From Us, To You :)

Assalamualaikum w.b.t to all.

Alhamdulillah, this blog is officially released on last 7th January 2012 as planned. And thanks to Allah, everything's going smoothly. Following the flow.

For those who comes and visit us here, giving us your support, big thanks to you too. Jangan malu, jangan segan untuk tinggalkan komen2 anda di petak komen, atau anda boleh saja klik suggestion box di bahagian atas sebelah kanan window untuk tinggalkan pesanan anda di sana.

We are trying our best to ensure all of our readers satisfied with all our writings. We are not perfect, that's the fact. When you guys happy, then we will be happy, that's for sure.

Keep on supporting us.

Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari Allah, segala yang kurang adalah dari kami sendiri.

May Allah bless all of us and grant us happiness here and here After, insyaAllah.

Regards, 7 street writers. :)

Sunday 1 April 2012

Separuh Hati Untukmu 4

THAKIF berpaling apabila terasa kerusi rodanya ditarik ke belakang. Dia terkejut melihat papanya masih lagi belum tidur.
“Apa yang Kif cuba buat ni?!” marah Dato’ Azhar.
“Lepaskan Kif, pa. Kif nak mati. Dah tak ada gunanya Kif hidup lagi. Lepaskan Kif!” Thakif meronta. Dia cuba menggerakkan kerusi rodanya tetapi tidak boleh. Tenaga papanya lebih kuat daripadanya.
“Jangan jadi bodohlah Kif! Bunuh diri tak dapat selesaikan masalah! Dapat dosa adalah!” marah Dato’ Azhar.
“Kif, abang… kenapa ni? Kenapa Kif terjerit-jerit tengah malam ni?” soal Datin Rosnah yang tiba-tiba keluar dari bilik tidur.
Adeeba juga turut keluar dari biliknya sambil menenyeh mata.
“Kif ni... dia cuba nak hempaskan diri dia kat tangga tu. Nasib baik abang tergerak nak ke dapur tadi. Kalau terlambat, abang pun tak tahu apa yang akan jadi,” terang Dato’ Azhar. Dia masih lagi tidak melepaskan tangannya pada bahu Thakif dan pemegang kerusi roda.
“Kif, kenapa Kif buat macam ni? Kif tak sayang mama ke? Tak sayang papa? Tak sayang adik? Bawak  mengucap, Kif… istighfar banyak-banyak, ingat Tuhan,” nasihat Datin Rosnah. Dia menundukkan dirinya sedikit agar sama tinggi dengan ketinggian Thakif yang berkerusi roda.
Dato, Azhar melepaskan pegangannya lalu berdiri di hadapan Thakif sambil berpeluk tubuh.
“Kif dah tak percaya pada Tuhan lagi, ma! Sebab Dialah Manda tinggalkan Kif! Sebab Dia jugaklah Kif dah tak sempurna macam dulu! Kenapa Dia tak ambil nyawa Kif sekali?! Kenapa Dia biarkan Kif hidup menderita macam ni?!” Thakif mempersoalkan ketidakadilan Allah SWT.
“Astaghfirullahalazim... Kif, kenapa cakap macam ni? Allah tak pernah nak menyusahkan umat-Nya. Dia hanya nak menguji kesabaran kita. Mungkin ini ujian untuk Kif. Mama yakin, pasti ada hikmah di sebalik semua ujian yang diturunkan pada Kif ni. Kif bersabar ya? berdoa banyak-banyak pada Dia,” pujuk Datin Rosnah.
“Tak! Kif dah tak percaya pada Dia lagi! Dia tak adil! Dia biarkan Kif hidup merana tanpa Manda! Setiap kali sembahyang, Kif selalu doa agar Kif dan Manda kekal hingga ke akhir hayat. Tapi Dia tak dengar pun doa Kif ni, ma... hidup Kif dah hancur, ma... hancur!”
Pang!!!
Thakif tergamam. “Sampai hati papa tampar Kif. Sampai hati papa!” Thakif memusingkan kerusi rodanya lalu digerakkan menuju ke biliknya. Pintu bilik dihempas kuat.
                                                            *****
“ABANG KIF... Abang Qhaf nak jumpa. Dia ada kat bawah.” Adeeba bersuara. 
            “Suruh je dia balik. Abang tak nak jumpa sesiapapun!” Thakif yang sedang mnghadap ke luar balkoni langsung tidak menoleh ke arah Adeeba.
            “Tapi bang, dia kan kawan baik abang. Tak baik buat macam tu. Masa kat hospital dulu ada  jugak keluarga arwah Kak Manda jenguk abang tapi masa tu abang belum sedarkan diri. Jumpa jelah dia, bang. Deeba panggil dia naik ya?” pujuk Adeeba lembut.
            Thakif memusingkan kerusi rodanya. Matanya tajam merenung paras adiknya. “Kan abang dah kata abang tak...” Kata-katanya terhenti sebaik sahaja melihat kelibat Qhafi di muka pintu bilik.
            “Kenapa kau tak nak jumpa aku?” soal Qhafi
            “Aku tak nak jumpa kau! Tolong pergi dari sini!” arah Thakif.
            Perlahan-lahan Adeeba meninggalkan bilik Thakif.
            “Cuba kau cerita kat aku kenapa kau tak nak jumpa aku? Apa salah aku pada kau?” Qhafi mengambil tempat di sofa. Matanya memandang tepat ke wajah Thakif yang sudah dipenuhi jambang.
            “Sebab aku dah cacat! Kau faham tak?! Aku dah cacat! Aku malu nak tunjukkan diri aku yang dah tak sempurna ni  kat orang lain! Kau dah tahu sebabnya, kan? Please keluar dari bilik aku!” Thakif memusingkan kerusi rodanya membelakangi Qhafi.
            “Aku tahu bukan sebab cacat tapi sebab Manda, kan? Kau tak dapat nak terima kenyataan yang Manda dah meninggal, kan? Sudahlah Kif, yang pergi tetap akan pergi!”
            Thakif memusingkan kerusi rodanya kembali menghadap Qhafi. “Kau tak faham perasaan aku. Dia pergi masa aku amat perlukan dia di sisi aku. Aku rasa kehilangan, kau tahu tak? Kehilangan! Aku tak ada semangat nak hidup bila dia tak ada kat sisi aku. Aku rasa macam nak mati, kau tahu tak? Nak mati!” Meninggi suaranya. Nafasnya turun naik menahan marah.
            “Kif, kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Sepatutnya orang yang beragama Islam macam kita ni mesti redha dengan takdir-Nya. Sudah tertulis kat sana sampai setakat ini je hayat Manda dan sampai setakat ini je jodoh kau dengan Manda! Kau harus terima, Kif.” Nasihat Qhafi.
“Kau silap kalau kau kata aku tak rasa kehilangan seperti yang kau rasa. Kau dah lupa ke yang Nuha Amanda tunang kau tu adik aku? Dia adik kandung aku, Kif. Aku pun rasa kehilangan dia. Keluarga aku juga turut bersedih pasal kematian dia tapi kami masih teruskan hidup macam biasa. Cuma ibu je belum dapat terima kenyataan. Jauh di sudut hati, kami berharap suatu hari nanti ibu akan redha dengan pemergian Manda. Aku harap kau juga begitu,” ujar Qhafi lagi.
            “Tapi aku tak boleh, Qhaf… aku tak boleh nak teruskan hidup tanpa Manda. Dialah segala-galanya bagi aku,” luah Thakif. Air matanya mula bertakung di kelopak mata.
            “Aku tahu kau boleh, Kif... aku tahu kau boleh! Dulu kau tak pernah macam ni, kan? Kenapa kerana seorang perempuan kau jadi begini lemah? Mana Thakif Qarish yang aku kenal dulu? Mana Thakif Qarish yang selalu taat pada perintah-Nya? Kau kena ingat Tuhan, Kif... ingat Tuhan!”
            Thakif menekupkan kedua-dua belah tangannya ke telinga. Dia tidak mahu mendengar nasihat Qhafi. “Tolong tinggalkan aku sendirian. Aku tak nak dengar lagi apa-apa pun yang keluar dari mulut kau! Pergi dari sini, Qhaf! Pergi! Tolong jangan datang sini lagi!” halaunya.
            “Terpulanglah pada kau kalau tak mahu dengar nasihat aku. Tapi kau mesti ingat! Bukan kau je yang rasa kehilangan dan...” Qhafi diam seketika. “… aku akan tetap jadi sahabat kau walaupun kau buang aku!” Usai berkata-kata, Qhafi melangkah keluar dari bilik.
            Thakif membuka mata. Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Sudah tiga bulan kejadian itu berlalu namun dia masih tidak dapat melupakannya. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Amanda di telinganya.

Manda nak abang cari pengganti bila Manda dah tak ada nanti. Manda tak nak abang terus membujang dan Manda nak tengok abang bahagia bila Manda dah pergi...

Kini Thakif mulai sedar yang Amanda seperti mendapat alamat yang dia tidak akan hidup lama di dunia ini. “Manda, abang rindukan sayang... Rindu sangat-sangat,” rintihnya. Kemudian dia menarik laci meja lampu lalu mengeluarkan gambar Amanda. Dia mengusap perlahan gambar itu lalu dibawa ke dadanya. Didakap erat gambar itu, melepaskan rindu yang tidak tertanggung.
                                                            *****
DATIN ROSNAH  menuruni tangga menuju ke dapur. Wajahnya berseri-seri. Tiada lagi riak sedih di mukanya selepas mendapat mesej daripada Thakif tadi. Berbunga riang hatinya.
            “Kak Pah...” Dia menegur Mak Pah yang sedang tekun melakukan kerjanya di dapur.
            “Ya, Datin?”  Terhenti seketika kerjanya.
            “Hari ni biar saya je yang masak. Kak Pah pergilah berehat.”
            Apa kena dengan Datin aku ni? Tak pernah-pernah dia suruh aku berehat bila aku tengah bekerja ni, omelnya dalam hati. “Eh, tak payahlah Datin! Ni kan kerja saya. Datin yang sepatutnya pergi berehat. Kalau Dato’ nampak saya berehat, apa pulak yang Dato’ kata nanti. Mesti Dato’ ingat saya makan gaji buta pulak. Datin pergilah berehat ya? Tengok tv ke,” tolaknya apabila Datin Rosnah mula mencapai pisau ditangannya.
            “Tak apalah, Kak Pah… hari ni saya gembira sangat sebab Kif hantar mesej kat saya tadi.” Datin Rosnah menceritakan perkara yang membuatkan hatinya gembira.
            “Hah, Kif hantar mesej? Dia kata apa?” Mak Pah sudah terkejut bercampur teruja.
            “Ya... Kif hantar mesej. Katanya dia lapar, sebab tu hari ni saya nak masak lauk kegemaran dia. Kak Pah pergilah temankan Abang Hashim cuci kereta kat laman tu,” halaunya.
            “Amboi Datin ni, sudah dapat gading bertuah, tanduk tak berguna lagi.” Mak Pah berperibahasa.
            “Ek… eh Kak Pah ni, apa kena mengena gading dengan tanduk pulak ni? Bila masa pulak saya bela gajah?” Datin Rosnah mengerut dahi. “Dah, dah, jangan nak merajuk. Buruk benar rupanya. Nanti Abang Hashim cari bini lain baru tahu. Mehlah tolong saya siang sayur ni,” pujuk Datin Rosnah. Dia menghulurkan sayur kangkung kepada Mak Pah.
            “Berani dia nak cari bini baru, langkah mayat saya dulu! Sebelum dia menggatal dengan perempuan lain, saya solekkan muka dia dengan penumbuk saya ni. Biar tak ada perempuan nak pandang!” kata Mak Pah sambil menumbuk-numbuk penumbuknya pada tapak tangan.
            “Amboi, boleh tahan jugak cemburu Kak Pah ni ya!” Datin Rosnah tersenyum.
            Mak Pah membuat muka cemberut.
Pecah ketawa Datin Rosnah melihat wajah yang dirasakan lucu itu.
Sejuk hati Mak Pah melihat majikannya mula ketawa semula sejak peristiwa tiga bulan lalu. Semoga keceriaan keluarga ini akan kembali pulih, doanya dalam hati.
            Kring!!! Kring!!! Kring!!! Kring!!!
            “Telefon rumah berdering tu, Datin.” Mak Pah memberitahu apabila telinganya menangkap bunyi telefon rumah di ruang tamu.
            “Kejap ya Kak Pah, saya angkat telefon dulu,” kata Datin Rosnah. Tangannya yang kotor kerana memotong isi ayam dibasuh dahulu. Kemudian dia melangkah ke ruang tamu, mengangkat telefon. “Helo, assalamualaikum...” Dia member salam.
            “Waalaikumusalam. Mama, ni Deeba. Minggu ni Deeba tak dapat baliklah, dah nak exam.” Kedengaran suara Adeeba di hujung talian.
            “Tak apalah, exam lagi penting. Cuti nanti baliklah rumah,” kata Datin Rosnah pula. Dia melabuhkan punggung di sofa.
            “Abang Kif macam mana, ma? Ada perubahan?”
            “Macam biasalah. Berkurung dalam bilik. Kadang makan, kadang tak. Lepas tu asyik tidur je...” cerita Datin Rosnah.
            Kedengaran suara Adeeba mengeluh. “Deeba rindukan Abang Kif yang dulu, ma...  Deeba rindukan Abang Kif yang selalu manjakan Deeba,  yang ambil berat dan Abang Kif yang... yang...” Adeeba tidak dapat meneruskan kata-katanya. Kedengaran suaranya teresak-esak.
            “Deeba, jangan nangis, sayang… mama tahu Deeba rindukan saat-saat manis bersama Abang Kif. Mama dengan papa pun macam tu jugak. Tapi kita kena terus berdoa dan berdoa pada Allah supaya Abang Kif kembali kepada-Nya dan dapat menerima segala ketentuan-Nya. Dan yang paling penting, mama nak Deeba tumpukan pada exam. Hal dalam rumah biar mama dengan papa je yang handle. Janji dengan mama yang Deeba akan beri sepenuh tumpuan pada exam?
            “Baiklah, ma… Deeba janji. Mama, Deeba kena letak telefon dulu, kejap lagi ada study group. Ada masa Deeba call lagi. Kirim salam kat semua ya, ma? Assalamualaikum, ma...”
            “Waalaikumusalam...” Sebaik sahaja meletakkan ganggang, Datin Rosnah melangkah ke dapur semula. “Masya-Allah...” Datin Rosnah terkejut melihat nasi dan lauk sudah siap terhidang di dalam dulang. “Kak Pah, kan saya kata yang saya nak masak sendiri,” kata Datin Rosnah lembut.
            “Tak apalah Datin. Lagipun tadi saya tengok Datin leka bercakap kat telefon tadi. Kalau tunggu Datin, bila pulak Kif nak makan,” jawab Mak Pah sambil tersenyum.
            “Terima kasih daun keladi ya, Kak Pah…” ucap Datin Rosnah sambil melangkah untuk mengambil dulang lalu melangkah ke bilik Thakif.
“Kif nak mandi dulu ke nak makan?” soal Datin Rosnah sebaik sahaja sampai di hadapan katil Thakif.
            “Errmm... mandi dululah, ma.” Lembut suaranya sambil melemparkan senyuman. Serasanya sudah agak lama dia tidak tersenyum.
            Datin Rosnah meletakkan dulang di atas meja lampu, kemudian mengambil tuala di penyidai dan menolak kerusi roda ke arah katil Thakif. Dengan sekuat tenaga dia mengangkat badan Thakif lalu diletakkan di atas kerusi roda. Kemudian dia menyorong Thakif menuju ke bilik mandi.
            Dua Puluh minit kemudian, Thakif telah lengkap berpakaian. Datin Rosnah mahu mengangkat Thakif semula ke atas katil tetapi lelaki itu menolak.
Thakif menolak sendiri kerusi rodanya ke arah sofa. Dia menggamit mamanya agar duduk di sofa.
            Memahami isyarat tangan anaknya, Datin Rosnah mengambil semula dulang yang ditinggalkan tadi lalu melangkah ke sofa. Dia melabuhkan punggung berhadapan dengan Thakif yang duduk di kerusi roda.
            “Kif nak suap sendiri ke nak mama suapkan?” soalnya.
“Kif nak mama suapkanlah.” Manja kedengaran suara Thakif.
            Sejuk hati Datin Rosnah mendengar suara manja Thakif. Dia tersenyum lalu  mula mencedokkan lauk kangkung goreng belacan dan tomyam ke dalam pinggan nasi. Kemudian dia menyuapkan ke mulut Thakif. Berselera sekali anaknya itu makan.
            Selesai makan, Datin Rosnah mengelap mulut Thakif dengan tisu. Kemudian dia mula mengangkat punggung untuk beredar. Baru dua tapak dia berjalan, hujung bajunya ditarik. Dia tidak jadi untuk melangkah lalu duduk kembali di sofa. Dulang pula diletakkan di sisinya.
            “Kenapa Kif?” soalnya ingin tahu.
            Thakif menundukkan muka.
            “Kif?” panggil Datin Rosnah lagi apabila Thakif masih diam membisu. Tangannya dilabuhkan di atas tangan Thakif.
            Perlahan-lahan Thakif memanggung kepala memandang tepat ke dalam mata Datin Rosnah.
            Terkejut Datin Rosnah melihat muka Thakif yang merah dengan mata berair. “Kenapa Kif nangis ni?” Datin Rosnah mengesat air mata yang mula mencemari wajah Thakif.
            Thakif menggapai tangan mamanya yang berada di wajahnya lalu dibawa ke bibir. Dia mengucup lama tangan mamanya itu. “Ma... ma...” Tersekat-sekat Thakif bersuara.
            Datin Rosnah tenang menunggu bicara Thakif seterusnya. Dia hanya membiarkan tangannya digenggam oleh Thakif.
            “Kif nak minta maaf. Selama ni Kif banyak buat silap dan banyak menyusahkan mama, papa dan Deeba. Mulut ni... mulut nilah yang menengking mama semalam.” Thakif mula menampar-nampar bibirnya sekuat hati.
            “Kif!” Datin Rosnah terkejut dengan perlakuan Thakif. Dia segera menahan tangan Thakif yang masih lagi aktif memukul bibir sendiri. Terluka sedikit tepi bibirnya.
            “Apa yang Kif buat ni? Mama tak pernah salahkan Kif. Mama tahu Kif sakit.” Datin Rosnah mencapai tisu lalu mengesat luka itu. Sedih hatinya melihat perlakuan Thakif tadi.
            “Tapi Kif buat mama nangis... Kif berdosa, ma… Kif berdosa…” rintihnya.
            “Kan Kif dah minta maaf tadi? Mama dah maafkan Kif. Mama tak nak tengok lagi Kif cederakan diri macam tadi. Janji dengan mama?”     
            “Kif janji, ma... Kif janji yang Kif takkan buat mama dan keluarga kita sedih lagi,” janjinya.
            Lapang dada Datin Rosnah mendengar pengakuan anaknya itu.
            “Mama...”
            “Ya?”
            “Kif rindu sangat kat Manda. Apa yang perlu Kif buat, ma?” soal Thakif.
            Datin Rosnah mengeluh perlahan. Dia tahu sehingga hari ini anak bujangnya itu masih tidak dapat melupakan Amanda. “Mama tahu cinta pertama memang tak boleh dilupakan. Tapi satu je yang boleh Kif buat bila Kif rindu kat Manda...”
            “Apa dia ma?” tanya Thakif tidak sabar. Anak matanya bersinar-sinar menunggu jawapan Datin Rosnah.
            Datin Rosnah terdiam sebentar. “Kif sembahyang dan banyakkan berdoa kepada Allah. Hanya melalui Dia je segala doa yang Kif panjatkan akan sampai kepada Manda. Kif sedekahkan juga bacaan Yassin untuk arwah. Dengan ini, rohnya akan tenang di sana dan rindu Kif pada dia juga akan terubat.” Dalam diam dia cuba untuk menyedarkan anaknya semula supaya kembali kepada Penciptanya.
            Thakif menundukkan wajahnya sebelum membuang pandang ke wajah mamanya semula. Dia malu kepada mamanya. Tiga bulan dahulu dia pernah tidak mempercayai Tuhan dan menyalahi Tuhan. Tetapi sekarang dia berasa benar-benar kerdil di sisi-Nya dan benar-benar telah insaf di atas keterlanjuran kata-katanya itu.
  “Tapi ma… boleh ke Allah terima Kif kembali setelah berbagai kata-kata hinaan yang Kif lemparkan pada Dia?” Thakif ragu-ragu.
Datin Rosnah tersenyum mendengar soalan Thakif. “Kif, Allah tak pernah menghukum umat-Nya. Dia sentiasa membuka pintu kemaafan untuk umat-Nya. Kalaupun dia menurunkan ujian, dia hanya ingin menguji kesabaran kita je. Mama yakin, pasti ada hikmah di sebalik ujian yang Dia turunkan buat keluarga kita. Kembalilah kepada-Nya, Kif...” Panjang lebar Datin Rosnah menasihati anaknya.
Thakif menangis lagi. Hatinya tersentuh. Ampunkan aku, ya Allah… Ampunkan aku. Aku benar-benar insaf sekarang. Dia meraup wajahnya berkali-kali. “Ma, Kif berjanji akan bertaubat. Terima kasih, mama… terima kasih kerana telah menyedarkan Kif.” Dia mengucup sekali lagi tangan mamanya.
Datin Rosnah turut mengalirkan air matanya. Tetapi kali ini air mata gembira. “Terima kasih, ya Allah. Selama tiga bulan aku tunggu saat-saat ini. Terima kasih kerana memakbulkan doaku,” ucap Datin Rosnah.
Thakif tersenyum dalam tangis mendengar ucapan mamanya.
Datin Rosnah mengesat air matanya. “Sekarang Kif ikut mama mengucap ya?”
Thakif mengangguk.
“Ashhadu alla illaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah.”
Thakif menarik nafas perlahan. “Ashhadu alla illaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah.” Tenang dia mengikut mamanya mengucap. Dia tersenyum memandang Datin Rosnah.
Mengalir sekali lagi air mata Datin Rosnah apabila mendengar Thakif mengucap. Akhirnya Thakif telah kembali. Kembali kepada Dia yang telah mencipta seluruh makhluk dan alam. Datin Rosnah membawa Thakif ke dalam pelukan.
Tanpa disedari, Dato’ Azhar turut menyaksikan drama air mata di antara ibu dan anak itu di sebalik pintu yang sedikit renggang. Dia tersenyum. Perlahan-lahan dia beredar dari situ.
“Kif, kalau mama suruh buat sesuatu Kif akan ikut tak?” ujar Datin Rosnah sebaik sahaja merenggangkan pelukan.
“Apa dia ma?” Thakif tersenyum.
“Dari dulu lagi mama nak beritahu Kif perkara ni tapi masa tu Kif masih tertekan dan mama terpaksa tangguhkan dulu.”
Thakif memasang telinga.
“Masa Kif koma, Dr. Badrul ada bagitau mama dengan papa yang kaki Kif boleh sembuh. Jadi, Mama nak Kif berubat...”
Thakif diam. Matanya memandang tepat ke wajah Datin Rosnah yang menanti jawapannya. “Mama dah tak sanggup nak bela Kif  yang dah cacat ni lagi ke?” Perlahan suaranya menyoal. Wajahnya tenang, tiada riak kemarahan.
Datin Rosnah terkejut mendengar pertanyaan anaknya. “Eh, bukan macam tu maksud mama! Mama cuma nak tengok satu-satunya anak lelaki mama berjalan semula seperti dulu. Lagipun dulu Kif selalu cakap yang Kif dah tak sempurna lagi. Inilah masanya untuk Kif berjalan semula,” terangnya, membetulkan tanggapan negatif Thakif
 “Kif belum bersedia lagi untuk berubat, ma... Kif harap mama faham dan tak memaksa Kif. Bagi Kif masa ya, ma?” Dia memberikan kata putusnya.
“Baiklah… kalau itu keputusan Kif, mama takkan memaksa. Mama harap satu hari nanti hati Kif akan terbuka untuk berubat.” Datin Rosnah mengusap kepala Thakif.
“Terima kasih, mama… terima kasih kerana memahami Kif.” Dia mencapai tangan mamanya lalu digenggam erat.
“Tadi Deeba telefon. Dia kirim salam.” beritahu Datin Rosnah.
“Waalaikumusalam... Deeba sihat ke, ma? Rasanya lama dia tak jenguk Kif.”
“Dia sihat cuma tak dapat balik sebab dah nak exam. Dia cakap dia rindu dengan Kif yang dulu.” Sengaja Datin Rosnah berkata begitu untuk melihat reaksi Thakif.
Thakif hanya mampu tersenyum. 
                                                            *****
THAKIF memanjangkan tangannya, memetik suis lampu tidur. Dia mengerling jam di dinding. Pukul 2.30 pagi. Banglo dua tingkat itu sunyi. Dia memanjangkan lagi tangannya untuk mencapai kerusi roda yang terletak agak jauh sedikit dari gapaiannya. Apabila sudah dapat mencapai pemegang kerusi roda, dia menarik menghampiri katil. Dia berusaha untuk bangun dengan memegang kuat pada pemegang kerusi roda.
Argh!!!” jeritnya. Nasibnya malang apabila dia terlupa untuk mengunci brek kerusi roda sehingga menyebabkan dia tersungkur ke bawah katil.
            “Kif?” panggil Dato’ Azhar sebaik sahaja pintu bilik Thakif dibuka. Jeritan Thakif telah membangunkan dia dan isterinya dari tidur.
Datin Rosnah sudah menggelabah apabila melihat katil Thakif kosong. Dia melangkah masuk ke bilik itu. “Astaghfirullahalazim...” Datin Rosnah mengucap panjang apabila melihat Thakif yang sudah tersungkur di bawah katil.
Thakif masih cuba untuk bangkit namun gagal.
“Kif nak pergi mana ni? Kenapa tak panggil mama?” soalnya cemas.
“Kif nak buat solat taubat, ma. Kif tak nak menyusahkan mama. Tambah-tambah pulak sekarang ni dah tengah malam. Mesti mama dengan papa dah tidur,” jelasnya.
Menggeleng kepala Datin Rosnah.
Dato’ Azhar mengangkat tubuh anaknya lalu diletakkan di atas kerusi roda.
“Mari mama bawak Kif ambil wuduk,” tawar Datin Rosnah yang sudah memegang pemegang kerusi roda.
“Tak apalah ma, biar Kif pergi sendiri. Mama dengan papa pergilah tidur,” tolaknya. Dia menolak kerusi rodanya menuju ke bilik mandi.
“Tapi Kif...”
“Dahlah tu Ros, biar Kif buat sendiri. Mari kita sambung tidur,” ajak Dato’ Azhar. Dia tahu yang Thakif mahu berdikari.
Datin Rosnah mengalah. Dia dan Dato’ Azhar mula mengatur langkah keluar dari bilik Thakif.
“Papa...” panggil Thakif sebaik sahaja Dato’Azhar dan Datin Rosnah hampir melepasi pintu bilik.
Dato’ Azhar dan Datin Rosnah berpaling.
“Nanti tolong carikan ustaz untuk Kif ya?” pintanya. Dia mahu betul-betul bertaubat.
“Baiklah, nanti papa carikan,” janjinya. Kemudian, dia meneruskan langkahnya.
Selesai memberi salam, Thakif menadah kedua-dua belah tangannya untuk berdoa. “Ampunilah aku ya Allah. Tuhan yang Maha Agung, tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Aku bertaubat kepada Engkau ya Allah. Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau. Engkaulah yang menjadikan aku, sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah kulakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan aku mengaku segala dosaku. Ampunilah aku... sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosaku kecuali Engkau. Amin... amin... ya rabbal alamin...” Teresak-esak Thakif menangis.  Usai berdoa, dia meraupkan tangannya ke muka. 
            Thakif menggerakkan kerusi rodanya menuju ke rak buku. Dia mencapai surah Yassin lalu dibacanya. Sayu suaranya mengalunkan bacaan Yassin.
            Di luar bilik, Datin Rosnah mengalirkan air mata apabila mendengar suara Thakif membaca surah Yassin. Dia bersyukur anaknya telah kembali ke pangkal jalan.
Dato’ Azhar mengusap perlahan bahu isterinya. Dia juga turut mengalirkan air mata kesyukuran.


~BERSAMBUNG~

p/s: Sorry kalau bahasa untuk bab ni kasar sikit...

6 comments:

  1. Mood sedih... Huhu... N3 nie myentuh ati... Moga kif kuat mghdapi dugaan tuhan...

    ReplyDelete
  2. best....sambung lagi ye....macam tak sabar lak nak tunggu pertemuan watak2 utama....

    ReplyDelete
  3. best...tak sabar nak tunggu next n3...juga tak sabar nak tau macam mane pertemuan antara watak2 utama...

    ReplyDelete
  4. best...tak sabar nak tunggu next n3...juga tak sabar nak tau macam mane pertemuan antara watak2 utama...

    ReplyDelete

 
;