From Us, To You :)

Assalamualaikum w.b.t to all.

Alhamdulillah, this blog is officially released on last 7th January 2012 as planned. And thanks to Allah, everything's going smoothly. Following the flow.

For those who comes and visit us here, giving us your support, big thanks to you too. Jangan malu, jangan segan untuk tinggalkan komen2 anda di petak komen, atau anda boleh saja klik suggestion box di bahagian atas sebelah kanan window untuk tinggalkan pesanan anda di sana.

We are trying our best to ensure all of our readers satisfied with all our writings. We are not perfect, that's the fact. When you guys happy, then we will be happy, that's for sure.

Keep on supporting us.

Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari Allah, segala yang kurang adalah dari kami sendiri.

May Allah bless all of us and grant us happiness here and here After, insyaAllah.

Regards, 7 street writers. :)

Saturday 14 April 2012

Separuh Hati Untukmu 5

RANIA berjalan menuju ke pintu pagar utama untuk ke gerai makan yang terletak bersebelahan dengan kilang tempatnya bekerja.
            “Ran!”
            Baru saja sebelah kakinya melepasi pintu pagar, kedengaran suara seseorang memanggilnya. Dia menoleh ke belakang dan menunggu orang yang memanggilnya itu sampai kepadanya. Dia mengesat peluh yang memercik dicelah-celah tudung yang dipakainya dengan tisu. Cuaca pada hari itu sangat panas. Maklumlah baru pukul 12.30 tengah hari. Ramai juga pekerja kilang yang keluar untuk mengisi perut.
            “Nak pergi makan ke?” soal Rowana sebaik saja dia sampai di hadapan Rania. Dia mengusap perutnya yang semakin membesar. Hanya beberapa bulan saja lagi dia akan bergelar ibu.
            “Taklah, nak pergi berburu...” Rania berlelucon lalu ketawa besar melihat muka Rowana yang kegeraman.
            Rowana mencubit lengan Rania.
            “Aduh!” Dia mengaduh kesakitan. Tangan kirinya menggosok lengan kanan yang terasa perit.
            “Padan muka! Akak tanya betul-betul, dia jawab main-main...”
            “Alah Kak Ana ni, orang gurau pun tak boleh. Jom teman saya pergi makan,” pelawanya.
            “Tak apalah akak tengah tunggu Abang Mat ni. Nak pergi makan burger McD,” tolaknya lembut.
            “Amboi, orang tengah-tengah hari macam ni makan nasi, Kak Ana pulak makan burger kat McD. Jomlah kak kita duduk sana, panaslah kat sini.” Dia mengajak Rowana duduk sebentar di sebuah bangku yang berdekatan dengan pondok pengawal. Di situ terlindung sedikit daripada cahaya matahari.
            “Akak dengar Ran nak sambung belajar, betul ke?” soal Rowana sebaik saja melabuhkan punggung. 
            Berkerut sedikit kening Rania. Setahunya dia tidak pernah bercerita kepada siapa-siapa mengenai hal dia ingin sambung belajar kecuali…. takkanlah Naj yang bagitau kot? detik hatinya. “Mana Kak Ana dapat tahu tentang berita ni?” soalnya pelik.
“Hari tu akak ada terdengar perbualan kau dengan Naj masa kat toilet. Masa tu akak pun ada kat dalam cuma kau orang je yang tak perasan. Sorrylah, akak bukan nak curi dengar tapi terdengar. Dah kau orang cakap kuat sangat, akak dengarlah,” terang Rowana.
            “Ooo, macam tu. Saya tak marah pun. Tapi Kak Ana jangan heboh-hebohkan ya? Saya tak confirm lagi nak pergi ke tak…” jelas Rania. Dia masih lagi menanti persetujuan daripada Encik Razali. Jika abahnya tidak membenarkan, dia terpaksa melupakan niatnya itu.
            “Pergi jelah. Tawaran pun dah dapat, kan? Peluang hanya datang sekali je Ran. Kalau kau lepaskan takut kau menyesal je nanti,” nasihatnya. Bahu Rania dielus perlahan.
            “Nantilah saya fikirkan,” putusnya. Semua rakan sekerjanya tidak tahu perihal masa silamnya kecuali Najwa. Najwa merupakan sahabat baiknya semenjak di sekolah rendah lagi. Najwa tempat dia meluahkan masalah selain Puan Azizah. Hubungan mereka sudah seperti adik-beradik dan tiada rahsia di antara mereka. Dia bersyukur kerana mempunyai sahabat sebaik Najwa yang sanggup meminjamkan telinga untuk mendengar keluh kesahnya dan sanggup meminjamkan bahu untuk dia tumpang menangis.
            Kedengaran bunyi enjin motorsikal menghampiri kawasan yang mereka duduki. Rania dan Rowana mengalihkan muka ke arah bunyi itu. Rupanya Mat Ali, suami Rowana sudah sampai.
Rowana mula bangkit mendapatkan suaminya diikuti Rania dari belakang.
“Hai Abang Mat, makan McD jelah tengah hari ni ya.” Rania cuba berbasa basi.
Rowana telah selamat duduk di atas motor.
“Nak buat macam mana, orang dalam ni nak makan burger. Ikutkan jelah… kata orang dulu-dulu,  orang mengandung ni kalau dia tak dapat makan apa yang dia idamkan, bila anak tu besar nanti air liur dia asyik nak meleleh je. Orang dululah kata, tak tahulah abang betul ke tak. Ni pun nasib baik Kak Ana kau ni mengidam burger McD je… buatnya dia minta daging rusa, masak abang nak kena carinya...”
Rowana dan Rania ketawa mendengar kata-kata Mat Ali.
“Ran  nak kirim apa-apa tak?” pelawa Rowana yang sedang mengancing tali topi keledar.
“Tak naklah kak. Saya nak makan nasi kejap lagi. Tak terasa nak makan McD. Kalau ada terasa nak makan, saya beli sendiri je nanti,” tolak Rania lembut.
“Kami gerak dululah ya, takut ramai pulak orang kat McD tu,” pinta Mat Ali. Gear sudah ditekan.
“Yalah.” Sebaik kelibat motor Mat Ali hilang dari kawasan kilang, Rania kembali bergerak ke destinasi yang ingin dituju tadi. Perutnya sudah mula berbunyi minta diisi. Nasi putih berlaukkan udang tandoori dan  sambal sotong masala sudah terbayang di ruang matanya. Dia mempercepatkan langkah, takut udang tandoori dan sambal sotong masala di gerai Mehboob habis. Maklumlah hanya di gerai itu sahaja dia boleh mendapat kedua-dua lauk itu.
*****
PETANG itu Encik Razali pulang awal ke rumah. Kebiasaannya dia hanya akan pulang apabila hampir waktu maghrib. Kesempatan itu diambil oleh Puan Azizah untuk berbincang mengenai tawaran sambung belajar Rania.
            “Abang, Zah ada sesuatu nak bincang dengan abang...” Puan Azizah menegur Encik Razali yang leka membaca surat khabar di ruang tamu.
            Encik Razali melipat surat khabar yang dibacanya lalu diletakkan di atas meja kopi. “Hal apa yang Zah nak bincangkan ni?” soal Encik Razali ingin tahu. Cermin matanya turut ditanggalkan.
            “Pasal kak long...” Puan Azizah membetulkan duduknya.
            “Kenapa dengan kak long?” Dia mengerutkan keningnya.
            “Kak long ada dapat tawaran sambung belajar…” ujarnya perlahan. Wajah suaminya ditenung untuk melihat reaksi suaminya.
            Wajah Encik Razali berubah ceria mendengar bicara isterinya. “Baguslah tu. Dekat mana dia dapat?” soalnya teruja. Memang itu yang dia impikan. Dia mahu anak-anaknya berjaya hingga ke menara gading.
            “Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Abang izinkan ke dia pergi?” Perkataan Kuala Lumpur ditekankannya. Wajahnya kelihatan gelisah.
            “Eh, mestilah abang izinkan! Kenapa muka Zah nampak risau je ni?” Dia pelik melihat wajah isterinya.
            “Zah risau dia tinggal kat sana sorang-sorang... lagipun dia mana pernah berenggang dengan kita...”
            “Ya ke risau dia tinggal kat sana sorang-sorang? Dulu masa dia pergi rombongan kat Cameron Highlands, Zah tak risau pun? Galakkan lagi adalah...” Encik Razali mengecilkan matanya, kurang percaya dengan jawapan yang diberikan Puan Azizah.
            Merah muka Puan Azizah apabila Encik Razali dapat menghidu pembohongannya. Dia menundukkan wajahnya.
            “Alah, cakap jelah yang Zah bimbang dia cari seseorang kat sana, kan?” serkapnya. Dia memang sudah masak sangat dengan perangai isterinya yang amat fobia dengan Kuala Lumpur. 
Puan Azizah mengangkat muka. “Ya, Zah mengaku memang itu yang Zah risaukan. Abang tak risau ke?” Dia mula mengakui. Tiada gunanya lagi dia berahsia. Ketika Rania meminta kebenaran kepadanya tempoh hari, dia separuh rela mengizinkan. Dia memang suka Rania mahu menyambung pelajaran tetapi tempat yang akan Rania pergi itu membuatkan dia tidak senang duduk.
            Encik Razali menggaru keningnya. “Zah, kak long tu dah besar panjang. Dah 24 tahun pun. Dia dah pandai fikir mana yang baik dan yang buruk untuk diri dia. Abang akan restui dan hormati keputusan dia. Kalau dia nak cari ‘orang’ tu, kita tak boleh nak halang. Ini soal hidup dia,” ujar Encik Razali.
            “Kalau itu keputusan abang, Zah ikut je. Cuma satu je yang Zah harapkan… Zah harap sangat  dia tak lupa diri bila kat sana nanti. Kuala Lumpur tu boleh tahan jugak bahayanya.” Dia pasrah andai itu keputusan suaminya. Dan dia juga mengakui kebenaran kata-kata Encik Razali.
            “Insya-Allah… dengan didikan agama yang kita berikan pada dia, abang yakin dia tak akan mudah lupa diri,” kata Encik Razali pula. Dia mengambil surat khabar yang diletakkan tadi lalu membacanya semula.
            Puan Azizah mula bangkit lalu meninggalkan ruang tamu.
                                                            *****
“KAK LONG, betul ke mak cakap kak long dapat tawaran sambung belajar?” soal Encik Razali ketika mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam. Wajahnya sengaja diseriuskan.
            Terhenti perbuatan Rania yang ingin menyuapkan nasi ke dalam mulut. Jantungnya berdegup laju. Dia takut sekiranya Encik Razali tidak mengizinkannya menyambung pelajaran. Perlahan-lahan dia mengangguk kepala, mengeyakan pertanyaan abahnya itu. Kepalanya ditundukkan. Takut mahu memandang muka abahnya yang serius.
            Adik-adiknya Fazila, Hakimie dan Maisara hanya diam. Mereka tidak berani menyampuk kerana bimbang dimarahi. Memang begitulah ajaran Encik Razali dan Puan Azizah kepada anak-anaknya. Apabila orang yang lebih tua sedang bercakap, mereka dilarang menyampuk. Takut di katakan kurang ajar pula.
            Suasana di meja makan sunyi seketika. Yang kedengaran hanya bunyi jantung Rania yang berdebar-debar seperti menanti hukuman dijatuhkan ke atas pesalah.
            “Abah dah buat keputusan...” Encik Razali senyap seketika..
            Rania menelan liurnya berkali-kali.
Encik Razali berdehem membetulkan suaranya. “Abah bagi kebenaran untuk kak long sambung belajar,” putusnya.
            Rania pantas mengangkat mukanya sebaik saja mendengar keputusan abahnya. Terima kasih, ya Allah… terima kasih kerana melembutkan hati abahku untuk mengizinkan aku sambung belajar, ucapnya di dalam hati. “Betul ke kak long boleh sambung belajar ni bah?” soalnya ingin kepastian. Dia takut tersalah dengar.
            Encik Razali mengangguk sambil tersenyum. “Tapi dengan satu syarat!”
            “Apa syaratnya?” soalnya tidak sabar. Hatinya kembali berdebar.
            “Syaratnya... kak long kena janji akan belajar bersungguh-sungguh dan tak abaikan solat. Janji?”
            “Baiklah, kak long janji. Lagipun solat tu kan tiang agama... kak long akan ingat semua ajaran abah dan mak pada kak long dulu. Kak long jugak janji, bila kak long dah berjaya nanti kak long takkan lupakan abah, mak dan adik-adik.” Bersungguh-sungguh dia berjanji.
            Puan Azizah, Encik Razali dan adik-adik Rania tersenyum mendengarnya. Suapan yang terhenti tadi disambung semula.
                                                            *****
“DATO’, ustaz yang Dato’ jemput tu dah sampai. Dia ada kat ruang tamu bawah,” beritahu Mak Pah sebaik saja Dato’ Azhar membuka pintu bilik.
            Dato’ Azhar mula teringat akan Ustaz Al Hafiz yang diperkenalkan oleh besan ‘tak jadinya’. Memandangkan Thakif lumpuh, dia terpaksa meminta ustaz itu datang ke rumahnya untuk Thakif merujuk permasalahan agama. “Kak Pah bawak dia naik kat ruang tamu atas, saya nak pergi panggil Kif dulu...”
            “Baik, Dato’...” Mak Pah turun semula ke bawah.
            Dato’ Azhar melangkah ke bilik Thakif. Pintu bilik Thakif dibuka. Dia melangkah ke arah sofa dan melabuhkan punggung sementara menanti Thakif selesai solat isyak.
            “Kif, Ustaz Al Hafiz dah sampai… jom kita ke ruang tamu depan,” ajak Dato’ Azhar sebaik sahaja Thakif selesai menunaikan solat isyak. Dato’ Azhar bangkit lalu menolak kerusi roda Thakif ke ruang tamu tingkat atas itu. Sebaik sampai di ruang tamu, kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan umur pertengahan 30-an sudah sedia menanti.
Lelaki itu berdiri lalu bersalaman dengan Thakif dan Dato’ Azhar.
“Maaflah kalau saya dah menyusahkan ustaz datang ke rumah malam-malam begini. Ganggu masa rehat ustaz dengan keluarga...” Dato' Azhar berbasa-basi usai sesi suai kenal antara Ustaz Al Hafiz dan Thakif.
            “Tak mengapa, Dato’… saya ikhlas tolong keluarga Dato’. Lagipun dah memang tanggungjawab manusia saling tolong-menolong sesama sendiri,” jawab Ustaz Al Hafiz yang murah dengan senyuman itu.
            “Ustaz, saya pernah menyebut tidak percayakan Allah dan menghina-Nya. Tapi masa tu saya dalam keadaan tertekan. Adakah saya dikira murtad? Tapi saya telah insaf, sudah mengucap dua kalimah syahadah dan sudah melakukan solat taubat. Adakah taubat saya diterima-Nya?” Tanpa membuang masa Thakif mengemukakan soalannya.
            “Sebelum saya jawab soalan Encik Thakif, biar saya jelaskan dulu maksud murtad ya?” ujar Ustaz Al Hafiz yang masih tidak lekang dengan senyuman.
            Thakif mengangguk sambil membalas senyuman.
            “Sebenarnya, murtad ni dari sudut bahasa Arab berasal daripada perkataan riddah. Riddah bermakna kembali daripada sesuatu kepada selainnya. Manakala dari sudut syarak pulak bermaksud meninggalkan atau keluar daripada agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana aqidah lain atau mana-mana ajaran sesat sama ada melalui perkataan, perbuatan dan keyakinan hati.”
Thakif dan Dato’ Azhar cuba mendalami apa yang disampaikan oleh Ustaz Al Hafiz.
“Murtad ni jugak merupakan satu jenayah besar dalam Islam. Ia dianggap kufur yang paling jijik dan keji, malah lagi keji daripada kufur biasa kerana orang murtad dianggap menghina Islam, menghina Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sebab tu orang murtad mesti dijatuhkan hukuman bunuh bila disuruh bertaubat beberapa kali tapi dia tetap tak nak bertaubat. Allah pernah berfirman, dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya lalu dia mati, sedangkan dia tetap kafir, maka rosaklah segala amal usahanya di dunia dan akhirat dan mereka itulah ahli neraka dan akan kekal selama-lamanya. Manakala Rasulullah pula bersabda, sesiapa yang menukar agamanya, maka hendaklah kamu membunuhnya…” Ustaz Al Hafiz berhenti seketika. Dia mencapai cawan yang berisi air teh O yang sudah terhidang di hadapannya lalu menyisip perlahan.
 “Tadi ustaz kata murtad boleh terjadi melalui perkataan, perbuatan dan keyakinan, kan? Boleh ustaz terangkan?” pinta Thakif sebaik sahaja melihat Ustaz Al Hafiz meletakkan semula cawan di atas meja.
Ustaz Al Hafiz mengangguk. Dia berdehem seketika sebelum menjawab. “Mengikut Islam, murtad boleh terjadi melalui tiga perkara. Yang pertama melalui perkataan. Seseorang boleh dianggap murtad sekiranya dia mengeluarkan kata-kata yang berunsur penghinaan atau mengejek ajaran Islam. Sebagai contoh dia berkata begini, sekiranya Allah dan Rasulullah menyuruh aku mengerjakan solat dan sebagainya, aku tidak akan melakukannya.”
Gulp! Thakif menelan liur. Mendengar penerangan Ustaz Al Hafiz itu membuatkan dia teringat pada kata-kata penghinaan yang pernah dikeluarkannya dahulu. Dia menarik nafas perlahan dan kembali menumpukan perhatian.
“Yang kedua melalui perbuatan atau tingkah laku. Apabila seseorang Islam itu melakukan apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkah laku yang boleh membatalkan imannya, orang itu boleh menjadi murtad. Contohnya mereka bersujud pada berhala, matahari, bulan, manusia atau pada mana-mana makhluk lain. Satu lagi contoh, seseorang yang meninggalkan sembahyang Fardhu atau puasa Ramadhan dengan mengatakan ianya tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad sebab dia mengingkari satu perkara yang memang diketahui orang ramai bahawa perkara itu wajib ke atas setiap orang Islam. Tapi kalau dia meninggalkan kerana malas, sedangkan dia yakin yang sembahyang dan puasa itu wajib, dia tak akan menjadi murtad.
Dan yang ketiga, murtad melalui kepercayaan atau niat. Ia berlaku apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat yang sama seperti makhluk dan lain-lain lagi. Demikian jugak jika seseorang itu percaya yang Nabi Muhammad SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawanya bukan untuk seluruh manusia atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah hukum-hukum lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan zaman.” Ustaz Al Hafiz berhenti seketika.
Berbalik pada soalan Encik Thakif tadi, itu juga dikira telah murtad kerana encik telah melafazkannya walaupun dalam keadaan tertekan. Jika encik telah insaf dan ikhlas untuk bertaubat, solat taubat yang encik lakukan itu adalah sah. Encik tak perlu risau, Allah menerima doa hamba-Nya yang benar-benar telah insaf.” Ustaz Al Hafiz menamatkan penerangannya.
Kini, segala kemusykilan yang bersarang di kepala Thakif telah jelas. Dia bersyukur kerana Allah telah membuka pintu hatinya untuk bertaubat. Dia juga bersyukur kerana mempunyai keluarga yang memahaminya. Dan dia bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk bertaubat. Tiba-tiba saja wajah Qhafi terbayang di ruang mata. Dia berasa menyesal kerana menghalau Qhafi dahulu. Dia juga berasa malu untuk berhadapan dengan Qhafi apabila teringat akan perbuatannya itu. Namun dia nekad mahu memohon ampun kepada kawannya itu.
                                                            *****
THAKIF berjalan di sebuah kawasan hutan. Dia pelik melihat dirinya di tempat asing itu. Dan dia bertambah pelik melihat dirinya boleh berjalan tanpa menggunakan kerusi roda. Dengan hanya ditemani cahaya bulan, dia terus berjalan dan berjalan. Di penghujung jalan itu terdapat sebatang anak sungai dan sebuah buaian yang tergantung pada dahan pokok. Di atas buaian itu duduk seorang gadis yang bertudung dan berpakaian serba putih.
Siapa tu? Beraninya dia duduk sorang-sorang. Dalam hutan pulak tu, bisik hatinya. Dia tidak dapat melihat wajah gadis itu kerana gadis itu membelakanginya. Dia berjalan perlahan-lahan cuba menghampiri gadis itu. Tiba-tiba kabus tebal yang entah datang dari arah mana mula mengaburi pandangannya. Dia cuba menepis-nepis kabus itu namun semakin banyak pula yang datang. Penglihatannya semakin lama semakin kabur dan kabur...
            Kring!!! Kring!!! Kring!!! Kring!!!
            Thakif terjaga. Dia bermimpi rupanya. Dia meraup wajahnya yang kelihatan berpeluh. Matanya beralih pula pada telefon bimbitnya yang berbunyi. Dia cepat mencapainya takut bunyi itu mengganggu tidur penghuni rumah banglo itu. Nama Qhaf tertera di situ. Dia tersenyum. “Qhaf ni macam tahu-tahu je aku teringat kat dia.” Thakif bercakap sendirian. Dia  segera menekan butang hijau sebelum telefon bimbit itu termati sendiri.
            “Helo!” Kasar sedikit Thakif menjawab. Sengaja mahu menguji sahabatnya itu.
            “Erk… assalamualaikum…” Gugup kedengaran suara Qhafi.
Thakif sudah ketawa di dalam hati. “Waalaikumussalam! Ada apa kau call aku malam-malam buta ni? Aku nak tidur pun tak senang!” Nada suaranya masih seperti tadi.
“Saja aku call nak tanya khabar. Kalau kau tak suka aku call tak apalah aku letak dulu. Assalamualai…” Belum sempat Qhafi menghabiskan ucapan salam, telinganya menangkap suara ketawa Thakif. “Kif, kau okey ke ni?” Suara Qhafi berbaur risau.
“Aku okeylah. Aku gelakkan kau. Suara takut semacam je. Ha ha ha…” Thakif ketawa lagi.
“Kurang asam punya kawan! Aku serius risau, kau main-mainkan aku pulak ya! Dahlah, aku letak dulu.”
“Qhaf, takkan merajuk kot? Tak macolah macam tu…” Thakif pula terasa cuak dengan reaksi Qhafi.
Senyap. Tiada bunyi suara.
“Qhaf… kau dah letak ke? Qhaf, are you still there? Qhaf?” panggil Thakif lagi apabila tidak mendengar bunyi suara Qhafi di hujung talian.
Yeah, I’m here…
“Kau ni memang tau. Penat aku panggil nama kau.”
“Aku nak bagi kau peluang untuk bercakap. Dah lama aku tak dengar suara kau panggil aku dengan lembut macam tu.”
Thakif senyap. Terasa ada manik-manik yang bertakung di tubir matanya.
“Dah lama kita tak berborak macam ni sejak kau sakit. Yalah, time tu kau langsung tak nak jumpa aku. Siap halau-halau aku lagi. Tapi aku tak terasa sebab aku tahu kau tertekan dengan keadaan kau. Kau dah okey ke sekarang? Papa aku ada bagitau yang kau ada sesi perjumpaan dengan ustaz tadi sebab tu aku tak nak ganggu kau,” ujar Qhafi lagi.
            “Alhamdulillah... lepas je aku jumpa ustaz tu hati aku dah tenang semula. Pasal kes dulu tu aku minta maaf ya? Entah kenapa masa tu aku tak boleh terima kenyataan yang Manda dah tak ada plus keadaan kaki aku yang langsung tak boleh bergerak.”
            “Alah, kecik punya hallah. So, sekarang ni kau dah dapat lupakan Manda ke?” Qhafi mengorek rahsia.
            “Aku takkan sekali-kali melupakan Manda. Dia akan sentiasa ada dalam hati aku. Kau pun pernah bercinta, kan? Mesti kau tahu apa yang aku rasa. Oh ya, ibu macam mana? Dia dah boleh terima kenyataan ke?” Thakif mencapai alat kawalan jauh penyaman udara lalu menaikkan suhunya sedikit.
            “Ibu macam tu jugaklah, tak ada apa-apa perubahan lagi. Tapi kami sekeluarga akan terus bersabar dan akan sentiasa berdoa agar ibu cepat pulih.”
Keadaan hening seketika. Masing-masing terdiam.
            “Keluarga kau tak salahkan aku ke?” soal Thakif ingin tahu. Dalam hatinya turut rasa bersalah kerana kecuaiannya memandu.
“Nak salahkan kau pasal apa pulak?” Soalan berbalas soalan.
            “Sebab aku, Manda meninggal. Aku yang pandu kereta tu... kalau aku beri tumpuan sepenuhnya pada jalan mesti Manda takkan meninggal... dan aku pulak takkan lumpuh. Mungkin kami sekarang tengah busy dengan persiapan perkahwinan.” Dia meluahkan kekesalannya.
            “Keluarga aku tak pernah salahkan kau pun. Semuanya telah ditentukan... kita tak boleh nak salahkan takdir,” jelas Qhafi.
            “Betul ni?” Thakif inginkan kepastian.
            “Betul... okeylah Kif, dah lewat malam ni. Kalau tak busy, aku datang jumpa kau. sekarang masa untuk beradu. Aku doakan satu hari nanti kau akan jumpa dengan pengganti Manda. Nite, take care, assalamualaikum…” Qhafi meminta diri.
“Waalaikumussalam…” Thakif meletakkan kembali telefon bimbitnya di meja lampu. Tak ada siapa yang boleh menggantikan tempat Manda dalam hati aku, Qhaf, bisik hatinya. Fikirannya mula menerawang kembali pada mimpinya tadi. “Siapa perempuan tu? Kenapa dia masuk dalam mimpi aku?” Dia tertanya-tanya sendiri. Sejak tiga bulan lalu, inilah kali pertama dia bermimpi sebegitu.


~BERSAMBUNG~

No comments:

Post a Comment

 
;