From Us, To You :)

Assalamualaikum w.b.t to all.

Alhamdulillah, this blog is officially released on last 7th January 2012 as planned. And thanks to Allah, everything's going smoothly. Following the flow.

For those who comes and visit us here, giving us your support, big thanks to you too. Jangan malu, jangan segan untuk tinggalkan komen2 anda di petak komen, atau anda boleh saja klik suggestion box di bahagian atas sebelah kanan window untuk tinggalkan pesanan anda di sana.

We are trying our best to ensure all of our readers satisfied with all our writings. We are not perfect, that's the fact. When you guys happy, then we will be happy, that's for sure.

Keep on supporting us.

Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari Allah, segala yang kurang adalah dari kami sendiri.

May Allah bless all of us and grant us happiness here and here After, insyaAllah.

Regards, 7 street writers. :)

Sunday 11 March 2012

Separuh Hati Untukmu 2

SUASANA banglo mewah  dua tingkat itu sunyi, sesunyi penghuninya yang dahulunya penuh dengan gelak ketawa. Pokok-pokok bunga di taman mini pula seakan-akan mengerti dengan perasaan tuannya yang sedang bersedih. Hujan yang tadinya turun dengan lebat mulai berhenti daripada menyimbahi bumi.

Datin Rosnah duduk di sofa di dalam biliknya sambil tangan kanan diletakkan di atas dahi. Terhenjut-henjut bahunya akibat menangis. Dia bingkas mengesat air matanya apabila terdengar bunyi enjin kereta memasuki pekarangan rumah. Dia yakin suaminya sudah pulang dari tempat kerja. Dia bangkit menuju ke bilik mandi untuk mencuci muka. Dia tidak mahu suaminya  melihat mukanya yang baru lepas menangis. Nanti banyak pula yang disoal suaminya.
Dari dalam bilik mandi dia terdengar pintu bilik ditolak dari luar. Dia cepat-cepat mencuci mukanya. Setelah menilik muka di cermin, dia melangkah keluar sambil melemparkan senyuman pada suaminya. Kemudian dia mendapatkan suaminya yang sedang duduk di sofa yang ditinggalkan tadi. Dia menghulur tangan untuk bersalam.
Dato’ Azhar merenung tajam ke wajah isterinya yang masih tersenyum. “Ros menangis ke tadi?” soal Dato’ Azhar. Pelik melihat wajah isterinya yang merah.
“Tak adalah bang, Ros baru je bangun tidur tadi,” bohongnya lalu melabuhkan punggung di sebelah Dato' Azhar. Wajahnya diceriakan.
“Jangan nak tipu. Habis tu kenapa mata Ros tu bengkak? Suara tu pulak sengau semacam je?” Dato' Azhar curiga. Keningnya dikerutkan sambil tangan kanannya sibuk merungkai tali leher yang terasa agak merimaskan. Kemudian dia membuka tiga butang atas baju kemeja yang dipakainya. Butang di pergelangan tangan turut dibuka lalu menyinsingkan sedikit hingga ke paras siku. Matanya masih tidak beralih dari wajah Datin Rosnah.
“Betul bang, mana ada Ros menangis. Tadi lama sangat Ros tidur, sebab tu mata jadi macam ni.” Sedaya upaya Datin Rosnah cuba berahsia. Baginya Dato' Azhar tidak perlu tahu.
“Abang bukannya budak-budak yang boleh ditipu. Abang kenal macam mana muka bangun tidur dengan muka baru lepas menangis. Bagitau abang siapa yang buat Ros menangis?” tanya Dato’ Azhar. Badannya sudah dipusingkan sedikit menghadap Datin Rosnah.
Datin Rosnah diam. Masih tidak mahu membuka cerita. Dia menundukkan kepala, cuba menahan air mata yang bertakung di kelopak mata. Tidak mahu air matanya itu tumpah di hadapan suaminya. Cukuplah tadi dia menangis. Dia sudah tidak mahu menangis lagi. Dia perlu kuatkan semangat untuk menghadapi hari-hari mendatang yang mungkin akan lebih dahsyat dari hari ini.
“Kalau Ros tak nak cakap, abang pergi tanya Kak Pah jelah!” Dato' Azhar sudah bangkit dari sofa.
“Abang!” Datin Rosnah menahan. Tangannya memegang kejap pergelangan tangan suaminya.
Dato' Azhar melabuhkan punggungnya semula. Dia merenung wajah isterinya yang sudah ditakungi air. Bila-bila masa sahaja empangan itu akan pecah. “Kif ke yang buat Ros menangis?” serkap Dato' Azhar.
Mendengar nama Thakif disebut, serta-merta empangan itu pecah. Sekali lagi bilik itu menjadi saksi air mata Datin Rosnah tumpah. Tumpah kerana seorang lelaki yang bernama Thakif Qarish.
“Kenapa ni Ros? Apa yang Kif dah buat?”  Dato’ Azhar cuak. Dia tidak menyangka telahannya menyebabkan Datin Rosnah mengalirkan air mata. Terasa menyesal pula kerana meminta isterinya itu bercerita. Tangan kanannya sudah didaratkan pada bahu Datin Rosnah lalu dibawa ke dadanya, memujuk supaya isterinya itu bertenang.
“Sampai bila dia nak jadi macam tu, bang? Sampai bila? Dah tiga bulan berlalu tapi dia masih macam tu jugak.” Datin Rosnah teresak-esak di dada suaminya.
Dato’ Azhar mengeluh. “Kita kena bagi dia masa Ros. Dia masih belum boleh terima kenyataan yang diri dia dah tak sempurna macam dulu. Tambah-tambah lagi dia dah kehilangan orang yang paling dia sayang. Kalau abang berada kat tempat dia pun mungkin abang akan jadi  macam Kif jugak, bersedih, bersedih, dan bersedih...”  Dato’ Azhar mengeluh lagi mengenangkan nasib anak bujang tunggalnya yang bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.
“Kif buat apa sampai Ros menangis ni?” Dia mengulang soalannya. Dia pasti mesti ada sesuatu yang anak bujangnya itu buat sehingga isterinya menangis begitu teruk. Tidak seperti selalu, Datin Rosnah akan sentiasa bersabar dengan sikap Thakif.
Datin Rosnah mengangkat muka. Kejadian tengah hari tadi mula diceritakan…
Datin Rosnah sedang menbaca surat khabar di ruang tamu. Apabila dia ternampak kelibat Mak Pah sedang menuruni tangga, dia segera menutup surat khabar dan meletakkannya di atas meja kopi. Dia mengekori langkah Mak Pah yang sedang menuju ke dapur sambil menatang dulang.
            “Kak Pah, Kif dah habiskan sarapan ke?”
            “Belum Datin. Langsung tak berusik sarapan yang saya buat tadi. Puas saya pujuk suruh makan tapi dimarahnya saya balik,” adunya. Dulang yang dibawa tadi diletakkan di tepi sinki.
“Hai, apa nak jadilah dengan Kif tu?” keluhnya. “Tak apalah, Kak Pah sediakan lauk untuk makan tengah hari, kali ni biar saya pulak yang hantar kat atas,” ujar Datin Rosnah lagi. Dia meninggalkan ruang dapur lalu menuju ke kolam ikan koi di laman rumah. Balang yang berisi makanan ikan diambil lalu makanan itu ditaburkan ke kolam. Ikan koi mula berlumba-lumba merebut makanan. Hatinya tenang melihat ikan-ikan itu. Dia mendongak ke langit. Cuaca agak mendung.
“Patutlah cuaca tak panas, nak hujan rupanya,” bisiknya perlahan. Dia melangkah masuk ke rumah semula. Langkahnya dihalakan ke sofa kembali, membaca semula surat khabar yang ditinggalkan tadi.
“Datin, ini makanan untuk Thakif,” ujar Mak Pah setelah setengah jam berhempas pulas di dapur.
Datin Rosnah berpaling lalu bangkit mahu mencapai dulang di tangan Mak Pah. “Terima kasih Kak Pah, saya naik dulu.” ucapnya lalu melangkah ke tangga untuk ke bilik anak bujangnya.
Tombol  pintu dipulas. Dia beristighfar di dalam hati apabila melihat bilik itu tidak ubah seperti tongkang pecah. Beberapa biji bantal bersepah di sana sini, buku-buku serta majalah sudah terlontar di penjuru bilik dan langsir yang tidak berikat menyebabkan bilik itu kelihatan gelap. Kembang kempis hidungnya apabila terbau sesuatu yang kurang enak.
Dia meletakkan dulang di atas meja lampu, kemudian berjalan ke arah bantal-bantal yang bersepah lalu mengutipnya. Kemudian dia mengutip pula buku serta majalah dan menyusunnya di rak yang memang sengaja diletakkan berhampiran dengan katil Thakif supaya mudah lelaki itu membacanya. Selesai semuanya, dia mengambil tempat di sebelah Thakif yang berselubung di dalam selimut.
“Kif, bangun nak. Kif buang air besar ya? Jom mama mandikan,” panggilnya lembut. Badan anaknya ditepuk perlahan.
Thakif masih lagi kaku di dalam selimut. Tidak mengendahkan panggilan Datin Rosnah.
“Kif, bangunlah cepat... dah tiga hari Kif tak mandi, kan? Mama nak mandikan ni. Nanti dijangkiti  kuman pulak. Dah bau semacam je bilik ni tau. Bangun cepat,” ujarnya lagi apabila tiada reaksi dari Thakif
“Kif tak nak. Tinggalkan Kif sendirian.” Thakif bersuara dari dalam selimut. Walaupun suaranya perlahan, namun masih dapat didengar Datin Rosnah.
“Tak boleh, Kif kena bangun jugak. Macam mana nak makan kalau badan kotor macam tu? Mam tak peduli, Kif kena mandi jugak! Bangun, mama kata!” desaknya sambil menggoncang kuat badan anaknya. Kali ini dia terpaksa berkeras. Dia sudah penat apabila asyik berlembut.
Thakif menolak kasar selimut yang menutupi seluruh badannya. Wajahnya kelihatan bengis. “Mama ni tak faham bahasa ke? Kif kata tak nak tu tak naklah! Leave me alone! Now, Kif nak mama keluar dari bilik Kif!”
Terangkat sedikit bahu Datin Rosnah mendengar herdikan itu. Perlahan-lahan air matanya mengalir. Tidak pernah walau sekali Thakif mengherdiknya sebegitu rupa.  “Kif...” Lirih suaranya menyebut nama Thakif. Matanya mula digenangi air.
“Tolonglah keluar, ma…” Thakif menolak sedikit tubuh Datin Rosnah. “Kif tak nak sesiapapun ganggu Kif. Biarlah Kif nak mati ke, apa ke... jangan sesiapapun peduli!” Dia kembali menyelubungi badannya ke dalam selimut.
Dengan hati yang terguris, Datin Rosnah bangkit menuju ke pintu keluar.
“Mama!”
Baru separuh dia berjalan, Thakif memanggilnya. Hati Datin Rosnah sudah berbunga-bunga mendengar panggilan anaknya. Perlahan-lahan dia menoleh.
“Tolong bawak dulang ni sekali, Kif tak nak makan.” Usai berkata-kata, Thakif menyelubungkan kembali tubuhnya ke dalam selimut.
Sekali lagi hati Datin Rosnah hancur. Dia menyangka Thakif berasa bersalah meninggikan suara kepadanya. Dia menuju ke meja yang diletakkan dulang tadi lalu mengangkatnya dan melangkah keluar dari bilik itu.
Datin Rosnah meletakkan dulang di atas meja di ruang tamu atas. Kedua-dua belah tapak tangannya dipekup ke muka lalu menangis teresak-esak.
“Kenapa ni Datin?”
Datin Rosnah membuka kedua-dua telapak tangan apabila mendengar suara Mak Pah. Dia bingkas memeluk Mak Pah yang sudah melabuhkan punggung di sebelahnya lalu menangis di bahu pembantu rumahnya itu.
“Kenapa ni Datin?” Mak Pah mengulangi soalannya.
“Kif, Kak Pah... Kif...” Tersedu-sedan suaranya.
“Kenapa dengan Kif?” Mak Pah mengerutkan dahinya yang telah sedia berkedut.
“Dia... dia tengking saya, Kak Pah. Selama ni dia tak pernah pun meninggikan suara dia pada saya. Saya sedih, Kak Pah. Sedih sangat...” Datin Rosnah bercerita dengan suara yang tersekat-sekat.
“Sabarlah Datin. Mungkin dia tak sengaja. Dia kan sakit. Sabar ya…” pujuknya.
Datin Rosnah mula merenggangkan pelukannya. Air mata yang tumpah dikesat perlahan.
“Makanan saya dah siap hidangkan, pergilah Datin makan dulu, nanti sejuk tak sedap pulak,” ujar Mak Pah selepas melihat wajah majikannya mulai tenang.
“Tak apalah Kak Pah, saya tak lapar. Kak Pah pergilah makan.” Kendur suaranya. Hatinya masih terguris dengan perbuatan Thakif. Masih terngiang-ngiang tengkingan Thakif di telinganya.
“Janganlah macam tu Datin. Kalau Datin sakit nanti macam mana? Siapa pulak yang nak jaga Thakif nanti?” pujuknya lagi, menggunakan nama Thakif sebagai senjata.
            Lama Datin Rosnah merenung wajah Mak Pah. “Saya tak nak jatuh sakit, Kak Pah. Saya tak nak! Mari Kak Pah, temankan saya makan.” Datin Rosnah mula termakan dengan pujukan Mak Pah. Dia bangkit lalu menuruni tangga.
Wajah Dato’ Azhar berubah merah mendengar cerita isterinya. Turun naik nafasnya menahan marah. “Kif ni memang dah melampau!” marahnya. Dia bangkit dari sofa lalu pintu bilik dibuka kasar.
            Datin Rosnah terpinga-pinga. “Abang nak ke mana pulak tu?” tanyanya sambil mengesat air mata.
             “Nak ajar sikit budak yang tak tahu hormat orang tua tu!” Sedikit keras suaranya.
“Tak payahlah bang. Mungkin mood dia tak baik hari ni, sebab tu dia tinggikan suara. Lagipun dia tak sengaja tadi,” halangnya. Jantungnya sudah berdebar memikirkan apa yang akan Dato' Azhar buat pada Thakif.
            Dato' Azhar memusingkan badannya menghadap Datin Rosnah. “Mood tak baik awak kata? Takkan sebab mood tak baik je dia boleh menengking sesuka hati? Dia tak sedar ke siapa yang dia tengking tu? Awak tu mama kandung dia tau! Ibu yang mengandungkan dia selama sembilan bulan sepuluh hari. Kita tak pernah ajar dia bersikap kurang ajar macam tu!” Bahasa Dato’ Azhar sudah bertukar. Tiada lagi panggilan nama.
            “Kalau dibiarkan, makin naik lemak pulak dia nanti! Jangan ingat dia sakit, dia boleh buat macam-macam. Hari ni ditengkingnya awak, esok lusa apa pulak yang dibuatnya nanti?!” Suara Dato’ Azhar masih lagi keras. Perbuatan Thakif itu benar-benar menaikkan darahnya. Nasib baik dia tiada penyakit darah tinggi.
            “Sebab nilah Ros tak nak cerita kat abang. Abang tu cepat sangat naik darah. Biarkan jelah dia, bang. Abang kan baru je balik kerja. Penat pun tak hilang lagi. Kejap lagi dah nak masuk maghrib, abang pergilah mandi dulu,” pujuk Datin Rosnah.
            “Astaghfirullahalazim...” Dato’ Azhar beristighfar lalu duduk semula di sofa yang ditinggalkan tadi. Dia meraup wajahnya perlahan.
Datin Rosnah bangkit menuju ke arah penyidai lalu mengambil tuala untuk suaminya. Kemudian tuala itu dihulur pada Dato’ Azhar.
Dato’ Azhar bangkit dan berlalu ke bilik mandi. Setelah selesai mandi, giliran Datin Rosnah pula masuk ke bilik mandi untuk mengambil wuduk. Mereka berjemaah menunaikan solat maghrib.
                                                            *****
SELESAI makan malam, Datin Rosnah meminta diri untuk masuk tidur. Hari ini dia betul-betul letih menahan perasaan akibat perbuatan Thakif. Sebelum ini, usai sahaja makan malam dia pasti menemani suaminya mengambil angin malam di gazebo sambil bersembang kosong.
            Dato’ Azhar menghantar isterinya dengan pandangan mata. Setelah kelibat isterinya hilang, dia mempercepatkan suapan. Kemudian dia membasuh tangan. Mak Pah yang duduk satu meja dengan Dato' Azhar, pelik melihat kelakuan majikannya tetapi dia tidak berani menegur apabila melihat air muka majikannya yang garang, tidak seperti hari-hari sebelumnya.
Dato’ Azhar bangkit dari duduk. Langkah dihayun menuju ke tangga. Dia mendaki satu per satu anak tangga untuk ke bilik Thakif. Dia sengaja menunggu sehingga Datin Rosnah masuk tidur supaya mudah untuk dia mengajar Thakif yang sewenang-wenangnya menengking orang yang sepatutnya dihormati.
            Dato' Azhar  memulas tombol pintu bilik Thakif. Gelap. Dia meraba-rabakan tangan untuk mencari suis lampu yang terletak di tepi pintu bilik. Beberapa saat kemudian, bilik itu diterangi cahaya lampu.
            Thakif yang sedang tidur, memisat-misat matanya. “Siapa yang bukak lampu ni? Mak Pah, tutup balik lampu tu! Orang nak tidur pun susah!” rungutnya. Dia menyangka Mak Pah yang memasang lampu. Selimut ditarik menutupi seluruh tubuhnya.
            Dato’ Azhar mencapai tuala di penyidai lalu menuju ke katil di mana Thakif sedang tidur. Dia menahan semahu mungkin bau yang semerbak di bilik anaknya. Dia merentap selimut yang menyelubungi tubuh Thakif lalu diheret anak bujangnya itu.
            “Eh, apa ni?!” Thakif terkejut apabila terasa badannya ditarik. “Lepaskan Kif, pa!” jerit Thakif apabila sudah mengenalpasti siapa yang mengganggu tidurnya. Dia meronta-ronta dan minta dilepaskan. Keadaannya yang lumpuh separuh badan menyukarkan pergerakkannya.
            “Pa, Kif tak nak! Lepaskan Kif. Kif nak tidur...” Thakif merengek sambil tangan terkapai-kapai berusaha untuk melepaskan diri.
            Dato' Azhar tidak mengendahkan jeritan Thakif. Dia tetap mengheret Thakif masuk ke bilik mandi.
Thakif menahan tangannya pada pintu masuk bilik mandi. Separuh daripada badannya sudah berada di dalam bilik mandi.
            “Lepaskan tangan tu,” perlahan Dato' Azhar bersuara.
            “Tak nak! Kif tak nak mandi! Please, pa... Kif cuma nak tidur je,” rayunya.
            “Papa kata lepaskan tangan tu, kan?!” Suara Dato' Azhar mula meninggi. Sudah hilang sabar dengan perangai Thakif.
            “Tak nak! Kif takkan lepaskan tangan!” Thakif tetap berdegil.
            Kedegilan Thakif menambahkan lagi rasa marah dalam diri Dato' Azhar. Dengan kasar tangan Thakif direntap.
            “Bang, macam suara Kif je tu?” kata Mak Pah kepada suaminya, Pak Hashim yang masih belum habis makan.
“Yalah. Apa hal pulak tu?” Suapan Pak Hashim terhenti. Dia mengamati suara jeritan itu.
            Mak Pah membasuh tangannya mahu melangkah ke atas.
            “Eh, awak nak ke mana, Pah?” soal Pak Hashim pelik.
            “Nak pergi tengok Kif kat atas tu. Entah apa yang dia mengamuk.”
            “Tak payahlah, Dato’ dengan Datin kan ada. Temankan abang makan lagi bagus,” larangnya. Dia tidak mahu isterinya masuk campur dalam hal keluarga Dato' Azhar.
            “Abang makanlah sendirilah ya, Pah naik atas dulu.” Mak Pah bergegas menaiki tangga meninggalkan suaminya.
            “Degil betullah Pah ni.” Menggeleng kepala Pak Hashim melihat isterinya. Suapannya disambung kembali.
            Sampai sahaja di bilik Thakif, Mak Pah pelik apabila melihat Thakif tiada di atas katil. Dia melangkah pula ke bilik mandi apabila terdengar suara di situ. Dia lihat majikannya sedang cuba menanggalkan baju Thakif.
            “Hah Kak Pah, tolong tukar cadar tu.” arah Dato’ Azhar apabila melihat kelibat Mak Pah di pintu bilik mandi.
            Tanpa membuang masa, Mak Pah pantas melakukan arahan yang diberi. Pintu almari dibuka lalu mengeluarkan cadar yang bersih untuk menggantikan cadar yang sudah kotor.
            “Kak Pah, lepas ni tolong bawak makanan naik ke atas ya!” arahnya lagi dari dalam bilik mandi.
            “Baik Dato'!” Mak Pah turut menguatkan suaranya. Selesai menukar cadar dan meletakkan pakaian bersih Thakif di atas katil, Mak Pah bergegas keluar dari bilik.
            Selesai memandikan Thakif, Dato’ Azhar memakaikannya pakaian.
            Thakif sudah tidak bersuara. Mungkin penat kerana banyak menjerit dan meronta tadi. Wajahnya masam apabila permintaannya tidak diendahkan. Dia sakit hati. Tangannya juga sakit apabila direntap kasar oleh papanya tadi.
            Pintu bilik Thakif diketuk perlahan.
            “Masuk!” arah Dato’ Azhar yang sudah selesai mendudukkan Thakif di atas katil. Tuala disidai di penyidai semula setelah selesai mengelap rambut Thakif yang sudah panjang paras bahu. Penyembur bilik yang berada di atas meja solek diambil lalu menyembur seluruh bilik. Semerbak bau haruman Green Tea di dalam bilik Thakif. Tiada lagi bau yang menyengatkan hidung.
 Mak Pah masuk sambil menatang dulang lalu memberikan kepada Dato' Azhar.
“Terima kasih, Kak Pah. Kak Pah boleh keluar, Kif ni biar saya yang uruskan,” ujar Dato' Azhar sambil tersenyum.
            “Baik, Dato'…” Perlahan-lahan Mak Pah melangkah keluar.
            “Makan!” Dato’ Azhar mendekatkan sudu ke mulut Thakif. Mukanya serius.
            “Papa tolong jangan paksa Kif. Tadi bolehlah papa paksa sebab Kif tak berdaya. Papa boleh keluar sekarang! Kif tak nak papa ganggu Kif lagi!” Thakif meninggikan suaranya. Dia membalas pandangan papanya yang sudah mula menyinga.
            “Kif jangan nak kurang ajar dengan papa! Kif jangan ingat Kif sakit, Kif boleh tinggikan suara sesuka hati. Kif tahu tak siapa yang Kif tengking tengah hari tadi? Mama kandung Kif sendiri tahu tak?! Kif pun tahu kan berdosa seorang anak meninggikan suara pada mamanya sendiri? Lagi-lagi buat mama menangis. Tak cium bau syurga nanti. Syurga tu di bawah telapak kaki ibu. Kif kena ingat tu!” Meninggi suara Dato' Azhar. Lahar kemarahannya sudah pecah.
Air mata Thakif mula mengalir mengenangkan sikap kurang ajarnya terhadap Datin Rosnah tengah hari tadi. Dia tidak tahu apa yang merasuknya. Dia benar-benar rasa bersalah kini. Wajah mamanya yang keruh mula bergentayangan di ruang matanya. Maafkan Kif, ma. Maafkan Kif! rintih hatinya.
            “Esok papa nak Kif minta maaf pada mama. Papa tak nak dengar lagi yang Kif kurang ajar dengan mama atau dengan sesiapapun. Now, makan ni.” Dato’ Azhar mendekatkan lagi sudu ke mulut Thakif.
            Thakif mengesat air mata yang mengalir di pipi kemudian membuka mulutnya untuk menerima suapan daripada papanya. Nasi yang berada di mulutnya terasa seperti pasir namun dia menelannya juga.
             Setelah Thakif selesai makan, Dato’ Azhar mula bangkit untuk keluar dari bilik itu.
            Thakif memegang lengan papanya. “Kif minta maaf, pa.  Kif pun tak tahu kenapa Kif jadi macam ni. I’m so sorry, pa...” Thakif menangis. Lengan papanya di dekatkan ke mukanya.
            Dato’ Azhar duduk semula di sisi Thakif. Dia mengusap rambut panjang anak bujangnya. Sikat di meja lampu dicapai lalu menyikatkan rambut Thakif yang nampak tidak terurus. “Sudahlah, papa maafkan. Papa tak marah kalau Kif rasa tertekan tapi papa tak suka Kif lepaskan rasa marah pada orang lain. Kif kena belajar. Belajar kawal perasaan tu,” nasihat Dato' Azhar.  “Kif tidurlah, dah malam ni.” Dia membaringkan Thakif. Selimut ditarik sampai ke paras dada.
            Thakif mula memejamkan matanya. Air matanya masih mengalir di hujung mata.
Dato’ Azhar melangkah keluar dari bilik Thakif dan berlalu ke biliknya. Perlahan-lahan dia duduk di atas katilnya. Dia lihat isterinya tidur membelakanginya. Kemudian mengintai sedikit ke wajah itu. Lena. Dia mengeluh kelegaan apabila raungan Thakif tadi langsung tidak mengganggu lena isterinya.
            Tangan kiri dipanjangkan mahu mematikan lampu tidur di sisi Datin Rosnah. Dia hanya membiarkan lampu tidur di sisinya sahaja yang menyala. Dato' Azhar kemudiannya mencapai buku di meja lampu di sebelahnya lalu membacanya. Tabiatnya memang begitu, suka membaca sebelum tidur.
            “Abang marah Kif ke tadi?”
            Dato’ Azhar pantas berpaling ke sisi. “Ros tak tidur lagi ke? Tadi kata mengantuk?” Dato’ Azhar menutup buku yang tidak sampai satu muka surat dibacanya lalu diletakkan di ribaan.
            Datin Rosnah bangun dan bersandar di kepala katil. Getah rambut di atas meja lampu dicapai lalu mengikat rambutnya. “Ros terdengar suara Kif menjerit tadi, macam mana Ros nak tidur?” jawab Datin Rosnah sambil memandang wajah suaminya.
            “Kalau Ros belum tidur, kenapa tak masuk bilik Kif tadi?” soal Dato’ Azhar pelik. Sebelum maghrib tadi beria-ia Datin Rosnah menghalang dia memarahi Thakif.
            “Ros tak sanggup, bang. Tak sanggup...” Air mata Datin Rosnah mengalir.
            “Ros, janganlah nangis lagi. Makin bengkak pulak mata Ros tu nanti. Tak elok asyik nangis, nanti jadi macam Kasim Selamat pulak. Abang tak nak isteri abang jadi Rosnah Selamat... nanti abang cari lain, baru tahu!” Dato’ Azhar berlelucon.
            “Abang ni... orang tengah sedih, dia gurau-gurau pulak!” Datin Rosnah menumbuk perlahan bahu Dato’ Azhar.
            Dato’ Azhar ketawa melihat Datin Rosnah memuncung. “Apa yang Ros tak sanggup?” Dato' Azhar kembali menyoal. Wajahnya kembali serius.
            Datin Rosnah menundukkan wajah. Air mata kembali bertakung di kelopak mata. “Ros tak sanggup nak dengar Kif tengking Ros lagi.” Datin Rosnah kembali teresak.
Dato’ Azhar terdiam.
“Hati Ros terluka, bang. Terluka bila teringatkan tengkingan Kif tengah hari tadi. Biarlah hati Ros sejuk dulu,” sambungnya lagi sambil memandang wajah Dato’ Azhar. Lampu tidur yang masih terpasang di sisi suaminya membolehkan dia melihat dengan jelas wajah suaminya itu.
            “Kif dah sedar kesilapan dia, Ros. Dia menyesal sangat tengking Ros tadi. Sampai nangis-nangis dia minta maaf...” Dato’ Azhar bercerita.
            Datin Rosnah tergamam mendengar kata-kata Dato’ Azhar. Dia pantas menolak selimut lalu bergegas turun dari katil.
            “Nak ke mana pulak tu, Ros?” tanya Dato' Azhar.
            “Nak pergi tengok Kif!” jawab Datin Rosnah tanpa menoleh.
            “Kif dah tidur. Penat dia meronta-ronta tadi. Esok ajelah Ros tengok dia,” kata Dato’ Azhar. Buku di riba sudah diletakkan di atas meja lampu.
            “Sekejap je... tengok muka Kif pun jadilah.” Datin Rosnah terus keluar dari biliknya menuju ke bilik Thakif.
            Dato’ Azhar tersenyum. Tahu sangat perangai isterinya yang lembut hati. Mulut kata lain, hati kata lain. Dia menggeleng kepalanya.
            Datin Rosnah berjalan perlahan ke katil Thakif. Tidak mahu mengganggu lena anaknya. Lama dia merenung wajah itu. Mendengar kata-kata suaminya tadi, hatinya yang terhiris dengan perbuatan Thakif terus menjadi sejuk. Sejuk seperti disirami air terjun. Suhu penghawa dingin direndahkan sedikit apabila melihat Thakif seperti kesejukkan. Dia mendekatkan wajahnya ke dahi Thakif. Dengan penuh kasih seorang ibu, dia mengucup dahi Thakif. Lama.
            “Selamat malam sayang... mama maafkan segala kesalahan Kif...” Datin Rosnah bersuara perlahan.


 ~BERSAMBUNG~

4 comments:

  1. cam best je....nak n3 lg...nk tau nape Thakif cam tk bersemangat nk idup...msti ada kisah disebaliknya...

    ReplyDelete
  2. e-novel ni bru lg eh...???best...nk n3 lg..hehehhe:)

    ReplyDelete
  3. @eyza razali, ni enovel lame WC yang dah lama tak bersambung... dulu post kat blog sendiri... Sekarang baru post kat sini... thnks ek sudi bace...

    ReplyDelete

 
;