From Us, To You :)

Assalamualaikum w.b.t to all.

Alhamdulillah, this blog is officially released on last 7th January 2012 as planned. And thanks to Allah, everything's going smoothly. Following the flow.

For those who comes and visit us here, giving us your support, big thanks to you too. Jangan malu, jangan segan untuk tinggalkan komen2 anda di petak komen, atau anda boleh saja klik suggestion box di bahagian atas sebelah kanan window untuk tinggalkan pesanan anda di sana.

We are trying our best to ensure all of our readers satisfied with all our writings. We are not perfect, that's the fact. When you guys happy, then we will be happy, that's for sure.

Keep on supporting us.

Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari Allah, segala yang kurang adalah dari kami sendiri.

May Allah bless all of us and grant us happiness here and here After, insyaAllah.

Regards, 7 street writers. :)

Sunday 4 March 2012

Separuh Hati Untukmu 1

RANIA berlari laju menuruni tangga. “Aduh!” Dia mengaduh kesakitan apabila kakinya terpelecok di tangga. Tanpa menghiraukan kakinya yang sakit, dia berjalan terjingkit-jingkit menuju ke dapur. “Mak… ooo, mak...” Dia memanggil emaknya.
             Apabila orang yang dicari tiada di dapur, dia berpusing menuju ke bilik emaknya yang terletak berdekatan dengan dapur. “Mak...” Dia menyelak langsir bilik tetapi emaknya tiada juga. Dia mengerutkan dahi lalu melangkah ke luar rumah. Manalah tahu kalau-kalau emaknya itu sedang memberi ayam dan itik kesayangannya makan. Sekali lagi dia gagal menjumpai emaknya. Dia mengeluh perlahan.
“Manalah mak ni pergi?” Kaki dibawa ke arah sofa berangkai dua lalu melabuhkan punggung. Dia mengurut-urut pergelangan kakinya yang sakit akibat terpelecot tadi. Matanya tiba-tiba tertancap pada kertas di tangan kanan yang baru sahaja dicetak dari komputer riba.
Tersungging senyuman lebar di bibir apabila melihat namanya tertera pada surat tawaran sambung belajar. Sudah terbayang di ruangan mata yang dia sedang memakai jubah semasa hari konvokesyen dan bergambar bersama keluarga tersayang. Alangkah indahnya jika anganannya itu benar-benar menjadi kenyataan.
            “Ada apa panggil-panggil mak tadi, kak long? Sampai kat luar dengar suara kak long tu.”
            Rania terkejut. Pecah segala anganannya. Dia menoleh ke belakang memandang raut emaknya. Di tangan Puan Azizah pula penuh dengan pucuk ubi. Mungkin baru lepas memetiknya di kebun kecil di belakang rumah. “Mak dari mana ni? Puas kak long cari. Kat dapur tak ada, kat bilik tak ada, kat luar tu pun tak ada. Sampai terkehel kaki kak long ni cari mak tau.” Sempat lagi dia mengadu.
            Puan Azizah berlalu ke dapur meninggalkan Rania yang terpinga-pinga di sofa. “Ek,  mak ni tak risau ke bila aku cakap kaki aku terkehel? Buat derk je. Selalunya kalau kita orang mengadu sakit apa-apa, mak cepat je tunjuk muka risau. Pelik bin ajaib ni!” Rania menggaru lengannya yang terasa gatal.
            Puan Azizah meletakkan pucuk ubi di atas meja makan lalu membasuh tangan di sinki. Kemudian dia berlalu ke biliknya untuk mengambil minyak angin. “Mana kaki yang terkehel tu? Mak nak sapu minyak,” ujar Puan Azizah sebaik sahaja dia berdiri di belakang sofa yang diduduki Rania.
            “Oh mak kau!” Rania melatah. Dia yang sedang leka memicit kakinya terkejut apabila emaknya tiba-tiba bersuara.
            “Beranganlah tu sampai mak bersuara sikit pun boleh terkejut.”
            “Mana ada kak long berangan. Boyfriend pun tak ada, nak berangan apanya?” Rania menginjak ke tepi sedikit memberi ruang untuk emaknya duduk di sebelah. Setelah meletakkan kaki di atas paha emaknya, bermulalah sesi urut-mengurut.
            “Aduh!” Rania terjerit kecil apabila pergelangan kakinya dipicit kuat di tambah pula dengan kepanasan minyak angin yang terasa meresap di kulit kakinya.
            “Hai, terseliuh sikit pun nak menjerit ke kak long? Tahanlah sikit. Turun tak betul lagi, macam mana kaki tak terkehel?” bebel Puan Azizah. Dia memang tahu sangat perangai anak sulungnya itu. Jika ada sesuatu yang ingin diberitahu, pasti kelam-kabut mencarinya.
            “Ada apa kak long cari mak tadi? Mesti ada sesuatu yang kak long nak bagitau, kan?” serkap Puan Azizah. Tangannya masih lincah mengurut kaki Rania.
            Rania yang dari tadi mengerutkan muka menahan sakit mula tersenyum. Fikirannya mula teringat pada surat tawaran yang disorok di belakang badannya. Konon nak buat kejutanlah tu.
            “Ni kenapa tersengih-sengih ni? Dah macam kerang wangi mak tengok.” Puan Azizah mengerutkan dahi melihat telatah Rania. Lengan kirinya dinaikkan ke dahi mengelap peluh yang mula menunjukkan diri.
            Rania masih tetap tersengih menayang gigi. Sengaja dia berbuat begitu, ingin membuat emaknya tertanya-tanya.
Sekali lagi Puan Azizah memicit kuat pergelangan kaki Rania.
            “Aduh!” jerit Rania lagi. “Mak ni, tahulah mak tu tukang urut kat kampung ni, cubalah urut perlahan sikit, sakit tau kaki kak long ni,” rungutnya sambil menarik tangan Puan Azizah yang masih melekat di kakinya agar menghentikan urutan.
            “Dah kak long tu asyik tayang gigi je mana mak tak hot? hati hot, tangan pun hot jugak tau bila main dengan minyak angin ni. Kak long ingat ni iklan ubat gigi ke? Lihat gigi saya putih, kan? terima kasih colgate...” Puan Azizah berlelucon sambil menayang giginya yang putih bersih.
Rania ketawa besar melihat lawak emaknya. Sakit perutnya asyik ketawa. Perlahan-lahan dia mengeluarkan tangan kanannya yang disembunyikan di belakang badan lalu menghulurkan surat tawaran itu kepada emaknya.
            “Surat apa ni?” soal Puan Azizah tanpa mengambil surat itu. Dahinya sedikit berkerut.
            “Mak baca jelah dulu,” pinta Rania sambil tersenyum senang. Jarinya mula menggaru perlahan keningnya yang terasa gatal.
            “Kejap, mak nak basuh tangan dulu. Tangan mak ni berminyak, nanti kotor pulak surat tu.” Puan Azizah bangkit dari sofa dan menuju ke biliknya untuk menyimpan minyak angin. Kemudian dia ke dapur pula mencuci tangan. Setelah mengelap tangan sehingga kering, dia ke ruang tamu semula mendapatkan Rania yang masih setia menanti.
            Turun naik mata Puan Azizah membaca ayat yang tertulis di surat itu. Riak wajahnya berubah. Jantungnya berdegup pantas. Perasaan sedih mula menular di hati kecilnya namun dikawal agar tidak dilihat Rania. Kenapa mesti Kuala Lumpur? bisik hatinya. Perlahan-lahan dia memandang Rania sambil mempamerkan senyuman.
            Rania mengerutkan dahinya apabila dapat merasakan senyuman emaknya itu seperti tidak ikhlas. Senyuman terpaksa. “Kenapa mak macam tak gembira je?” Sengaja dia menyoal untuk mengorek rasa hati emaknya.
            Senyuman Puan Azizah mati. “Eh, mana ada! Mak gembira sangat bila dapat tahu yang kak long nak teruskan impian kak long. Memang dari dulu lagi kak long nak sambung belajar, kan?  Tapi tak berkesempatan je.” Puan Azizah cuba menutup rasa hatinya. Surat tawaran tadi diletakkan di atas meja kopi. Sekali lagi senyuman palsu dilemparkan.
            Rania turut tersenyum. Hatinya masih tidak mempercayai apa yang emaknya ucapkan. Dia tahu emaknya pasti berat hati untuk membenarkannya pergi walaupun emaknya mempamerkan wajah ceria. “Mak benarkan kak long pergi tak?” Tangan emaknya digenggam erat.
            Puan Azizah terdiam lama. Tidak tahu mahu memberikan jawapan apa. Dia takut Rania akan berubah hati apabila sudah berada di Kuala Lumpur nanti. Wajahnya ditundukkan.
            “Mak, kalau pasal benda tu yang buatkan mak susah hati, kak long rasa mak tak perlu risau sebab kak long tidak akan pernah sama sekali nak cari ‘dia’. Orang dah tak nak kat kak long, buat apa nak terhegeh-hegehkan diri untuk cari dia!” Penuh emosi Rania berkata. Nafasnya turun naik menahan rasa sedih yang tiba-tiba hadir.
            Pantas Puan Azizah mengangkat muka. Wajah anaknya dipandang sayu.
Memang dahulu Rania pernah mengatakan kepada kedua ibu bapanya yang suatu hari nanti dia mahu mencari 'orang' itu. Tetapi apabila sudah semakin menginjak dewasa, dia telah mengubah fikiran. Dia tidak mahu lagi mencari 'orang' itu dan tidak mahu tahu apa sebab dia diperlakukan sebegini. Dia sudah tawar hati! Air matanya mulai tumpah perlahan-lahan. Dia tidak dapat menahan kesedihan apabila mengenangkan perbuatan 'orang' itu terhadapnya.
            “Sampainya hati dia buat kak long macam ni mak, sampainya hati dia. Apa salah kak long pada dia mak? Apa salah kak long? Kak long tak akan maafkan dia!” Tangisan Rania mula kedengaran.
            Puan Azizah menarik Rania ke dalam pelukannya. Tangannya mengurut perlahan belakang badan Rania. “Jangan macam ni kak long, tak baik. Tak kira apa yang dia pernah buat, kak long kena maafkan dia. Mak tak nak kak long berdendam. Sedangkan nabi pun ampunkan umat, inikan pula kita manusia. Memaafkan adalah penawar yang mujarab, kak long. Kalau kita maafkan orang, hati kita takkan rasa sakit lagi. Dengar cakap mak ya?” nasihat Puan Azizah. Air matanya turut tumpah.
            “Tapi mak, kalau dia sayangkan kak long mesti dia takkan buat kak long macam ni. Hati kak long ni sakit mak, sakit sangat. Rasa macam kena rempuh dengan jentolak je,” rintih Rania lagi. Dia mengeratkan pelukan, cuba mengumpul semula kekuatan yang sudah hilang entah ke mana.
            “Kak long jangan cakap macam tu. Kak long masih ada mak, abah dan adik-adik yang menyayangi kak long. Kami semua akan tetap ada di sisi kak long. Sudahlah, jangan fikir lagi pasal tu. Insya-Allah, satu hari nanti kita akan tahu juga sebabnya. Mak yakin mesti ada sebab dia buat macam tu,” pujuk Puan Azizah sambil mengusap rambut anaknya.
Beberapa minit mereka berkeadaan begitu sebelum Puan Azizah menolak sedikit badan anaknya sehingga wajah mereka betul-betul berhadapan. Dia mengelap air mata yang masih lagi mengalir di pipi Rania dengan ibu jarinya.
Rania turut melakukan perkara yang sama kepada Puan Azizah.
“Jangan menangis lagi ya. Lupakan je kisah lama tu. Pasal kak long nak sambung belajar tu biar mak bincang dengan abah dulu.” Puan Azizah kembali ke topik asal. Dia tidak mahu Rania bersedih lagi. Cukuplah dia melihat Rania menangis suatu masa dahulu.
Rania mula mengukir senyuman. Wajahnya digosok perlahan dengan kedua belah tangan bagi menghilangkan sisa tangisan.
Puan Azizah mengambil kembali surat tawaran yang diletakkan di meja kopi tadi lalu dihulurkan kepada Rania. “Simpan surat ni, mak nak pergi masak. Kejap  lagi adik-adik kamu balik mesti dia orang  lapar.” Puan Azizah pantas berlalu ke dapur. Anak-anaknya yang lain masih di sekolah dan akan pulang pada pukul 1.00 tengah hari.
            “Kak long tolong mak masak ya,” tawar Rania.
            “Tak apalah, kak long kan baru je balik kerja. Petang karang nak pergi kerja balik. Kak long rehat jelah kat bilik,” tolak Puan Azizah yang ketika itu sudah berada di dapur.
            Rania bangkit lalu berjalan terjingkit-jingkit menaiki tangga untuk ke biliknya. Sampai sahaja di bilik, dia merebahkan dirinya di atas katil. Dia memandang sekeliling bilik yang dikongsi bersama dua orang adik perempuannya.
Bilik itulah yang menjadi saksi kegembiraan, kesedihan dan kesusahan yang pernah dia alami. Dia gembira hidup bersama keluarganya sekarang. Keluarganya juga pernah hidup susah suatu masa dahulu dan dia sedih apabila mengenangkan kisah hidupnya yang tidak seperti orang lain.
            Dia, Rania Hafiya yang mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke tangga universiti namun hidup keluarganya yang susah dahulu serta memikirkan adik-adiknya yang masih kecil dan pasti memerlukan wang yang banyak untuk persekolahan mereka telah membantutkan hasrat hatinya untuk meneruskan pengajian. Tiba-tiba sahaja peristiwa empat tahun yang lalu mula bermain di mindanya.
Rania menuruni tangga. Dia mahu ke dapur untuk membasahkan tekak yang terasa dahaga. Ketika melintasi bilik emak dan abahnya, dia terdengar namanya seperti di sebut.
“Macam mana bang? Kak long dah lulus periksa. Tak lama lagi mesti dia dapat tawaran sambung belajar.”
Rania merapati bilik itu. Tekak yang terasa dahaga dibiarkan dahulu. Dia menyelak sedikit kain langsir yang menutupi bilik itu untuk mendengar perbualan abah dan emaknya. Mujurlah pintu bilik itu tidak ditutup dan dia dapat melihat reaksi kedua ibu bapanya dengan jelas. Dia lihat abahnya sedang berbaring di atas katil sambil mata merenung ke siling, manakala emaknya pula duduk di kerusi meja solek sambil menyikat rambut.
“Baguslah kalau kak long dapat sambung belajar. Tentang duit, insya-Allah abang akan cuba usahakan,” jawab Encik Razali. Dia masih tidak memandang isterinya.
            “Zah ingat Zah pun nak kerja jugaklah bang. Abang izinkan Zah kerja, kan?”
            Serta-merta Encik Razali bangun. Wajah isterinya dipandang. “Zah nak kerja kat mana? Apa kerja yang Zah boleh buat kat kampung ni? Abang rasa baik Zah duduk rumah jaga anak-anak kita jelah. Abang masih lagi boleh kerja,” bantah Encik Razali.
            “Berapa sangatlah gaji yang abang dapat dengan menoreh getah? Cuaca pulak tak menentu sejak dua menjak ni. Zah boleh ambil upah menjahit. Rasanya boleh jugaklah tampung perbelanjaan kak long di universiti dan sekolah kak ngah, achik dan adik nanti.”
Encik Razali diam. Wajahnya berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. “Kalau Zah nak ambil upah menjahit tu abang setuju dan abang jugak ada cara nak tambah pendapatan kita sekeluarga walaupun tak banyak mana.”
“Apa dia bang?”
            “Abang ingat abang nak ikut Latiff pergi tangkap ikan, lepas tu jual kat pasar. Lagi satu, abang jugak boleh ambil upah panjat pokok kelapa... rasanya abang pernah dengar Tok Penghulu nak upah orang panjat pokok kelapa dia.”
            Mengalir air mata Rania mendengar perbualan itu. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali emak dan abahnya sanggup berusaha mencari duit untuk membiayai pelajarannya dan adik-adik. Di saat itu, terbit sesuatu di benaknya dan dia harus membuat keputusan segera. Selepas beberapa minit berfikir, dia nekad dengan keputusan yang bakal dibuat. Dia kemudiannya melangkah masuk ke bilik itu lalu melabuhkan punggung di sebelah Encik Razali. Dia nampak wajah terkejut abah dan emaknya semasa dia masuk tadi.
“Kak long, kenapa nangis ni?” soal Puan Azizah lalu bangkit dan melabuhkan punggung di sebelah Rania.
            Rania memegang tangan emak dan abahnya. “Mak, abah... kak long rasa kak long tak nak sambung belajar.”
            “Kenapa pulak ni? Keputusan periksa kak long kan bagus? Sayang kalau tak sambung,” pujuk Encik Razali. Air mata di pipi Rania dikesat dengan penuh kasih sayang seorang bapa.
            “Kak long tahu keluarga kita susah. Kak long tak nak mak dan abah susah-payah kerja teruk-teruk semata-mata nak tanggung perbelanjaan kak long.” Rania memandang emak dan abahnya silih-berganti.
            “Kak long, dengar sini...” Encik Razali memegang kedua-dua belah bahu Rania lalu dibawa menghadapnya. “Kak long tu tanggungjawab abah dan mak. Kami tak rasa susah pun nak cari duit lebih untuk anak-anak. Malah abah dengan mak nak tengok kak long dan adik-adik berjaya sampai ke menara gading. Kak long jangan risau pasal duit, pandailah abah dengan mak cari jalan. Yang penting kak long kena sambung belajar,” pujuk Encik Razali lagi.
            “Tapi abah, mak... adik-adik lagi perlukan duit. Dia orang baru sekolah rendah. Banyak jugak nak pakai duit tu. Kak long ni dah habis sekolah, dah boleh cari duit sendiri.”
            “Kan kami dah cakap yang kak long tak payah risau... kak long sambung je belajar, pandailah kami nak cari duit.” Puan Azizah mengulang kembali kata-kata suaminya.
            “Kalau kak long dapat sambung kat KL, sanggup ke abah dengan mak lepaskan kak long?” Rania sengaja menguji.
Encik Razali dan Puan Azizah membisu. Wajah mereka kelihatan pucat tidak berdarah.
“Kak long dah agak mesti mak dengan abah akan terdiam. Tak apalah, kak long dah buat keputusan yang kak long tak nak sambung belajar. Esok kak long nak cari kerja kat kilang.” Rania sudah berdiri. Dia berpusing menghadap emak dan abahnya yang nampak terkejut dengan kata-katanya. “Pasal sambung belajar tu bila-bila pun boleh. Duit gaji kak long nanti boleh tampung perbelanjaan kita sekeluarga dan kak long jugak boleh kumpul duit untuk sambung belajar suatu hari nanti, insya-Allah.” Rania sudah nekad dengan keputusannya. Tiada siapapun yang boleh mengubahnya.
“Tapi kak long, pelajaran lagi penting. Lagipun kalau kak long sambung belajar bukan ke dapat pinjaman?” Puan Azizah bersuara setelah senyap beberapa ketika.
            “Memang dapat pinjaman tapi kak long lebih memikirkan keluarga kita. Mak dengan abah dah banyak berjasa pada kak long. Mak dengan abah dah membesarkan kak long dan bagi pendidikan yang sempurna. Kali ni biarlah kak long buat keputusan sendiri. Biarlah kak long pulak yang balas jasa mak dengan abah dan bantu biaya persekolahan adik-adik. Dia orang tu kecik lagi mak, abah... bila besar nanti mesti dia orang nak masuk universiti jugak. Demi adik-adik, biarlah kak long berkorban. Kak long janji, bila dah sampai masanya, kak long akan sambung belajar semula.” Rania menundukkan badan sambil memegang tangan emak dan abahnya meminta restu.
“Kalau dah macam tu kata kak long, baiklah. Abah setuju...”
“Abang!” Puan Azizah terkejut mendengar persetujuan Encik Razali.
            “Biarlah kak long buat keputusan sendiri, Zah. Kak long pun dah janji yang dia akan sambung belajar nanti. Yang penting sekarang kita kena berusaha keras cari duit,” putus Encik Razali.
            Puan Azizah mengeluh. Wajahnya kelihatan sedih dengan keputusan suami dan anak sulungnya.
 Rania sudah tersenyum mendengar kata-kata abahnya. “Kak long nak ke dapur dulu ya abah, mak… nak minum air. Assalamualaikum.” Tangan kedua  orang tuanya disalam lalu mula melangkah keluar dari bilik dengan hati yang berbunga.
Rania mengesat air matanya. “Akhirnya setelah empat tahun, hasrat aku nak sambung belajar bakal tercapai. Cuma sekarang ni kena tunggu persetujuan abah je. Dalam banyak-banyak universiti yang aku pilih, kat KL jugak yang aku dapat. Tapi aku bersyukur masih diberi peluang untuk belajar. Mungkin dah rezeki aku kat KL.” Rania bercakap sendirian. Kehidupan keluarganya juga sudah mula berubah, tidak lagi seperti dahulu yang bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Abahnya telah mempunyai kolam ikan keli sendiri, manakala emaknya pula selain mengambil upah menjahit pakaian, dia juga menjadi tukang urut di kampung. Adik-adiknya, Fazila yang dipanggil kak ngah sekarang belajar di tingkatan empat, Hakimie yang dipanggil achik pula sudah berada di tingkatan tiga dan Maisara yang dipanggil adik berada di tingkatan dua.
Memandangkan ketiga-tiga adiknya sudah meningkat remaja, dia mula memikirkan semula impiannya itu. Walaupun sudah empat tahun dia bekerja di kilang, semangat untuk menyambung pelajaran tidak pernah luntur bahkan semakin membuak-buak di dalam hatinya.
                                                            *****
RANIA  menggoncang telinganya apabila terasa ada sesuatu yang merayap di dalam lubang telinga. Sekali lagi benda itu merayap tetapi kali ini batang lehernya pula menjadi mangsa. Segera dia menepuk kuat lehernya kerana menyangka nyamuk yang menghinggap di batang leher.
            “Auch!!!” 
            Suara jeritan itu menyebabkan Rania segera bangkit dari tidurnya. Dia menoleh ke sisi dan melihat Fazila sedang meniup-niup tangannya yang sudah merah, manakala Maisara pula sudah ketawa besar. Rania bingung sebentar. Otaknya mula mencerna apa yang berlaku tadi.
            “Ooo... rupa-rupanya kak ngah la yang kuis-kuis lubang telinga dengan leher kak long tadi ya?” soalnya  apabila matanya terpandang baki kain yang digunakan Puan Azizah untuk menjahit berada di tangan Fazila. Dia mencerunkan matanya. Wajahnya pula sengaja diseriuskan, membuatkan adik-adiknya sedikit gerun.
He he he...” Fazila tersengih. “Mak suruh panggil kak long makan. Tadi kak ngah dah gerak, kak long tak bangun-bangun. Sebab tulah adik bagi idea macam ni, kan adik?”  Fazila memandang Maisara untuk meminta sokongan.
“Eh, bila masa pulak? Adik cakap je tak suruh pun kak ngah buat. Yang kak ngah pandai-pandai buat tu siapa suruh?” Maisara mengelat. Matanya membulat memandang Fazila yang sewenang-wenangnya menuduh.
            “Isy adik ni, kak ngah luku kang!” Fazila mula mengangkat tangannya.
            Maisara berusaha mengelak namun tangan Fazila lebih pantas. “Sakitlah kak ngah!” jerit Maisara lalu membalas balik dengan mengetil lengan Fazila.
Argh!!!” Fazila menjerit kuat.
            Pening kepala Rania melihat telatah adik-adiknya ditambah pula dengan pening di kepala akibat bangun secara mengejut. Dia memicit kepalanya perlahan. “Dah, dah, pergi keluar dulu, kejap lagi kak long keluar!”
            Dengar sahaja suara meninggi Rania, kedua-dua adiknya segera berlari keluar dari bilik mereka.
Rania membaringkan dirinya semula untuk menghilangkan pening di kepala. Dia mula teringat kembali semasa dia mengimbau kembali kenangan lama, serta-merta dia terlelap. “Alamak, aku tak solat zohor lagi!” Dia segera bangkit dari katil lalu berjalan terjingkit-jingkit keluar dari bilik menuju ke bilik mandi.
                                                            *****
USAI makan dan membasuh pinggan mangkuk, Rania melepak di pangkin. Badannya disandarkan pada batang pokok buah jambu air. Dia memeluk lutut sambil memandang ke jalan raya.
“Hoi kak long, termenung je kerjanya!” sergah Fazila. Dia mengambil tempat di sebelah Rania.
            Rania tersentak. “Amboi, anak dara sorang ni tak reti-reti nak bagi salam ke?” Rania mencubit pipi Fazila.
            “Ampun kak long, ampun… assalamualaikum. Okey, kak ngah dah bagi salam, sila lepaskan pipi adikmu yang tak berapa nak gebu ni,” rayunya. Tangan kanannya memegang pergelangan tangan Rania yang berada di pipinya. Wajahnya sedikit berkerut menahan sakit.
            Mendengar rayuan Fazila, Rania terus melepaskan cubitan. “Waalaikumussalam. Hah, ni baru betul orang Islam. Wah, cantiknya pipi dia! Dah tak payah nak pakai blusher... ha ha ha...” Rania ketawa besar melihat pipi Fazila yang sudah memerah.
            Fazila menggosok pipinya perlahan sambil menjeling tajam ke wajah Rania. “Tahulah orang tak putih macam kak long. Mata kecik, tinggi, cantik, hidung mancung, muka pulak ala-ala Chinese look sikit. Tak macam kak ngah ni, kulit pun tak berapa nak putih, tak berapa nak tinggi, hidung pulak tak berapa nak naik.” Fazila menghuraikan perbezaan antara wajahnya dan Rania yang begitu ketara sekali. Entah-entah mak hari-hari tengok cerita Cina kot masa mengandungkan kak long dulu? fikir Fazila dalam hati.
“Alah, rendah diri pulak adik kak long ni. Manusia ni sama je di sisi-Nya. Tak kira gelap ke, putih ke, mata kecik ke, mata besar ke... semua Allah sayang. Dia tak pernah membeza-bezakan umat-Nya. Dah, jangan nak merendah diri lagi. Adik kak long ni pun cantik jugak... manis, sopan santun je orangnya.” Rania menggosok bahu Fazila.
            Fazila tersenyum. “Kak long ni kenapa termenung je dari tadi? Makan pun macam tak berselera je kak ngah tengok.” Fazila mengubah topik.
            “Kak long dapat tawaran sambung belajar…” ceritanya sambil melepaskan tangannya pada bahu Fazila. Dia menyandar semula pada batang pokok.
            “Betul ke ni kak long?” Fazila sudah memusingkan badannya menghadap Rania. Matanya yang sudah sedia besar dibesarkan lagi.
            Rania mengangguk kepala sambil tersenyum sedikit.
            “Tahniah! Tapi kenapa muka kak long macam tak happy?” Fazila mengerut dahi.
            “Kak ngah rasa abah benarkan kak long sambung belajar tak?” Dia meminta pendapat Fazila.
            “Eh, mestilah bagi! Takkanlah abah tak nak tengok anak dia berjaya...”
            Rania mencapai daun jambu yang gugur lalu mengoyak-ngoyakkannya. Lambat-lambat dia bersuara. “Tapi kak long tak yakin abah akan izinkan kak long pergi. Mesti abah pun sama macam mak, berat hati nak lepaskan kak long ke KL.” Rania meluahkan keraguannya. Dagunya ditongkatkan ke lutut pula.
            “Kenapa pulak abah dengan mak berat hati? Kak long kan nak pergi belajar, bukan nak buat benda lain pun,” soal Fazila pelik.
            Rania menepuk dahi. Allah, aku terlupa pulak adik-adik aku tak tahu apa-apa! gumam hatinya. “Tak ada apa-apalah. Jom masuk, hari macam nak hujan je tu.” Rania turun dari pangkin lalu berjalan terjingkit-jingkit menuju ke pintu masuk.
            Fazila mendongak ke langit. Cerah je, mana ada nak hujan. Pelik sungguhlah kak long aku sekarang ni, desis hatinya. Fazila memandang Rania yang berjalan meninggalkannya. “Kak long!” panggilnya.
            Rania menoleh ke belakang.
            “Dari tadi lagi kak ngah nak tanya tapi asyik terlupa je.
            “Tanya apa?” Dia mengerut dahinya.
“Kaki kak long tu dah kenapa? Asyik berjalan terjingkit-jingkit je?
            Rania memandang kakinya. “Terkehel masa kak long nak turun tangga.” Usai menjawab, dia meneruskan langkahnya.
            Fazila mula turun dari pangkin, menyaingi langkah kakaknya. Secara senyap dia melompat ke belakang badan Rania.
“Hei, apa ni? Beratlah! Dah besar-besar pun nak bertenggek kat belakang orang ke? Turunlah!” ujar Rania geram.
            “Kak long bawaklah kak ngah masuk rumah, lagi sikit je nak sampai pintu rumah tu,” rengek Fazila.
            “Jangan nak mengada-ngada! Turun cepat, ingat badan awak tu ringan ke? Kak long kira sampai lima kalau tak turun jugak kak long cubit kak ngah!” ugutnya. “Satu... dua... tiga... empat... kak long nak cubit ni...” Lambat-lambat Rania mengira. Dia sudah mengangkat tangannya.
            Fazila masih tidak mahu turun. Dia tahu Rania tidak akan naik tangan padanya kerana Rania tidak pernah memukulnya. Dia juga tahu Rania sangat sayangkan adik-adik.
            “Empat... tak nak turun jugak ya?”
            “Tak nak!” jawab Fazila sambil ketawa.
Rania mengeluh. Akhirnya dia terpaksa menggendong Fazila sampai ke pintu rumah dengan keadaan kakinya yang berjalan terjingkit-jingkit.
Fazila tersenyum kemenangan.


 ~BERSAMBUNG~


p/s: Mungkin ada yang pernah baca enovel ni kat blog WC. Sebab tak nak blog ni bersawang, WC letakkan cerita ni kat sini. Maaf jika ada kekurangan...

No comments:

Post a Comment

 
;