From Us, To You :)

Assalamualaikum w.b.t to all.

Alhamdulillah, this blog is officially released on last 7th January 2012 as planned. And thanks to Allah, everything's going smoothly. Following the flow.

For those who comes and visit us here, giving us your support, big thanks to you too. Jangan malu, jangan segan untuk tinggalkan komen2 anda di petak komen, atau anda boleh saja klik suggestion box di bahagian atas sebelah kanan window untuk tinggalkan pesanan anda di sana.

We are trying our best to ensure all of our readers satisfied with all our writings. We are not perfect, that's the fact. When you guys happy, then we will be happy, that's for sure.

Keep on supporting us.

Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari Allah, segala yang kurang adalah dari kami sendiri.

May Allah bless all of us and grant us happiness here and here After, insyaAllah.

Regards, 7 street writers. :)

Sunday 18 March 2012

Separuh Hati Untukmu 3

THAKIF mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja lampu. Dia mula menaip satu per satu aksara sehingga menjadi tiga patah perkataan. 

            Mama, Kif lapar...

Selesai menaip, dia menekan butang hantar. Kemudian dia meletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja lampu. Sementara menanti orang yang ditunggu, dia memejamkan mata mengimbas semula kejadian yang menyebabkan dia menjadi begini…
            Thakif mengetuk pintu bilik pejabat Amanda. Apabila mendengar arahan masuk dari dalam, dia memulas tombol lalu mengambil tempat di hadapan Amanda yang sedang khusyuk membuat kerja sampai tidak ingat dunia.
Amanda mengangkat mukanya. “Eh, abang? Manda ingatkan Nani tadi. Apa abang buat kat sini?” Dia terkejut melihat Thakif yang berada di hadapannya, bukan setiausahanya seperti yang disangkanya tadi.
“Cuba tengok jam dah pukul berapa?” arah Thakif. Wajahnya tenang memandang Amanda.
Amanda mengerling jam di pergelangan tangan kirinya. Tepat pukul 1.30 tengah hari. Dia menepuk dahinya. “Sorry, Manda terlupa sangat-sangat. Lama ke abang tunggu kat bawah tadi? Kenapa tak call Manda? Boleh Manda turun bawah je tadi.” Dia terlupa janjinya untuk makan tengah hari bersama lelaki yang baru seminggu bergelar tunangnya.
“Adalah dalam 30 minit abang tunggu kat bawah tu. Naik kematu punggung abang ni menunggu. Nak call, phone pulak tertinggal kat office. Terpaksalah abang menapak naik ke bilik Manda ni,” jelasnya sedikit geram. Tangannya diletakkan di atas meja lalu menongkat dagu.
Amanda tersenyum sambil menyebak rambut yang menghalang pandangannya ke belakang.
“Manda ni kalau dah buat kerja semua lupa. Workaholic betul! Sama je dengan Qhaf.” Dia menyamakan perangai Amanda yang kuat bekerja itu dengan abang kandung gadis itu.
“Mana tak tumpahnya kuah sate kalau tak ke nasi himpit... betul tak?” jawab Amanda  sambil tersengih.
Hmm... betullah tu...” Thakif memerhatikan Amanda yang sedang mengemaskan meja yang dipenuhi kertas serta fail.
Usai mengemas meja, tangan Amanda lincah mencapai beg tangan yang disimpan di dalam laci. “Okey, dah siap! Jom kita pergi lunch,” ajaknya. Dia sudah bangkit dari kerusi sambil tangannya menyeluk ke dalam beg tangan.
Thakif mendahului Amanda melangkah ke arah pintu bilik. Laju sahaja jalannya.
“Abang...”
Belum sempat Thakif memulas tombol, Amanda memanggilnya. Dia menoleh ke belakang.
“Kita naik kereta Manda jelah.” Amanda mengeluarkan arahan, bukan soalan. Dia menghulurkan kunci kereta kepada Thakif.
Thakif tidak menyambutnya. Sebaliknya dia mengangkat kening meminta penjelasan.
“Setiap kali kita lunch sama mesti naik kereta abang. So, hari ni Manda nak kita naik kereta Manda,” ujarnya tegas.
Thakif pelik mendengar permintaan tunangnya. Kunci kereta yang Amanda hulurkan dipandang sepi. “Naik kereta abang jelah. Sama je naik  mana-mana kereta pun. Kereta Manda tu lain kali je kita naik ya.” Lembut Thakif menolak.
Amanda sudah menarik muncung empat belas. “Abang pergilah lunch sorang-sorang, Manda dah kenyang!” Dia mengorak langkah menuju ke arah sofa lalu menghempas punggungnya kasar sambil memeluk tubuh. Mukanya masam seperti asam kecut.
Sudah! Merajuk pulak, gumam Thakif dalam hati. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal lalu mendekati Amanda. Dia turut melabuhkan punggung di sebelah tunangnya itu. “Kenapa Manda sensitif sangat ni? Dah pandai merajuk pulak sejak akhir-akhir ni,” soalnya pelik.
Amanda memalingkan mukanya ke arah lain.
“Sayang, look at me please…” pinta Thakif. Dia memegang kedua-dua belah bahu Amanda, cuba untuk memusingkan tubuh gadis itu agar berhadapan dengannya.
Amanda tidak mengendahkannya. Tangan Thakif yang mendarat di bahunya ditepis kasar.
Thakif mengeluh. Belakang tengkuknya digosok perlahan. “Okeylah, kita naik kereta kesayangan Manda tu,” putus Thakif. Dia malas mahu memanjangkan rajuk si tunang, tambahan pula perutnya sudah berbunyi lagu keroncong.
Amanda terus berpusing sebaik mendengar kata putus Thakif. “Betul ni?” soalnya inginkan kepastian.
Thakif menganggukkan kepala sambil melemparkan senyuman menawan. Senyuman yang boleh mencairkan hati mana-mana perempuan yang melihatnya, termasuklah Amanda.
Wajah Amanda bertukar ceria melihat anggukkan Thakif. Kunci kereta dihulurkan kembali kepada tunangnya itu. “Kita lunch kat Legend’s Claypot Briyani House ya,” pinta Amanda ceria.
“Baiklah, Tuan Puteri,” jawab Thakif sambil menyambar kunci kereta di tangan Amanda. Kemudian mereka berdua berjalan beriringan menuju ke lif. Punat lif Thakif tekan.
“Abang nak tahu tak macam mana Manda boleh tersangkut kat abang?”
“Nak…” Thakif teruja. Senyumannya sudah melebar, tidak sabar mahu mendengar kata-kata yang bakal keluar dari mulut Amanda.
“Sebab muka dan senyuman abang tu ada macam Park Si Hoo sikit.” Amanda tersenyum.
Wajah Thakif berubah. Senyumannya mati apabila Amanda menyebut nama lelaki lain. “Siapa Park Si Hoo? Ex boyfriend Manda ke?” Nadanya berbaur cemburu. Matanya dikecilkan sedikit.
Amanda tersenyum.
“Betullah ex boyfriend Manda, kan? Sampai hati Manda tipu abang. Manda kata tak pernah bercinta.” Thakif sudah terasa hati.
            “Abang ni tak pernah tengok cerita Korea ke? Park Si Hoo tu pelakon Korealah. Dia pelakon yang paling Manda suka tau. Manda suka tengok dia senyum. Bila dia senyum muka dia macam abang la,” jelas Amanda.
            Wajah Thakif berubah lega. “Ooo… pelakon Korea rupanya. Manalah abang kenal, abang bukannya tengok cerita Korea. Kalau muka abang ada iras dia, maknanya abang ni Park Si Hoo Malaysialah, kan?” Thakif sudah ketawa.
            “Tapi Manda lagi suka dia rambut panjang macam dalam cerita The Princess Man. Nampak hensem sangat.” Amanda sudah memejam matanya. Mungkin cuba membayangkan wajah Park Si Hoo yang berambut panjang.
Thakif memegang rambutnya yang pendek. “Kalau abang simpan rambut panjang Manda suka tak?”
            “Suka… mesti nampak hensem dan macho. Abang betul-betul nak bela rambut panjang ke?” tanya Amanda. Matanya dikecilkan.
            Thakif menjawab dengan senyuman.
Tiba-tiba pintu lif terbuka. Thakif dan Amanda berhenti bersembang. Mereka memberi laluan kepada orang yang ingin keluar dahulu.
            “Kif, Manda… nak pergi mana ni?” tegur seorang gadis tinggi lampai yang keluar dari perut lif. Dia berdiri di hadapan Thakif dan Amanda.
            “Eh, Kak Anis. Kami nak pergi lunch. Awalnya Kak Anis masuk office? Amanda memaniskan mukanya menjawab pertanyaan Anis Nazira, kakak kandungnya.
“Awal apanya? Dah nak dekat pukul 2 petang ni. You all berdua ni kenapa lambat sangat nak pergi lunch?
“Macam mana tak lambat, tunggu Manda siapkan kerja tadi,” bohong Thakif. Dia malas hendak memberitahu kelewatan mereka disebabkan Amanda yang tiba-tiba merajuk. Nanti tidak pasal-pasal Amanda muncung kembali. Bukan dia tidak kenal dengan perangai Amanda ini. Anak bongsulah katakan...
“Manda ni... kerja tu kerja jugak, bila tiba waktu makan, kena makan. Jaga sikit kesihatan tu. Awak tu tak lama lagi dah nak jadi raja sehari. Kalau sakit macam mana nak nikah?” Anis membebel.
“Okeylah, kami pergi dulu ya. Perut I dah berbunyi ni,” pinta Thakif apabila pintu lif sudah terbuka untuk kali kedua. Dia dan Amanda berlalu masuk ke dalam perut lif lalu menekan punat untuk ke tingkat bawah, tempat kereta Amanda diparkirkan.
            Sebaik Thakif memandu kereta, Amanda mengeluarkan telefon bimbitnya. Dari ekor mata Thakif dapat melihat Amanda menekan-nekan papan kekunci telefon, kemudian telefon bimbitnya itu dihalakan di hadapan muka. Buat video call ke? Tapi, siapa yang Manda Call? tanya hati Thakif.
“Ibu, Manda rindulah kat ibu. Rindu sangat-sangat...”
Thakif mengeluh lega mendengar nama yang keluar dari mulut Amanda.
            “Rindu apa pulak ni Manda? Duduk satu rumah pun boleh rindu lagi ke? Selalu tak pernah pun telefon ibu bila Manda ada dekat office?” kedengaran suara Puan Sri Anida.
            Thakif yang sedang memandu Toyota Vios milik Amanda hanya memasang telinga sahaja mendengar perbualan Amanda dan bakal emak mentuanya.
            “Hari ni tiba-tiba je Manda rasa rindu sangat kat ibu. Teringin nak makan nasi briyani dengan kari kambing. Boleh tak ibu masakkan untuk Manda?” Suara Amanda kedengaran manja.
            Hai, kejap lagikan nak makan nasi briyani? Kat rumah pun nak makan nasi briyani lagi? Tak jemu ke asyik-asyik makan nasi briyani? gumam hati Thakif.
“Semalamkan dah makan nasi briyani dengan kari kambing? Tak puas-puas lagi ke?”
Thakif terkejut mendengar jawapan Puan Sri Anida. Namun dia masih senyap memasang telinga.
            “Itu Kak Yati yang masak. Manda nak air tangan ibu. Boleh ya bu? Takut tak sempat je nanti...” Amanda merengek lagi.
            “Tak sempat nak ke mana pulak?” Suara Puan Sri Anida kelihatan berbaur hairan.
            “Boleh ya bu? Dah lama Manda tak merasa air tangan ibu. Kari kambing ibu sedap hingga menjilat jari.” Amanda mula membodek.
            “Tak malu, dah besar panjang pun nak merengek macam budak-budak. Jangan dilayan Manda ni auntie. Asyik makan je kerjanya, nanti pakai baju nikah pun tak muat.” Kali ini Thakif menyampuk. Dia menarik sedikit telefon bimbit Amanda agar dia dapat  melihat wajah Puan Sri Anida. Kemudian dia memandang ke hadapan semula.
            “Dengkilah abang ni! Orang nak bermanja dengan ibu pun tak boleh.” Amanda menjeling manja pada Thakif.
            “Kif, berapa kali ibu pesan suruh panggil ibu? Kif kan dah nak jadi menantu ibu, dari sekaranglah kena belajar panggil ibu...” Puan Sri Anida menegur.
            Thakif tersenyum malu. “Sorry, ibu... Kif terlupa,” ujarnya sambil menjeling sekilas pada telefon bimbit Amanda.
            “Padan muka!” ejek Amanda lalu mengalih semula telefon bimbit di hadapan mukanya. “Boleh tak ibu? Nasi briyani dengan kari kambing... buatlah untuk Manda ya?” rengek Amanda lagi.
            “Hmm... yalah, nanti ibu masak banyak-banyak, jangan Manda tak habis pulak ya.”
            “Terima kasih, bu... Manda sayang ibu. Sayang sangat-sangat... ibu, tunjuk sikit pipi ibu tu,” pinta Amanda lagi. Dia melekapkan bibirnya pada skrin telefon bimbit. “Muah!!! Ini ciuman Manda untuk ibu. Ingat sampai bila-bila tau! Bye, ibu... tunggu Manda tau,” ucap Amanda.
            “Yalah, balik cepat sikit petang ni.”
            Setelah mematikan talian, Amanda menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan. Suasana dalam kereta sunyi seketika. “Abang...” Amanda bersuara.
            “Hmm?” Thakif menyahut. Dia menjeling sekilas ke wajah Amanda. “Tadi bukan main ceria cakap dengan ibu, kenapa sekarang mendung pulak?” soal Thakif.
            “Erm... Manda nak tanya abang sesuatu boleh?”
            “Apa dia?”
            “Kalau Manda dah tak ada dalam dunia ni, abang sedih tak? Abang cari tak pengganti Manda?”
            Soalan Amanda bagaikan pistol yang menembak tepat ke dada Thakif. “Apa yang sayang merepek ni? Abang tak sukalah sayang sebut-sebut pasal mati!” Thakif tidak senang. Mukanya serius. Pandangannya di hala ke hadapan memberi fokus pada jalan raya.
            “Abang, setiap manusia wajib fikir pasal mati. Kita tak tahu bila kita akan mati. Jangankan yang tua, yang muda pun akan mati jugak bila tiba masanya. Bila-bila masa je Allah boleh cabut nyawa kita. Kalau tak hari ni, esok. Kalau tak esok, lusa...”
            Thakif pelik apabila Amanda tiba-tiba membuka topik mengenai kematian. Memang dia setuju dengan kata-kata Amanda tetapi dia takut untuk memikirkan kematian. Dia tidak tahu bagaimana dia mahu meneruskan hidup di dunia ini tanpa orang yang dia sayang. “Sudah Manda, abang tak nak dengar Manda cakap yang bukan-bukan lagi, especially about mati!” tegas Thakif. Dia masih tidak memandang Amanda.
            “Abang tak jawab pun soalan Manda…” Nada suaranya seperti merajuk.
            “Soalan apa?” Thakif buat-buat tidak faham.
            “Kalau Manda mati, abang akan cari orang lain tak?” Amanda mengulangi soalannya.
            “Kan abang dah cakap tadi kita hentikan cerita merepek ni.” Thakif mengeluh. Tangan kanannya dibawa ke dahi. Pening melayan kerenah Amanda yang dirasakan sangat pelik hari ini.
            “Abang kena jawab sekarang jugak! Kalau tak, Manda putuskan pertunangan kita!” ugutnya
            Thakif pantas berpaling “Manda, jangan sesekali sebut nak putus dengan abang. Manda tahu kan abang sangat cintakan Manda?” Dia memandang ke hadapan kembali. “Baiklah, abang jawab soalan Manda.” Thakif menarik nafas panjang. “Kalau ditakdirkan sayang dah tak ada kat dunia ni, abang akan terus membujang. Abang takkan cari yang lain sebab takkan ada orang yang sama macam sayang. Sayang ni satu dalam seribu tau. Takkan ada sesiapapun yang boleh menggantikan tempat sayang dalam hati abang,” ucap Thakif senafas.
            “Manda terharu sangat dengar jawapan abang. Tapi Manda nak abang cari pengganti bila Manda dah tak ada nanti. Manda tak nak abang terus membujang dan Manda nak tengok abang bahagia bila Manda dah pergi...” 
            Thakif memalingkan wajahnya ke sisi apabila mendengar esak tangis Amanda “Hei, kenapa sayang nangis ni? Abang janji yang kita akan sentiasa bersama dan tak ada apa-apa yang akan berlaku pada sayang. Abang akan sentiasa melindungi sayang hingga ke akhir hayat abang,” janjinya. Dia menyeka air mata yang telah mencemari wajah tunangnya menggunakan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi mengawal stereng. Fokusnya kini pada Amanda yang masih lagi menangis.
            “Shhh…  jangan nangis lagi. Dah macam badut abang tengok muka Manda ni. Mata merah, hidung merah,” guraunya.
            Amanda tersenyum mendengar gurauan Thakif. Matanya dijeling ke hadapan. “Abanggg!!!”
            Thakif pantas mengalihkan pandangan ke hadapan. Lampu isyarat di hadapannya sudah bertukar merah, manakala kereta yang dipandunya sudah semakin hampir dengan garisan berhenti. Dia pantas menekan pedal brek untuk memberhentikan kereta namun kereta itu tidak mahu berhenti. Sekali lagi dia menekan pedal brek tetapi kereta itu tetap meluncur laju.
            “Kenapa ni bang?” soal Amanda cemas.
            “Entahlah. Brek ni tak makan!” Peluh sudah memercik di dahinya. Thakif mulai cemas apabila kereta itu sudah melepasi garisan berhenti. Ini bermakna dia sudah melanggar lampu isyarat merah!
            “Ya Allah... apa kita nak buat sekarang ni bang?” Air mata Amanda kembali mengalir.
Pinnn!!!
Thakif dan Amanda menoleh ke kanan. Kelihatan sebuah lori dari arah bertentangan sedang membelok ke arah kanan. Thakif kaku. Tidak mampu membuat apa-apa mahupun menekan pedal minyak. Dia hanya mampu berserah.
Arghhh!!!” jerit Thakif dan Amanda serentak apabila lori tersebut merempuh kereta Toyota Vios milik Amanda. Kereta itu bergolek-golek di atas jalan raya. Pandangan Thakif mulai gelap.
                                                            *****
THAKIF membuka matanya. Cahaya yang terang itu menyakitkan matanya. Dia memejam celikkan matanya seketika. Apabila pandangannya sudah jelas, dia meliarkan mata melihat sekeliling bilik yang dihuninya. Semuanya serba putih.
            Aku kat mana ni? bisik hatinya. Matanya beralih pula ke pintu yang tiba-tiba sahaja terkuak. Muncul seorang gadis di balik pintu.
            “Abang Kif dah sedar?!” jerit gadis itu. Dia berjalan laju mendapatkan Thakif yang terlantar di atas katil. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi di sisi katil. Tangan Thakif digenggam erat. Air matanya mula mengalir.
             “Syukur Alhamdulillah Abang Kif dah sedar. Kejap ya, Deeba nak call mama. Mama dengan papa tengah dinner kat kantin.” Farah Adeeba menyeluk poket jeansnya. Telefon bimbit dikeluarkan lalu mendail nombor mamanya.
            “Helo, mama… Abang Kif dah sedar! Cepatlah mama naik.” Teruja dia memberitahu berita gembira itu. “Kejap lagi baru Deeba nak panggil doktor. Mama dengan papa naik cepat sikit tau!” Usai memutuskan talian, Adeeba melangkah keluar dari bilik yang serba putih itu.
            Thakif masih keliru memikirkan dirinya yang terbaring di bilik itu. Dia pasti itu bukan biliknya. Apabila mendengar Adeeba menyebut mahu memanggil doktor dan melihat tangannya yang berselirat dengan wayar, barulah dia sedar dia berada di hospital. Berkerut dahinya cuba mengingati semula apa yang telah terjadi. Wajahnya berubah apabila sudah mengingati mengenai kemalangan yang menimpanya dan Amanda.
            Matanya memandang kelibat Adeeba yang masuk semula di bilik itu. Dia cuba membuka mulut untuk menanyakan perihal Amanda tetapi terbantut apabila melihat doktor  turut masuk diikuti seorang jururawat. Doktor mula memeriksa denyutan nadi di pergelangan tangan, memeriksa kedua-dua belah mata dan denyutan jantung Thakif.
            Dalam masa yang sama, Dato’ Azhar dan Datin Rosnah melangkah masuk ke bilik. “Macam mana dengan keadaan anak saya, doktor?” soal Dato’ Azhar sebaik sahaja Doktor Badrul selesai memeriksa Thakif
            “Alhamdulillah, keadaan Encik Thakif dah stabil, tak ada apa yang perlu dirisaukan lagi,” jawab Doktor Badrul. Kemudian dia mencapai rekod perubatan Thakif lalu mencatat sesuatu. “Saya minta diri dulu Dato’, Datin... kalau ada apa-apa, tekan je butang merah tu.” Doktor Badrul dan jururawat berlalu keluar dari wad.
            “Kif... akhirnya anak mama dah sedar. Dua minggu Kif tak sedarkan diri. Sedih hati mama tengok Kif terlantar di atas katil ni,” ujar Datin Rosnah sebaik sahaja mengambil tempat di sisi Thakif. Dia tersenyum sambil membelai lembut rambut Thakif.
            “Mama, Manda macam mana? Dia okey tak?” Tanpa bertangguh, dia mengemukakan soalan yang ingin ditanya tadi.
            Senyuman Datin Rosnah hilang. Dia mengalihkan pandangan ke wajah suaminya.
            “Kif, papa harap Kif sabar...” Dato’ Azhar bersuara bagi pihak isterinya.
            “Kenapa ni pa?” soalnya pelik. Wajah mama, papa dan adiknya direnung, meminta penjelasan.
            “Sebenarnya Manda... Manda dah tak ada...”
            Terberbuntang mata Thakif. “Papa tipu, kan? Tak mungkin Manda dah tak ada. Papa tipu kan, ma?” Dia meminta kepastian dari mulut mamanya pula.
            “Tak Kif, papa tak tipu. Manda memang dah tak ada. Dia meninggal di tempat kejadian. Kereta yang Kif pandu meletup sebaik sahaja Kif dan Manda berjaya dikeluarkan. Hanya Kif je yang masih bernyawa,” terang Datin Rosnah pula.
            “Tak mungkin ma, tak mungkin!” Thakif menjerit seperti orang histeria.
            “Sabar Abang Kif. Mungkin Tuhan lebih sayangkan Kak Manda. Kita yang masih hidup kena teruskan hidup.” Adeeba pula bersuara.
            “Tak… Kif tak percaya! Manda tak boleh tinggalkan Kif! Kif nak jumpa dia ma, Kif nak jumpa dia!” Thakif mula bangkit namun dia terasa seperti ada batu besar menghempap kakinya. Terasa berat sekali! Dia mencuba sekali lagi, keadaan yang sama juga berlaku. Dia sudah berasa pelik. “Kenapa dengan kaki abang ni Deeba? Kenapa abang langsung tak boleh bergerak ni?” tanyanya pelik.
            Wajah Adeeba berubah pucat.
            “Cakap Deeba, kenapa dengan kaki abang?!” herdiknya apabila Adeeba langsung tidak memberi jawapan.
            “Doktor cakap  Abang Kif lumpuh separuh badan,” ucap Adeeba pantas.
            Terpempan dia mendengar kata-kata Adeeba. “Ya Allah… Deeba tipu abang, kan? Kaki abang tak lumpuh! Tak!” Thakif menghentak-hentak tangannya pada palang katil. “Kaki aku tak lumpuh! Kaki aku tak lumpuh! Manda… sampai hati Manda tinggalkan abang…” Thakif meraung sekuat hati.
            “Kif...” Datin Rosnah memegang kedua-dua belah tangan Thakif. Menitis air matanya melihat keadaan Thakif.
Tanpa bertangguh, Adeeba terus menekan butang merah yang terletak di kepala katil.
            Beberapa minit kemudian Doktor Badrul dan seorang jururawat masuk ke bilik
“Kenapa ni Dato’, Datin?” Tanya Doktor Badrul.
            “Dia tak dapat terima kenyataan yang dia dah lumpuh, doktor,” jelas Dato’ Azhar yang sudah mengalirkan air mata.
            “Sabar, Encik Thakif...” Doktor Badrul cuba menenangkan Thakif sementara menanti jururawat menyediakan ubat penenang.
            “Mama, tolong Kif, ma... Kif tak nak lumpuh. Tak nak… kaki Kif ni kebas je kan, ma?” Thakif meminta kepastian dari Datin Rosnah.
            Datin Rosnah menggeleng kepalanya. Dia memeluk Adeeba yang berada di sisinya.
            “Aku tak lumpuh! Semua orang tipu aku! Semua orang tipu! Tipu!” Thakif kembali meraung.
            “Jangan macam ni Kif... istighfar banyak-banyak.” Dato’ Azhar memegang bahu Thakif.
            Doktor Badrul memegang tangan Thakif lalu menyuntik ubat penenang.
            “Mama, Kif tak lumpuh... Kif tak lumpuh... tak...” Suara Thakif semakin perlahan dan perlahan. Pandangannya mulai gelap.
                                                            *****
 THAKIF  merenung dirinya yang berkerusi roda di cermin meja solek di biliknya. Sudah seminggu dia berada di rumah. Seminggu juga sikapnya berubah.
            “Ha ha ha... kau dah cacat Thakif, kau dah cacat!” Tiba-tiba ada suara halus muncul di ruang biliknya.
            Thakif terkejut. Dia meliarkan pandangannya mencari-cari arah suara itu.“Siapa kau hah?! Kalau berani tunjukkan muka kau!” jerit Thakif.
            “Kau nak tahu aku siapa? Aku ni suara hati kau! Lebih baik kau mati jelah Thakif. Kau hidup pun hanya menyusahkan orang je!
            “Tak! Aku tak pernah menyusahkan orang! Ya, memang aku dah cacat tapi aku tak menyusahkan orang!” Dia membalas kembali kata-kata suara halus itu. Matanya tajam memerhatikan sekeliling bilik.
            “Tak menyusahkan orang kau kata? Kau tengok sendiri mama kau, papa kau, dan adik kau! Bila kau dah cacat macam ni mereka terpaksa jaga kau, kan? Daripada kau hidup macam ni hanya harapkan belas ihsan orang, lebih baik kau mati je! Tunang kau pun dah tak ada dalam dunia ni, apa lagi yang kau tunggu? Kau tu dah tak sempurna! Kecacatan kau tu hanya akan memalukan keluarga kau je!” provok suara halus itu lagi.
            “Diam! Diam! Aku tak nak dengar lagi! Tak nak dengar! Tak nak!” jeritnya sambil menghumbankan barang-barang yang ada di atas meja solek ke lantai. Habis pecah botol-botol minyak wangi miliknya.
            “Lebih baik kau mati je, Thakif! Mati je!
            “Sudah! Aku tak nak dengar lagi!” Thakif menekupkan telinganya dengan kedua-dua belah tangan. Matanya dipejam serapat mungkin.
            “Abang Kif, kenapa ni?”
            Perlahan-lahan Thakif membuka tangan yang ditekup ke telinga lalu memanggung kepala memandang Adeeba yang berdiri di sisinya.
            “Kenapa bilik Abang Kif ni bersepah?” soal Adeeba pelik apabila melihat kaca bertaburan di lantai.
            “Deeba, abang ni menyusahkan keluarga kita ke?” Dia tidak menjawab soalan Adeeba.
            “Tak adalah bang. Abang Kif tak menyusahkan kami pun,” sangkalnya.
            “Abang ni hanya membebankan keluarga kita je. Abang dah cacat Deeba, abang dah tak sempurna lagi! Abang ni memang betul-betul tak berguna! Tak berguna!” raungnya sambil menumbuk-numbuk kakinya yang kaku.
            “Jangan cakap macam tu bang... kami semua sayangkan Abang. Abang Kif sabar ya. Deeba sayang abang sangat-sangat. Abang Kif la satu-satunya abang Deeba. Deeba sanggup buat apa je untuk lihat abang gembira semula.” Adeeba memeluk Thakif. Kedua-dua beradik itu mengalirkan air mata.
            Adeeba merenggangkan pelukan. Dia menolak kerusi roda Thakif menuju ke tepi katil. “Abang Kif tunggu kat sini dulu, Deeba nak bersihkan kaca-kaca tu.” Dia berlalu keluar dari bilik untuk mengambil penyedut hampagas di dapur.
            Thakif mencapai gambarnya bersama arwah Amanda yang berada di meja lampu. Air matanya kembali tumpah. Gambar itu diusap perlahan. “Kenapa cepat sangat sayang pergi? Kenapa sayang tinggalkan abang? Sayang kata nak tengok rambut abang panjang. Sayang dah janji nak sehidup-semati dengan abang, kan? Sampai hati Dia ambil sayang dari sisi abang. Abang tak kuat Manda, tak kuat! Macam mana abang nak teruskan hidup tanpa Manda?” rintihnya. Dia mengesat air matanya sebaik sahaja ternampak kelibat adiknya masuk ke bilik.
            “Deeba tak pergi kelas ke?”
            “Hari ni tak ada kelas. Malaslah Deeba nak melepak kat kolej tu sorang-sorang. Baik jaga abang kat rumah,” jawabnya sambil mencucuk plug.
            “Papa dengan mama mana?” soalnya apabila tidak melihat kelibat Dato’ Azhar dan Datin Rosnah. Selalunya apabila mendengar Thakif menjerit, mereka akan bergegas mendapatkan Thakif.
            “Papa pergi office, mama pulak ajak Mak Pah pergi beli barang dapur kat pasar raya.”
            Thakif merenung kembali gambar di tangannya. Sayang tunggu abang kat sana ya? bisik hatinya.
                                                            *****
THAKIF membuka pintu biliknya. Kerusi rodanya digerakkan menuju ke tangga. Sebaik sampai di tangga, dia merenung tajam ke bawah.
            “Apa lagi yang kau tunggu, Thakif? Cepat lontarkan diri kau ke bawah!” Suara halus itu bergema lagi.
            “Maafkan Kif mama, papa... Kif tak nak menyusahkan keluarga kita lagi. Manda, tunggu abang kat sana. Abang datang sekarang!” Dia menggerakkan kerusi rodanya ke belakang, kemudian dengan sekuat tenaga dia menggerakkan kerusi rodanya laju ke hadapan untuk menghumbankan dirinya ke bawah tangga.

~BERSAMBUNG~

3 comments:

  1. wishing for the second nuha for hanif :'( can?

    ReplyDelete
  2. @Anonymous

    2nd nuha, huh?
    insyaAllah. huhu..

    -MK-

    ReplyDelete
  3. sedih la baca endingnya..
    good job writer..
    lahirkan karya2 yg menarik,,

    ReplyDelete

 
;