Assalamualaikum.
ini karya seterusnya dari reader kami. :)
*sy nak mintak maaf dekat Nur sebab sy terlupa nak update cerpen ni haritu. quite busy sampai terlupa. maaf.. maaf.. maaf..
semoga bermanfaat.
Tajuk : Tak Selamanya di Sini
Tika terkuak jendela hari,
fajar belum pun menyingsing lagi,
tercari-cari ke mana telah pergi,
dia yang pernah menemani di sisi
Sejuk. Insyirah menalakan pandangannya ke arah sawah yang menghijau. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut membuai tudungnya. Insyirah tersenyum tetapi ada sesuatu yang hilang dari senyumnya. Enam tahun…
***
“ Assalamualaikum! Tok! Tok! Syirah dah balik”, Insyirah memanjat tangga rumah papan yang masih kukuh tersergam indah di sebuah kampung yang dikelilingi sawah bendang,Kampung Nyiur. Bunyi tapak kaki anak gadis berusia 18 tahun itu bergema di segenap rumah.
Insyirah melangkah ke dapur. Pintu depan terbuka,tapi bayang Tok Mah langsung tidak kelihatan. “Mana tok ni?” Insyirah kembali melangkah ke hadapan. Laju kakinya menuruni anak tangga, arah tujunya ke belakang rumah. ‘Oh ya, petang-petang macam ni kan tok selalu bagi ayam itik makan. Syirah, syirah.’ Insyirah menggeleng kepala.
Kaki pantas disarung selipar jepun kuning yang sudah hilang warnanya. Lantas dihayun kakinya ke belakang rumah. Dia tersenyum, seorang wanita tua sedang terbongkok-bongkok memberi ayam dan itiknya makan.
Insyirah memperlahan langkahnya apabila sudah hampir dengan neneknya. Pantas dipeluk Tok Mah dari belakang. “Tok!!!”,Insyirah menjerit. “Opocot!”, bergema suara emas Tok Mah di rumah. Habis berterabur dedak yang dipegang tadi,menjadi rezeki lebih buat ayam dan itik.
“Astaghfirullah budak Syirah ni. Tok lemah semangat betoi dengan hang ni!”, Tok Mah mencubit lembut lengan satu-satunya cucu yang dia ada.
“ Tok ni, Syirah dah bagi salam tau tadi,”, Insyirah memeluk erat neneknya.
“Ni pasai pa ni? Muka berseri macam kembang bakawali ni?? Senyum sampai tak cukup pipi dah tok tengok,” ,Insyirah memimpin tangan Tok Mah menuju ke pangkin bawah pokok mempelam. Pangkin yang menjadi saksi kedewasaannya.
Insyirah masih tersenyum, Tok Mah punya perumpamaan memang selalu jenis yang klasik-klasik. Insyirah gelak dalam hati,hehe.
“Syirah ada berita sensasi nak habaq kat tok,tadaaa!!”, tangan kanannya menarik keluar sekeping sampul surat yang diletak dalam beg sandangnya.
Tok Mah tersenyum melihat sampul surat sebesar kertas A4. Dia yakin, mesti ada rezeki buat buah hatinya ini. “Alhamdulillah, Syirah dapat pi mana?”,lebar senyuman Tok Mah.
Tiba-tiba senyumannya memudar dari wajah yang berseri bak bakawali macam tok kata tadi. Insyirah bersyukur sangat-sangat sebab tadi dia pergi ke sekolah untuk ambil surat tawaran belajar di Kolej Matrikulasi Johor. Hanya lapan orang termasuk dia di sekolahnya yang mendapat tawaran ke kolej matrikulasi. Bersandarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang agak membanggakan, Insyirah berjaya mendapat tempat untuk program matrikulasi selama setahun dalam jurusan Sains. Dia sangat gembira sebab dia dapat melangkah satu lagi langkah untuk memenuhi impian Tok Mah yang ingin melihat dia menjadi seorang doktor.
Tetapi masalahnya sekarang, tempat itu sangat jauh. Utara ke Selatan, dia tidak pernah terfikir langsung untuk meninggalkan Tok Mah keseorangan. Dulu dia memohon kolej-kolej matrikulasi yang berada di sekitar utara sahaja. Tapi takdir Allah menentukan dia mendapat tempat di Johor.
“Tok… Syirah dapt pi matrik Johor,program yang setahun tu,” Insyirah menunduk. Kakinya dikuis ke tanah.
“ Oh,yang depa habaq lepas setahun tu boleh masuk u teruih? Johor? Baguih dah tu,boleh jalan pi tempat oghang. Sat lagi tok habaq kat Mak Su hang, depa habaq depa boleh antaq mana-mana ja Syirah nak pi mengaji. Tapi tok pelik la,awat bakawali bertukaq jadi asam gelugoq dah ni?” Tok Mah menepuk perlahan bahu Insyirah.
“Tok ni… ada ka cakap muka Syirah macam asam gelugoq? Syirah tau la Syirah tak lawa, tapi ada ka cakap macam asam gelugoq?” Insyirah buat-buat muka sedih.
“Alahai intan payung, mai dah angin tak tentu dia. Nak merajuk ngan tok plak dah. Meh habaq sket pasai pa mendung ja ni?” Tok Mah tersenyum. Syirah… Syirah…
“ Tok,kalau Syirah tak pi tak pa dak? Syirah nak duk sini ja,tak mau pi jauh-jauh,” Insyirah memandang wajah tua Tok Mah. Wajah yang memenuhi hatinya,tiada wajah lain yang mampu menggantikan Tok Mah.
“ Syirah, tok habaq dari dulu lagi. Tak kisah jauh mana pun, ilmu tu yang boleh angkat darjat kita di sisi Allah. Tok tau hang risau kat tok. Tak pa, Allah ada. Dia jaga tok. Apa-apa nak jadi, kan tok selalu cakap Allah dah tetapkan dari dulu lagi,” Tok Mah mengusap lembut kepala yang ditutupi tudung hitam itu.
Insyirah cuba menahan air matanya. Sungguh, dia sayang sangat-sangat pada Tok Mah. Dia tiada sesiapa di dunia ini. Selepas ayah dan ibu meninggalkan dia 15 tahun yang lalu, di dalam hidupnya cuma ada Tok Mah. Insyirah tidak ingat apa yang terjadi, apa yang dia tahu ayah dan ibu pergi kerana menyelamatkan dia dari kebakaran yang menimpa rumahnya. Buktinya, parut di mukanya kesan daripada kebakaran masih ada sampai sekarang.
Tok Mah selalu memujuknya untuk melakukan pembedahan bagi mengubati parut mukanya. Namun Insyirah tidak mahu. Sebab itu satu-satunya kenangan yang ayah dan ibu tinggalkan untuknya. Biarlah orang kata dia tidak cantik dan dia tidak kisah langsung kalau orang kata dia tidak sempurna. Dia tidak apa-apa. Sebab dia tahu Allah sayang dia, dan dia tahu dia ada Tok Mah dalam hidup dia. Jadi, dia tidak perlu risau apa-apa kalau ada orang yang tidak ingin berkawan dengannya. Tapi semua anggapan negatif itu tidak pernah terjadi pada dia, sebab Insyirah jenis yang lembut hati. Disebabkan kecantikan yang ada pada hatinya, Insyirah punya ramai kawan dan disenangi semua orang.
Walaupun luarannya terlihat dia sangat kuat dan tabah, pernah juga kadang-kadang hati kecilnya tertanya-tanya, kenapa dia yang perlu hadapi semua ini. Bagaikan mengerti hati cucunya,Tok Mah selalu pujuk Insyirah dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW supaya jangan pernah persoalkan apa yang Allah tetapkan. Tok Mah selalu ingatkan dia dengan ayat 22 dan 23 dari Surah Al-Hadid,
“Setiap bencana yang menimpa kamu di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri,semuanya telah tertulis dalam kitab (Loh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh,yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput darimu,dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.”
Tok Mah selalu pesan padanya, kalau baca Al-Quran mesti baca dengan mulut, akal dan hati. Jangan sekadar membaca tapi tidak mengerti. Daripada nasihat-nasihat itulah, Insyirah mencari diri. Mencari diri dan hati daripada Al-Quran. Betul, ayat-ayat cinta dari Allah adalah penawar di setiap harinya. Dia bertemu tenang, ketenangan dengan mengingati Sang Pencipta. Ketenangan yang tidak pernah hilang tiap kali dahinya sujud menyentuh sejadah.
***
Matanya yang dihala ke arah sawah semakin kabur digenangi mutiara jernih. Air mata anak gadis berusia 26 tahun itu yang cuba ditahan sejak tadi akhirnya mengalir di pipi. ‘Maaf tok,Syirah dah janji Syirah takkan sedih, tapi Syirah tak mampu tok. Syirah sunyi, Syirah rindu tok, rindu sangat.’
Akhirnya tok meninggalkan dia selama-lamanya sewaktu dia hampir menamatkan pengajiannya di Kolej Matrikulasi Johor. Waktu itu dia sedang dalam persiapan menghadapi peperiksaan akhir. Sungguh, ketika itu dunia terasa gelap. Dia rasa sesak seperti terperangkap dalam dunia yang dipenuhi asap tebal. Tapi ayat-ayat Allah yang sering dialunkan Tok Mah terngiang-ngiang di telinga,
“Setiap bencana yang menimpa kamu di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri,semuanya telah tertulis dalam kitab (Loh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh,yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput darimu,dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.”
Dia tak kuat, tapi ayat-ayat Allah menguatkan hatinya. Dia lemah semangat, tapi dia ada Allah yang meniupkan harapan ke segenap hatinya.
Kali terakhir dia balik ke utara menjenguk tok, memang ada perasaan lain yang timbul. Seakan-akan tok akan meninggalkan dia keseorangan. Sungguh, itulah kali terakhir dia merasa hangatnya pelukan seorang Tok Mah dan hari ini adalah kali pertama dia menjejak kaki kembali ke Kampung Nyiur selepas tok pergi.
Enam tahun,enam tahun Insyirah cuba mendidik hatinya menjadi seteguh karang. Enam tahun dia cuba untuk tidak teringat pada orang yang sudah hilang dari mata. Selama enam tahun ini, segala yang termampu dia cuba lakukan asalkan dia ada alasan untuk tidak pulang ke kampung. Bukan dia tidak mahu, tapi rasa kehilangan itu mengejarnya ke mana-mana. Dia takut dia terlupa janjinya pada tok untuk tidak menangis. Hanya Mak Su yang tidak punya anak rajin datang melawatnya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Insyirah bersyukur, dia masih punya saudara tempat menumpang kasih. Tapi manakan sama dengan Tok Mah yang membesarkan dan menjaganya sewaktu dia hilang tempat bergantung.
Insyirah mengesat air matanya. ‘Tok,Syirah dah tunaikan impian tok. Syirah dah jadi doktor,tok. Jauh, kat Kuala Lumpur. Syirah minta maaf Syirah dah lama tak jenguk tok. Syirah janji lepas ni Syirah mesti balik selalu. Tok, terima kasih sebab jaga Syirah. Terima kasih sebab kenalkan Syirah dengan ayat-ayat Allah dan sunnah Rasulullah. Syirah tak dapat balas apa-apa pun kat tok. Tapi Syirah janji dengan tok, Syirah akan selalu doa untuk tok. Syirah janji, Syirah akan selalu letak tok dalam hati Syirah. Syirah janji. Syirah sayang tok, sebab tok adalah anugerah Allah yang mahal harganya. Nanti, kita jumpa kat sana ya, tok. Sekali dengan ibu dan ayah. Syirah sayang tok. Sayang sangat.’
Insyirah bangun dari pangkin yang masih utuh di tempatnya. Dia memandang ke arah rumah yang semakin usang. Nanti dia balik lagi sekali, dia nak baiki rumah ini. Rumah kenangan. Kenangan dia dan tok. Kenangan yang dia akan simpan kejap-kejap dalam hati. Memang tok sudah hilang dari mata, tapi tok ada dan selalu akan ada di dalam hatinya, dengan izin Allah.
"setiap yang bernyawa akan merasakan mati. dan hanya pada hari akhirat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,sungguh,dia memperoleh kemenangan.kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya,"
–Surah Aali-‘Imran ayat 185
No comments:
Post a Comment