilakan awak, kemudian baru nak beritahu yang awak ni anak tiri perempuan tu?! Apa yang awak dapat dengan berbuat begini? Apa?!”
Nazihah tergamam dengan reaksi Qasyi. Lidahnya kelu untuk bersuara.
“Awak nak balas dendam pada saya sebab saya mempermainkan perasaan ramai perempuan? Apa salah saya pada awak? Awak tak ada hak nak mempermainkan perasaan saya!” tengking Qasyi.
Pengunjung yang turut berada di situ sudah menjeling ke arah mereka.
            Qasyi bangkit dari duduknya. Dia berlalu meninggalkan Nazihah. Dia tidak dapat menerima, perempuan yang dicintainya merupakan anak tiri mamanya.
            “Qasyi, tunggu. Dengarlah penjelasan saya dulu,” rayu Nazihah. Dia turut bangun mengejar Qasyi. Ketika lelaki itu ingin membuka pintu kereta, dia cepat-cepat menghalang. Dia berdiri betul-betul di hadapan pintu kereta. “Dengarlah penjelasan saya dulu, Qasyi. Saya bukan nak mempermainkan awak. Dan saya bukan nak balas dendam pada awak. Awak kena dengar penjelasan saya,” rayunya.
            “Tak ada apa-apa yang awak perlu jelaskan lagi. Mulai hari ni hubungan kita putus!” putus Qasyi. Dia menolak Nazihah ke tepi.
            “Senangnya awak, Qasyi. Lepas awak tunjukkan keikhlasan awak pada saya, awak tinggalkan saya. Awak tahu tak, sebab inilah saya tak nak terima awak dulu. Sekarang awak tinggalkan saya bila dapat tahu yang saya anak tiri Mama Khalidah. Saya tak kisah awak nak tinggalkan saya tapi please… dengar dulu penjelasan saya,” rayu Nazihah. Dia sudah menangis teresak-esak.
            Qasyi tidak sanggup melihat air mata Nazihah. Dia memang mencintai Nazihah tetapi apabila mendapat tahu bahawa Nazihah mempunyai hubungan dengan mamanya, dia jadi benci! Benci dengan orang yang ada pertalian dengan perempuan itu. Dia mengeraskan hatinya untuk tidak mempedulikan permintaan Nazihah. Dia masuk ke dalam kereta. Kereta dipandu laju meninggalkan kawasan Putrajaya.
            Nazihah masih lagi menangis teresak-esak. Dia mengambil telefon bimbit di dalam beg tangan. Nombor Ehsan didail. Apabila talian bersambut, dia meminta abang sepupunya itu datang menjemputnya.
                                                            *****
“SABARLAH Zihah. Semuanya salah abang, kan? Kalau abang tak suruh Zihah berterus-terang mesti hubungan Zihah dengan dia tak jadi macam ni, kan?” ujar Ehsan. Ketika itu dia membawa Nazihah makan di Restoran Seri Melayu.
            Nazihah masih lagi sedih dengan keputusan Qasyi. Wajahnya muram.
            “Apa rancangan Zihah lepas ni?” soal Ehsan lagi.
            “Zihah ingat, esok Zihah nak jumpa dia kat office. Dia nak atau tidak, Zihah tetap akan beritahu perkara sebenar.”
            “Zihah nak abang temankan ke?” tanya Ehsan. Dia bersimpati dengan nasib Nazihah.
            “Tak perlu bang, Zihah masih boleh handle.” Beberapa minit selepas itu, makanan yang dipesan sampai. Mereka menikmati makan malam dengan perasaan yang sayu.
                                                            *****
“AWIN, batalkan semua appointment aku. Lagi satu aku tak nak sesiapa ganggu aku. Aku nak bersendirian!” Suara Qasyi kedengaran di Interkom.
            “Okey, bos,” jawabnya.
Selepas beberapa hari tidak datang ke pejabat, akhirnya Qasyi muncul juga hari ini.
            Nazihah berjalan mendapatkan Shazwina. “Awin, Encik Qasyi ada kat dalam ke?” soalnya kepada Shazwina. Hampir setiap hari dia bertanya Shazwina mengenai Qasyi. Pagi tadi ketika dia memakirkan keretanya, dia ternampak kereta Qasyi di situ. Dengan muka berseri-seri dia melangkah ke pejabat.
            “Bos ada tapi dia tak nak jumpa sesiapa,” beritahunya.
            “Please, Awin… saya kena jumpa dengan Encik Qasyi sekarang. Penting sangat-sangat,” rayunya.
            Shazwina berasa simpati dengan Nazihah. “Tunggu kejap.” Dia menekan interkom. “Bos, Nazihah nak jumpa,” katanya
            “Kan aku dah kata tak nak jumpa sesiapa. Kau tak faham bahasa ke?!” herdiknya.
 Shazwina terperanjat. Selama dia bekerja di bawah Qasyi, tidak pernah lagi dia ditengking sebegitu rupa.
            Dalam Shazwina sedang terkulat-kulat, Nazihah mengambil keputusan untuk melangkah masuk ke bilik Qasyi. Pintu bilik Qasyi dikuak.
            Mencerlung mata Qasyi melihat Nazihah merempuh masuk ke dalam biliknya. “Siapa suruh kau masuk? Keluar dari bilik aku sekarang!” herdiknya. Marahnya pada Nazihah masih belum pudar. Dia rasa tertipu. “Awin, bawak dia keluar!” arahnya sebaik sahaja melihat wajah serba salah Shazwina di belakang Nazihah.
            “Zihah, jom kita keluar…” Shazwina memegang lengan Nazihah.
            “Saya takkan berganjak sebelum awak mendengar penjelasan saya!” ujarnya tegas.
            “Okey, apa yang kau nak jelaskan? Cepat sikit, aku sibuk!” dia mengalah dengan kedegilan Nazihah.
            Mendengar kata-kata Qasyi, Shazwina melangkah keluar. Pintu bilik Qasyi ditutup.
            Nazihah menghampiri Qasyi lalu menghulurkan diari kusam milik Puan Khalidah kepada lelaki itu. “Awak baca ni dulu, nanti awak akan faham.” arahnya.
            Dengan malas Qasyi mengambil lalu menyelak helaian demi helaian. Dia terhenti pada helaian yang bertarikh 18 April 1996. Dia membaca satu per satu bait yang tertulis di situ.

            18 April 1996
Aku mendapat mendapat panggilan telefon dari mama. Mama memaksa aku meminta cerai dari Johan. Jika aku tidak mematuhi arahannya, mama akan memusnahkan perniagaan Johan. Aku hanya mengabaikan permintaan mama. Aku menyangka mama hanya berpura-pura mengugutku.

            21 April 1996
Sedikit demi sedikit, pelabur di syarikat Johan menarik diri untuk terus melabur. Aku lihat Johan semakin susah hati dengan syarikatnya yang kian terumbang-ambing. Aku ingin sekali membantu tapi aku tak tahu apa yang perlu aku buat. Hanya satu sahaja yang terlintas di kepalaku. Mama! Ya, hanya mama yang boleh membantu syarikat Johan. Esok aku akan cuba ke rumah mama untuk meminta bantuan.
           
            22 April 1996
Aku tak sangka kejatuhan syarikat Johan berpunca dari mama. Mama telah memaksaku sekali lagi agar meninggalkan Johan dan kedua-dua puteraku yang masih kecil, Qasyi dan Qalif. Tapi aku tak sanggup. Aku sangat sayangkan keluargaku. Mama telah memberi kata putus kepadaku. Sekiranya aku tidak meminta cerai pada Johan, mama akan buat hidup kami sekeluarga merempat.
Sampainya hati mama memperlakukan anak kandungnya sebegini. Tidakkah mama mahu melihat aku hidup bahagia bersama keluargaku sendiri? Aku terpaksa membuat keputusan! Demi untuk tidak mahu melihat suami dan anak-anakku hidup menderita, biarlah aku mengalah. Biarpun pedih, kuteruskan jua.

            23 April 1996
Mama menghubungiku, bertanyakan mengenai keputusanku. Aku memberitahu mama yang aku akan turut segala kehendaknya. Mama gembira dengan keputusanku. Dia akan menyuruh Malik menjemputku esok.
Hari ni merupakan hari terakhirku bersama keluarga tercinta. Aku memasakkan lauk kegemaran suami dan anak-anakku. Aku melihat satu per satu wajah yang aku sayang. Dalam hati aku menangis pilu. Ya Allah, aku tak sanggup berpisah dengan keluargaku. Tolonglah kuatkan semangatku esok.
           
            24 April 1996
Aku telah berjaya menyakiti hati suami dan anak-anakku. Aku terpaksa berbuat begitu. Kalau tidak, aku tak akan sampai hati nak meninggalkan mereka. Aku memang ibu yang teruk! Dengan tanganku sendiri aku telah menolak along. Aku tergamam apabila melihat banyak darah yang mengalir di dahi along. Aku ingin menghampiri along dan mengatakan bahawa aku tidak sengaja untuk menolaknya.
Apabila Johan memberikan kata putus kepadaku, aku ingin sekali memilih untuk terus menjadi isteri dia tetapi mesej yang dikirim mama membantutkan keputusanku. Aku pasrah kalau sampai di sini sahaja jodohku dengan Johan. Kerna terpaksa juga, aku melangkah pergi buat selama-lamanya dari hidup suami dan anak-anakku.

            25 April 1996
Hari ini mahkamah mengesahkan perceraianku dan Johan. Aku terpaksa meneruskan hidupku tanpa Johan dan anak-anak. Petang itu juga tanpa pengetahuan Johan, aku pergi ke hospital di mana along ditempatkan. Aku hanya melihat dari jauh. Pilu hatiku melihat kepala along berbalut. Aku teringin sekali memeluk along dan mengurangkan kesakitannya. Maafkan mama, along… maafkan, mama. Mama sayang along, sayang adik dan juga papa. Tapi mama tak berdaya, along… tak berdaya.

            Air mata Qasyi tumpah. Dia menyelak helaian seterusnya dan meneruskan pembacaan tanpa menghiraukan Nazihah yang merenungnya.

            26 April 1996
Aku terkejut mendengar permintaan mama. Mama memaksaku mengahwini Malik yang telah lama kematian isteri, sesudah aku habis edah nanti. Menurut mama, Malik mempunyai seorang anak perempuan yang ketandusan kasih-sayang seorang ibu. Mama kejam! Kenapa mama tidak memikirkan tentang anak-anakku yang juga memerlukan kasih-sayangku!
Petang itu jugak aku bertemu Malik, meminta dia agar menolak cadangan mama tetapi Malik tidak mahu menuruti kemahuanku. Dia membuat pengakuan. Pengakuannya membuatkan aku terkejut. Menurutnya, dia sebenarnya mencintaiku sejak dahulu lagi. Dia kecewa apabila mendapati bahawa aku telah berkahwin lari di Songkhla, Thailand bersama Johan.
Sejak dari itu dia membawa diri ke luar negara. Beberapa tahun kemudian dia kembali ke Malaysia bersama anak tunggalnya yang ketika itu berumur 9 tahun. Apabila dia mendapati syarikat mama menghadapi masalah, dia menghulurkan bantuan tapi dengan syarat, mama mesti mengahwinkan aku dengan dia. Demi menyelamatkan syarikatnya, mama sanggup menggadaikan aku tanpa mengira aku masih isteri kepada Johan. Sungguh kejamnya mama!
Ternyata rancangan Malik dan mama untuk memisahkan aku dan keluarga, berhasil. Sehingga aku dibenci oleh bekas suami dan anak-anakku sendiri.

            14 August 1996
Hari ini, aku telah sah menjadi isteri Malik. Hatiku merintih pilu namun apabila melihat wajah anak tunggal Malik, aku merasakan rinduku terhadap anak-anakku terubat. Aku melayan anak Malik seperti anakku sendiri. Nazihah seorang anak yang baik dan mendengar kata.

            28 Julai 1999
Mama telah kembali ke Rahmatullah. Aku redha dengan pemergian mama. Kepada Dia kita datang, dan kepada Dia juga kita pergi. Semoga roh mama dicucuri rahmat. Sebelum mama menghembuskan nafas terakhir, mama sempat memohon maaf atas segala perbuatannya kepadaku. Aku dengan seikhlas hati memaafkan mama.

            30 september 2000
Hubunganku dengan Malik tidak bahagia sejak dari mula kami berkahwin. Kami sering bertengkar kerana dia tertangkap aku sering menangis melihat gambar-gambarku bersama Johan dan anak-anak. Pernah dia mencampakkan albumku ke luar tingkap. Mujur Mak Milah, orang gaji Malik ternampak ketika dia sedang menyiram pokok bunga. Dia segera menyimpannya dan memberikan kepadaku semula selepas Malik berangkat ke tempat kerja.

            20 February 2002
Malik telah selamat dikebumikan semalam. Aku terjumpa sepucuk surat dari dalam laci. Aku kenal benar tulisan tangan Malik. Surat itu kubuka apabila melihat namaku tertera di situ. Dalam kandungan surat itu Malik juga memohon maaf kepadaku kerana telah meruntuhkan rumahtanggaku. Dia meminta aku menjaga anaknya Nazihah dan memintaku menguruskan syarikatnya. Aku berjaji akan menjaga Nazihah seperti anakku sendiri kerana Nazihahlah penawarku sekarang.

            15 September 2003
Selepas terbaca  artikel tentang Johan di paper, aku rasa sangat rindu dengan anak-anakku. Ternyata Johan telah berjaya membangunkan empayarnya semula. Aku teringin untuk berjumpa dengan anak-anakku dan Johan tapi aku takut mereka tidak mahu berjumpa denganku lagi.
Biarlah aku memendam rindu ini, asalkan mereka bahagia tanpaku. Biarlah Tuhan yang menentukan segalanya.

            Qasyi menutup diari kusam itu setelah selesai membaca. Air matanya masih lagi belum berhenti. Dia memandang Nazihah. “Thanks, Zihah… thanks kerana memberitahu saya perkara yang sebenar. Kalau tak, mesti saya masih membenci mama. Rupa-rupanya mama tak salah.” ucapnya
            Nazihah tersenyum. “Lepas je saya baca diari mama, saya terus bertekad untuk mengembalikan mama semula kepada keluarganya. Sebab tulah saya masuk ke syarikat ni. Tapi awak je yang salah anggap,” terangnya.
            “Sorry sebab saya dah sakiti hati awak kelmarin,” ucapnya.
            “It's okay.” Nazihah tersenyum.
            “Awak balik dengan apa hari tu?” soalnya
            “Saya telefon Abang Ehsan, suruh dia ambil saya,” jawabnya  sambil tersenyum lagi.
            “Boleh bawak saya jumpa mama?” pintanya.
            Nazihah mengangguk. “Tapi bukan sekarang.”
            “Kenapa pulak?” soal Qasyi pelik.
            “Sebab saya ada rancangan saya sendiri. Tapi sebelum tu saya nak awak tolong saya,” pintanya.
            “Tolong apa?” soal Qasyi ingin tahu.
            “Macam ni, hari ahad ni hari bapa, kan? So, saya nak awak pakat dengan Qalif supaya bawak Uncle Johan ke Hotel Hilton. Saya pulak akan bawak mama ke sana. Nanti kita jumpa kat sanalah Ya…” terangnya.
            “Ooo, maknanya awak nak buat program jejak kasihlah ni ya?” Qasyi tersenyum. Terharu dengan rancangan Nazihah.
            “Pandainya awak teka,” puji Nazihah.
Mereka ketawa kuat.
            Shazwina yang berada di luar, pelik mendengar ketawa bosnya dan Nazihah.  “Aik, tadi melenting. Sekarang ketawa pulak? Entah apalah ilmu yang si Zihah pakai ni,” bebelnya seorang diri.
            “Zihah, saya nak kita sambung balik hubungan kita. Saya janji takkan sakitkan hati awak lagi. Awak pun tahu kan time tu fikiran saya bercelaru bila awak bagitahu pasal identiti awak yang sebenarnya. Terima saya balik ya?” pinta Qasyi.
            Nazihah mengangguk laju.
            “Thanks, Zihah… thank you so much,” ucapnya.
                                                            *****
“MAMA, boleh Zihah masuk?” pinta Nazihah yang sudah berada di hadapan pintu bilik Puan Khalidah. Petang tadi dia sampai ke rumah arwah ayahnya.
            “Masuklah. Macam tak biasa pulak Zihah ni,” ujar Puan Khalidah sambil tersenyum.
            Nazihah pantas melabuhkan punggung di atas kati, di sebelah Puan Khalidah.
            “Dah besar anak mama ni. Zihah dah ada special boyfriend ke?” Puan Khalidah mengusap lembut pipi Nazihah.
            Nazihah mengangguk. Inilah peluangnya untuk dia menceritakan rancangannya.
            “Siapa lelaki yang berjaya menambat hati anak mama ni?” Puan Khalidah memeluk bahu Nazihah dengan sebelah tangan.
            “Nama dia Qasyi.”
            Puan Khalidah tergamam mendengar nama itu. Tak mungkin dia. Ramai lagi yang nama Qasyi. Dia cuba menyedapkan hatinya.
            Nazihah tahu mamanya terkejut. “Qasyi Umair Dato' Johan.” Kali ini Nazihah menyebut nama penuh Qasyi.
            Kelihatan peluh memercik di dahi Puan Khalidah. Wajahnya pucat.
            “Kenapa mama? Mama sakit ke?”
            “Erk... tak ada apa-apa. Mama okey.” Puan Khalidah menyeka peluh di dahinya. “Zihah buat praktikal kat syarikat mana?” Puan Khalidah ingin tahu.
            “Impiana Holdings.”
            “Ya Allah!” Jantung Puan Khalidah bergetar kuat.
            “Kenapa ma?”
            “Tak ada apa-apa. Zihah, mama mengantuk. Mama nak tidur dulu.” Puan Khalidah menarik selimut dan ingin membaringkan diri.
            “Zihah dah tahu semuanya, ma.”
            Kata-kata Nazihah menghentikan perlakuan Puan Khalidah. Dia memandang Nazihah dengan riak terkejut. “Apa yang Zihah tahu?”
            Nazihah senyap. Sengaja mahu buat mamanya tertanya-tanya.
            “Zihah?” Puan Khalidah memegang tangan Nazihah, meminta penjelasan.
            Sejuk terasa tangan Puan Khalidah. Nazihah menarik nafas perlahan. “Zihah tahu segalanya pasal masa silam mama. Mama dipaksa minta cerai pada Uncle Johan, Mama terpaksa kahwin dengan ayah Zihah dan mama sangat-sangat merindui keluarga mama.”
            “Mana Zihah tahu?”
            “Zihah terbaca diari mama. Zihah minta maaf sebab baca diari mama tanpa pengetahuan mama. Sebenarnya Zihah masuk ke Impiana Holdings bersebab.” Nazihah memandang wajah Puan Khalidah yang lencun dibasahi air mata.
            Puan Khalidah tersedu-sedan. Matanya terbayang wajah-wajah yang amat dirindui. Dia memegang dadanya. Terasa pedih dadanya menanggung rindu.
            “Zihah masuk ke situ untuk kembalikan mama pada Uncle Johan dan anak-anak mama,” sambung Nazihah lagi.
            “Tapi Zihah, mereka bencikan mama. Mereka fikir mama jahat tapi mama terpaksa, Zihah… mama terpaksa.”
            “Ma, Zihah tahu mama terpaksa. Bukan kehendak mama pun.” Nazihah menenangkan Puan Khalidah. “Mama, sebenarnya Qasyi dah tahu pasal ni. Dia dah maafkan mama.”
            “Betul ke dia maafkan mama? Betul ke Zihah?” Puan Khalidah menggoncang lengan Nazihah.
            Nazihah mengangguk. “Dia teringin sangat nak jumpa mama. Mama nak jumpa dia tak?”
            “Nak, Zihah… mama nak jumpa dia. Boleh kita pergi sekarang?” Puan Khalidah sudah bangkit mahu menukar pakaian. Pintu almari sudah dibuka. Laju tangannya memilih baju.
            Nazihah turut bangkit mendapatkan Puan Khalidah. “Mama, kita bukan nak pergi malam ni. Dah lewat ni. Qasyi mesti dah tidur.”
            Terhenti pergerakkan Puan Khalidah. Wajahnya bertukar muram. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung ke katil. Air matanya mengalir lagi. Dia benar-benar ingin berjumpa anak-anaknya.
            “Mama, janganlah macam ni. Zihah akan bawak mama jumpa dengan mereka hari ahad nanti ya? Zihah janji yang keluarga mama akan bersatu semula.”
            Puan Khalidah memeluk Nazihah.
                                                            *****
“PAPA, hari ni kita sambut hari bapa kat Hotel Hilton ya? Boringlah asyik sambut kat rumah je,” ujar Qalif. Semalam dia baru mendapat tahu mengenai mamanya. Qasyi telah menceritakan segala-galanya. Dia juga seperti Qasyi, tidak menyangka mamanya telah diugut oleh arwah nenek. Tetapi dia tidak membenci arwah nenek kerana neneknya telah tiada. Tidak baik memaki orang yang sudah tiada.
            “Papa rasa malaslah nak keluar hari ni. Kita sambut kat rumah jelah,” ujar Dato' Johan pula.
            “Alah pa, please...” rayu Qasyi pula. “Along, Qalif dan Zihah ada hadiah istimewa untuk papa. Please pa…” rayunya lagi.
            “Betul ni hadiah istimewa?” Dato' Johan teruja mendengar kata-kata anak-anak bujangnya.
            Kedua-dua mereka mengangguk.
            “Okey,” putus Dato' Johan.
            “Yeah!!!” Mereka bersorak seperti budak kecil. “Jom kita bersiap sekarang!!” Qasyi dan Qalif mengajak Dato' Johan supaya bersiap.
Dato' Johan tiada pilihan lain. Dia hanya menuruti kehendak anak-anaknya.
                                                            *****
“MANA hadiahnya?” minta Dato' Johan. Tangan dihulurkan kepada Qasyi dan Qalif.
            “Nantilah pa. Kejap lagi Zihah bawak. Kita tunggu sekejap ya?” jawab Qasyi. Dia menilik jam di tangan kiri. Beberapa minit menunggu, Qasyi terpandang kelibat Nazihah bersama mamanya di pintu masuk Restoran Hotel Hilton. “Papa, pejam mata sekejap boleh tak? Zihah dah bawakkan hadiah tu,” pinta Qasyi.
            “Okey.” Tanpa banyak cakap, Dato' Johan menutup kedua-dua belah matanya.
            Nazihah mempercepatkan langkahnya.
            “Zihah, mama takutlah,” luah Puan Khalidah. Dia gementar sebaik sahaja melihat anak-anak dan bekas suaaminya sudah sedia menunggu.
            “Mama jangan risau, Qasyi dan Qalif kan dah maafkan mama? Dia orang tak salahkan mama pun. Relaks okey…” pujuk Nazihah.
            Qasyi dan Qalif menyalami mamanya sebaik sahaja Nazihah dan Puan Khalidah sampai ke meja. Qasyi membuat isyarat agar Puan Khalidah tidak bersuara dan memintanya duduk di hadapan Dato' Johan yang masih lagi munutup mata.
            “Papa boleh bukak mata sekarang,” arah Qasyi.
            Sebaik sahaja membuka matanya, Dato' Johan terkejut apabila melihat bekas isterinya berada di hadapannya. Lama dia merenung wajah bekas isterinya itu.
            “Pa, inilah hadiah yang along, Qalif dan Zihah cakapkan tu. Tapi sebelum kami tinggalkan papa dan mama untuk berbincang, along dan Qalif nak minta maaf pada mama sebab pernah membenci mama,” ucap Qasyi. Kemudian Qasyi dan Qalif mendapatkan mamanya. Tubuh wanita itu dipeluk.
            “Mama pun nak minta maaf jugak sebab mama dah tinggalkan kamu berdua dan mama jugak telah mencederakan along,” ucap Puan Khalidah sambil menangis teresak-esak.  Dia mencium dahi kedua-dua anak bujangnya yang sudah 15 tahun tidak ditemui. “Dah besar anak-anak mama,” katanya lagi.
            Nazihah dan Dato' Johan yang menyaksikan adengan itu turut mengalirkan air mata. Kemudian Dato' Johan dan Puan Khalidah ditinggalkan berdua untuk berbincang dari hati ke hati.
            “Abang, Khal nak minta maaf kat abang sebab Khal tak tunaikan janji Khal untuk sehidup semati dengan abang. Khal dah mungkir janji.” Puan Khalidah menceritakan semula sebab dia meninggalkan keluarganya pada masa itu.
            Dato' Johan mengesat air matanya. “Sudahlah Khal, perkara yang lama jangan dikenang lagi. Sekarang ni kita buang yang keruh, ambil yang jernih,” ucap Dato' Johan seusai mendengar cerita dari Puan Khalidah. “Khal, abang nak kita bernikah semula. Sudikah Khal menjadi isteri abang semula?” tanya Dato' Johan. Cintanya kepada Puan Khalidah bertambah mekar setelah mendengar cerita bekas isterinya. Dia terharu dengan pengorbanan bekas isterinya itu.
            “Tapi bang, macam mana dengan along dan Zihah? Mereka berdua kan tengah bercinta sekarang?” soalnya ragu-ragu.
            “Pasal kami mama dan papa tak perlu risau sebab kami bukan adik-beradik kandung. Jadi, along dah buat keputusan yang along akan menikahi Zihah.” Qasyi tiba-tiba menyampuk dari belakang.
            Nazihah terharu bercampur terkejut mendengar keputusan Qasyi.
            “Nampaknya kita buat serentaklah perkahwinan papa dengan mama, along dengan Zihah,” kata Qalif pula.
 Mereka sekeluarga ketawa gembira.
                                                            *****
USAI majlis pernikahan antara Dato' Johan-Puan Khalidah dan Qasyi-Nazihah, mereka berkumpul di ruang tamu beramai-ramai.
            “Zihah, thanks sebab kembalikan mama kepada papa. Papa amat menghargai pertolongan Zihah.”
            “Tak apa pa. Itu dah memang tanggungjawab Zihah. Zihah sanggup buat apa sahaja untuk melihat mama gembira semula. Mama dah banyak hidup menderita di sebabkan ayah Zihah,” kata Nazihah pula.
            “Thanks, Zihah… thanks sebab satukan kembali keluarga abang. Kalau Zihah tak muncul kat syarikat papa, mungkin abang masih jadi playboy lagi,” ucap Qasyi pula. Dia menggenggam erat tangan Nazihah.
            “Kalau tak disebabkan Qalif mesti along tak bertemu dengan kak long tau. Dahsyat betul along ni tau ma. Sampai berhujan dia merayu kat kak long supaya terima cinta dia.” Qalif mengungkit semula kejadian yang menyebabkan Qasyi demam.
            “Yalah. Terima kasih jugak pada Encik Qalif kita ni yang telah berjaya memujuk papa supaya memilih Zihah untuk program praktikal kat office tu,” kata Qasyi lagi.
Mereka ketawa lagi
            Nazihah bersyukur di dalam hati kerana segala rancangannya berjalan lancar. Sekarang, keluarga suaminya sudah bersatu kembali.

~TAMAT~

6 comments:

  1. Aina Nazihah n Zainab Mardhiah yer... mcm pnh dgr jew nme 2 awex ny... hehhe... btw, nice story... sentap kowt... gud job writer...

    ReplyDelete
  2. @MiErA, sape la dua name tu en... hahaha... BTW, thnks sudi bace...

    ReplyDelete
  3. best... good job writer ... sampai nngis saya wt lah lagi citer best2...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thnx sebab sudi baca...
      kalau sudi, jemputlah bace teaser cerpen baru WC...
      de watak dalam cerpen Kerna Terpaksa dalam cerpen baru ni n_n

      ni link untuk teaser cerpen Jodohku Di Parking
      https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=405860052828167&id=126367837444058

      Delete
  4. best la citer ni... terharu ... sedih, gembira... nice story...

    ReplyDelete

 
;